Monday, September 08, 2014

NUCC, Datuk Saifuddin dan Majlis Peguam tiada hak sebarkan kandungan Akta Harmoni Nasional

Saya kurang bersetuju dengan sahabat saya Datuk Saifuddin Abdullah, Pengerusi Global Movement of Moderates yang dipetik berkata bahawa rang undang undang Harmoni Nasional yang ditulis oleh Majlis Konsultatif Perpaduan Negara dan dibantu oleh Majlis Peguam Malaysia, bakal menganti Akta Hasutan. Beliau dan Majlis Peguam Malaysia juga didapati telah mendedahkan kandungan deraf itu kepada umum.

Pertamanya, Datuk Saifuddin dan Majlis Peguam serta NUCC tidak pernah diberi mandat oleh kerajaan untuk mengumumkan kandungan deraf itu kepada umum. Mereka hanya diberi mandat untuk mendengar dan membincangkan cadangan-cadangan dan buah fikiran pihak-pihak yang berkepentingan dalam perbincangan tertutup dan selepas itu, mereka dikehendaki untuk menyerahkan rumusan mereka kepada pihak kerajaan untuk diteliti, diperhalusi dan dibincang.

Adalah salah bagi mereka untuk mengatakan bahawa rang undang-undang yang ditulis oleh NUCC yang dibantu oleh Majis Peguam itu adalah dokumen rang undang-undang yang akan diangkat ke parlimen.

Kerajaan tidak akan berbuat begitu kerana kerajaan akan juga mendengar pandangan daripada pihak selain dari NUCC mengenai cadangan Akta Harmoni Nasional ini sebelum membuat keputusan rasmi.

Selepas itu barulah, pihak Peguam Negara akan menderaf rang undang-undang itu untuk diangkat ke mesyuarat kabinet dan selepas itu dibawa ke parlimen untuk dibahas dan diundi.

Yang keduanya, sebagai anggota jemaah menteri, saya boleh sahkan bahawa setakat artikel ini ditulis, rang undang-undang Harmoni Nasional belum lagi dibentang dalam mesyuarat kabinet. Oleh sebab itu. Datuk Saifuddin dan Majlis Peguam serta NUCC tidak boleh membicarakan isi kandungan deraf rang undang-undang mereka itu di dalam media.

Itu tidak adil dan salah dari segi prosedur. Ia juga boleh mengelirukan rakyat dan boleh dianggap tidak beretika kerana mereka tidak mempunyai mandat untuk meluahkan isi kandungan cadangan mereka itu kepada umum melalui media massa.

Saya amat berharap agar Datuk Saifuddin dan Majlis Peguam berhenti untuk merujuk kononnya cadangan mereka itu sebagai dokumen terakhir yang akan diangkat ke parlimen. Yang akan menentukan bentuk terakhir dokumen rang undang-undang itu ialah jemaah menteri. Datuk Saifuddin dan Majlis Peguam tidak boleh mendahului kabinet Malaysia.

Terima kasih.

Tuesday, January 28, 2014

Belum tentu Anwar akan jadi MB Selangor walau menang di Kajang

Saya kira Datuk Seri Anwar Ibrahim belum boleh senyum dan yakin akan menjadi Menteri Besar Selangor walaupun menang pilihanraya kecil DUN Kajang nanti.

Buat masa ini, kedudukan parti di DUN Selangor ialah PAS (15 kerusi), DAP (15 kerusi), PKR (14 kerusi) dan BN (12 kerusi). Jumlah kesemua kerusi ialah 56 kerusi. Kalau Anwar memenangi DUN Kajang, jumlah kerusi PKR tidak berubah iaitu 14 kerusi kerana mantan YB Lee Chin Cheh yang meletak jawatan itu adalah dari PKR.

Untuk menjadi seorang Menteri Besar yang tidak akan berdepan dengan undi tidak percaya, calon MB itu perlu mendapat sokongan majoriti ahli-ahli DUN atau sekurang-kurangnya 29 ahli DUN dari 56 ahli DUN keseluruhannya.

Kita maklum PAS berang dengan Anwar kerana tidak berbincang dengan mereka sebelum "pelan strategik" Anwar ini dilakukan. Malah dari dulu lagi kita mendengar ada pemimpin PAS yang mengatakan calon mereka lebih layak menjadi MB Selangor atas alasan mereka mempunyai kerusi yang lebih banyak dari PKR.

Kalau PAS mahu menawarkan ahlinya untuk menjadi calon MB, ahli-ahli DUN terpaksa mengadakan pengundian untuk menentukan sokongan kepada Anwar atau calon MB dari PAS. Kalau ini terjadi maka satu senario yang menarik akan berlaku.

Bayangkan jika semua 12 ahli DUN BN tidak mengundi Anwar sebagai calon MB dan ditambah dengan 15 ahli DUN PAS yang juga tidak mahu mengundi Anwar menjadi calon MB, maka jumlah ahli yang menentang pencalonan Anwar sebagai MB ialah 27 ahli. Hanya kurang dua kerusi untuk menidakkan Anwar. Kalau Tan Sri Khalid Ibrahim tidak mengundi menyokong Anwar, maka kedudukan akan menjadi seri 28-28. Kalau ada lagi seorang ahli DUN dari PR yang tidak sebulu dengan Anwar tidak mahu beliau menjadi MB, maka undi tidak menyokong Ahli DUN itu akan menjadikan impian Anwar untuk menjadi MB berkecai.

Satu lagi senario ialah jika Anwar kalah di Kajang, jumlah ahli DUN BN dan PAS ialah 28 manakala PKR dan DAP tinggal 28. Maknanya seri. Sekali lagi undi Tan Sri Khalid Ibrahim (atau satu undi dari mana mana ahli PKR atau DAP yang lain) akan menjadi penentu. Mungkinkah Tan Sri Khalid (yang sudah tentu merasa amat terhina dengan penguguran beliau dari jawatan MB) akan mengundi calon PAS atau berkecuali? Apa-apa pun kedua-dua keputusan itu akan menjadikan calon PAS menjadi MB Selangor. Senario ini amat menarik.

Persoalannya apakah akan ada ahli-ahli DUN dari PKR dan DAP yang berani membuat perubahan? Ingat, politik Selangor tidak pernah sunyi dari kontroversi.

Saturday, January 25, 2014

Kalimah Allah.... Seriuskah Anwar?


Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di Taginambur hari ini. Seperti biasa ucapan beliau banyak menyentuh isu isu semasa termasuk isu kalimah Allah yang sedang hangat dibahaskan oleh rakyat Malaysia. Beliau menuduh kemelut kalimah Allah ini angkara UMNO.

Saya hanya ingin maklumkan kepada Datuk Seri Anwar bahawa naskah Al-Kitab yang dirampas berlaku di negeri Selangor yang di tadbir oleh parti beliau iaitu Pakatan Rakyat. Agensi yang merampas adalah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) iaitu agensi negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat. Enakmen negeri yang melarang penggunaan kalimah Allah di Selangor diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Selangor yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat. Sultan yang bertitah mengenai larangan penggunaan kalimah Allah ialah DYMM Sultan Selangor, sultan negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat.

Persoalannya kalaulah isu ini begitu menghantui pemikiran beliau, kenapa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memecat pegawai pegawai JAIS atau mengadap DYMM Sultan Selangor dengan segera untuk minta titah larangan itu ditarik balik. Jawapannya senang sahaja. Datuk Seri Anwar tidak berani. Dia lebih berani nak berceramah di Kota Belud dan cuba mengabui mata rakyat dan lepas tangan sambil menuduh orang lain .

Apa pun masih tidak lewat untuk Datuk Seri Anwar untuk menujukkan keberaniannya.

Saya dimaklumkan Dewan Undangan Negeri Selangor akan bersidang tidak lama lagi. Saya mencabar Datuk Seri Anwar untuk membawa usul meminda Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (1988) di dalam persidangan itu nanti.

Tidak ada alasan untuk pindaan itu tidak diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri kerana Pakatan Rakyat mempunyai majoriti dua pertiga di Dewan tersebut. Lagi pun tiga Ahli Yang Berhormat DAP dari Selangor telah berjanji untuk membawa usul pindaan itu. Saya harap Datuk Seri Anwar tidak menekan mereka untuk menarik balik hajat mereka itu.

Samada DYMM Sultan Selangor akan berkenan meluluskan pindaan itu atau tidak bukan persoalannya. Yang penting Datuk Seri Anwar ada peluang untuk membuktikan bahawa beliau serius untuk membenarkan penggunaan kalimah Allah di Selangor yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat. 


Kita tunggu dan lihat.

Klik:
https://www.facebook.com/rahmandahlan.my/posts/428809273917355

Kongsi artikel ini: