Sunday, July 29, 2012

Akhirnya, penantian berakhir. Datuk Seri Lajim & Bumburing lompat




Akhirnya Datuk Seri Panglima Lajim Hj Ukin dan Datuk Seri Panglima Wilfred Bumburing membuat keputusan untuk keluar dari Barisan Nasional dan merapatkan diri dengan Pakatan Rakyat.

Walaupun BN Sabah merasa "sedih" dan "kesal' dengan berita ini tetapi secara jujur dan ikhlas, respon yang saya dapati dari kalanga ahli-ahli BN ketika ini lebih kepada menghembuskan nafas kelegaan. Lega kerana satu episod lambaian "bye-bye" politik yang terlalu lama dan yang penuh dengan babak-babak dramatik dan retorik yang memenatkan telah berakhir.

Dalam Twitter saya berjenaka, "sukan olimpik baru bermula hari ini, tetapi sudah ada rakyat Malaysia menang pingat emas acara LOMPAT!"

Kenapa Lajim dan Bumburing meninggalkan BN? Banyak spekulasi yang dibuat mengenainya. Daripada kekecewaan tidak mendapat apa yang dihajati di dalam BN kepada janji yang diumpan oleh pihak sebelah kepada tuduahan bahawa BN gagal mentadbir negara. Apa pun sebabnya, itu adalah hak kedua-dua pemimpin tersebut. Malaysia adalah negara demokrasi dan sesiapa pun berhak untuk menggunakan landasan yang disukai dalam perjuangan politik mereka.

Sejak akhir-akhir ini, pembangkang mendakwa Lajim mempunyai pengaruh di Beaufort dan perletakan jawatannya dalam UMNO akan memberi tamparan hebat kepada BN. Puluhan tahun menjadi wakil rakyat di jadikan alasan populariti tersebut. Tetapi saya mempunyai pendapat berbeza. Pengaruh beliau di situ bukan semata-mata kerana populariti beliau sendiri tetapi kerana kekuatan parti UMNO yang menjadi pilihan kepada rakyat di Beaufort. Majoriti rakyat Beaufort terutamanya pengundi Islam mempunyai pandangan jauh. Mereka mengundi parti bukan indidvidu. Sekadar seorang individu tidak akan dapat menjamin kepentingan mereka terjamin.

Membaca komen-komen dalam garisan masa Facebook saya, ramai yang menjangkakan akan berlaku pergolakan di dalam Pakatan Rakyat Sabah dalam masa yang terdekat ini. Lajim, kata mereka, sudah tentu akan menuntut tampuk kepimpinan Pakatan Rakyat jika beliau mahu menjadi Ketua Menteri Sabah. Ada juga yang mengatakan bahawa Lajim mahu senarai calonnya digunakan untuk memastikan calon-calon pilihan beliau menjadi calon Pakatan. Tujuannya ialah untuk memastikan  tidak ada tentangan dari dalaman bila beliau mahu menjadi Ketua Menteri nanti.

Persoalannya bagaimaan pula dengan pemimpin awal dan veteren Pakatan Sabah yang selama ini berhempas pulas dan berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk berjuang di dalam Pakatan sejak 1998. Bagaimana perasaan mereka jika ada orang luar dari parti mereka masuk dan diangkat menjadi pemimpin dan menentukan dasar-dasar parti tanpa individu-individu ini melalui pfoses pengorbanan yang perit dalam Pakatan? Sudah tentu mereka akan tidak berpuas hati dan akan menunjukkan protes mereka. Kita tunggu dan lihat samada telaan itu benar atau tidak.



Saya ingin ambil kesempatan ini untuk membawa satu fakta yang menarik mengenai UMNO.  Ada yang hairna kenapa UMNO mampu bertahan lebih 70 tahun walaupun dalam sejarahnya ramai pemimpin kecil dan besar bertindak keluar parti, meletak jawatan atau bersara. Ada beberapa sebab.

Pertamanya UMNO ditubuhkan atas dasar perjuangan bukan kerana individu. Maknanya, ahli UMNO mendokong UMNO kerana dasar perjuangannya. Oleh sebab itu, individu sebesar mana sekalipun tidak menjadi perhitungan dalam perjuangan mereka dalam UMNO. Berlainan dengan Pakatan rakyat. Padamkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari kepimpinan Pakatan, Pakatan akan mengalami krisis kepimpinan yang kronik. Pakatan adalah berasaskan individu bukannya kepada perjuangan.

Keduanya, struktur hierarki atau tatatingkat UMNO diolah sebegitu rupa untuk tidak terganggu gugat jika berlaku insiden pemimpin meninggalkan parti. Bagi sesetengah orang luar yang kurang faham, sistem tatatingkat pelbagai UMNO contohnya Supreme Council, Perhubungan Negeri, Bahagian, Cawangan dan sayap-sayap dilihat sebagai redundant atau berlebihan. Tetapi sebenarnya itulah yang menjadi kekuatan UMNO kerana jika ada seorang pemimpin berpaling tadah, sistem berlebihan ini sukar untuk menjadi lemah dalam sekali gus. Kalau ada pemimpin atasan meninggalkan parti, belum tentu sayap wanita, pemuda, puteri dan putera akan menyokong beliau dan struktur parti secara keseluruhan masih kekal. Bagi Pakatan, oleh kerana kepetahannya bercakap dan aura sebagai penceramah, Anwar Ibrahim bercakap terus dengan ahli partinya tanpa perlu sistem Cabang, Negeri dan Pusat. Ini menyebabkan kurang pengikhtirafan penghormatan kepada sistem Cabang, Negeri dan Pusat mereka.

Ketiga, UMNO bukan parti bermusim. Jentera UMNO sentiasa berada dalam kaedah "berjaga-jaga" sepanjang tahun. Selain daripada mesyuarat dan aktiviti, jentera UMNO didedahkan kepada latihan strategi dan perancangan sepanjang masa. Tambahan pula pilihanraya kecil yang sering berlaku juga menjadi tempat latihan terbaik untuk jentera UMNO. Dengan aktiviti sepanjang tahun sebegini, UMNO sebagai sebuah jentera politik sentiasa di dalam keadaan terbaik sepanjang tahun dan boleh diaktifkan bila-bila masa. Sudah tentu, bila ada wakil rakyat atau Ketua Bahagian UMNO meninggalkan parti, jentera UMNO masih kukuh dan efektif.

Itu beza UMNO dari yang lain.

Nota: Saya akan memberi komen kepada isu-isu dasar yang dibawa oleh Lajim dan Bumburing dalam posting yang akan datang.


*end*


Wednesday, July 18, 2012

SPRM ... Antara kejayaan dan kekangan



Salam,

Hari ini saya bersama ahli-ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah mengadap Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong di Istana Negara untuk menerima surat cara perlantikan dari Baginda Tuanku. Jawatankuasa ini terdiri daripada ahli-ahli parlimen dari BN dan PR. Ini adalah penggal kedua untuk saya. Rakan-rakan lain di dalam jawatankuasa tersebut ialah YB Dato Seri Radzi Ahmad (BN-Kangar), YB Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong), YB Datuk Ismail Mutallib (BN-Maran), YB Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian), YB Datuk Doris Sophia Brodi (BN Senator/ Timbalan Yang DiPertua Dewan Negara) dan YB Yusmadi Yusoff (PKR- Balik Pulau).

Sepanjang penggal pertama, saya mendapat banyak pengalaman dan pengetahuan mengenai perjalanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan fenomena rasuah di negara kita.

Ada banyak isu-isu yang kami bincang dalam jawatankuasa ini. Ada yang diterima oleh kerajaan dan ada yang masih belum terlaksana kerana kekangan-kekangan yang tidak dapat dielakkan.

Antara yang diterima ialah penambahan bajet tahunan SPRM, penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan sendiri, penambahan staff, menyukarkan pelucutan jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM secara sewenang-wenangnya oleh kerajaan supaya beliau tidak perlu gentar dengan kedudukannya, penubuhan akademi SPRM dan lain-lain lagi.

Cadangan lain yang masih dalam perhatian kerajaan ialah memberi kuasa pendakwaan kepada SPRM tanpa perlu melalui Peguam Negara dan cadangan meletakkan SPRM di bawah seliaan Parlimen secara langsung dan bukannya Jabatan Perdana Menteri.

Untuk makluman, menurunkan kuasa mendakwa kepada SPRM tanpa melalui Peguam Negara memerlukan pindaan perlembagaan dan untuk diluluskan di parlimen sekurang-kurangnya dua pertiga undi ahli-ahli parlimen mesti menyokong usul tersebut.


Saya sebenarnya agak risau dengan cadangan ini kerana walaupun nampak ianya baik kerana tidak perlu kebenaran Peguam Negara, namun ianya melanggar prinsip pengasingan fungsi menyiasat dan menuduh seperti dalam sistem kehakiman kita di mana polis menyiasat, Peguam Negara menuduh dan hakim mengadili.

Bayangkan kalau sesebuah agensi itu mempunyai kuasa untuk menyiasat dan menuduh. Kemungkinan salah guna kuasa boleh berlaku kerana ketiadaan "check and balance". Kemungkinan penganiyaan berlaku adalah tinggi terutamanya jika SPRM diketuai oleh orang yang tidak bertanggungjawab dan mempunyai agendanya tersendiri.

Untuk meletakkan SPRM di bawah seliaan Parlimen, saya juga kurang yakin bahawa itulah jalan yang terbaik untuk memperkasakan SPRM. Alasan saya senang.Di Malaysia ini semua wakil rakyat samada dari kerajaan atau pembangkang, baik di Parlimen mahupun Dewan-Dewan Undangan Negeri, akan mengundi mengikut arahan parti masing-masing.

Maknanya, jika SPRM diletakkan dalam Parlimen sekarang, sudah tentu pengundian akan memihak kepada BN kerana BN mempunyai majoriti. Dan saya pasti jika PR menang pilihanraya ke-13 nanti, ahli-ahli parlimen mereka juga akan mengundi mengikut arahan parti mereka. Oleh sebab itu, tidak ada jaminan SPRM akan bebas jika diletakkan di bawah seliaan parlimen. Oleh sebab itu, pandangan mereka yang mengatakan SPRM akan lebih telus dan bebas dari pengaruh mana-mana pihak jika diletakkan dibawah seliaan parlimen mungkin tidak tercapai.


Walaupun sebenarnya ramai ahli-ahli politik dan individu-individu telah ditangkap, didakwa dan dihukum, tanggapan "ikan bilis ditangkap, ikan jerung terlepas" masih menjadi cabaran hebat kepada SPRM. Tidak ramai yang memahami bahawa SPRM tidak boleh bertindak tanpa bukti yang kukuh sebelum membuat pendakwaan. Hanya mengesyaki seseorang terlibat di dalam rasuah (samada realiti atau tidak) tidak dapat membantu SPRM mendapatkan penghukuman oleh mahkamah. SPRM  memerlukan bukti yang tidak dapat disangkal oleh peguam bela untuk mendapatkan keputusan bersalah dari mahkamah. Jika SPRM gagal mendapatkan penghukuman bersalah mahkamah, SPRM juga akan dipersalahkan kerana akan ada tuduhan liar yang mengatakan SPRM sengaja melepaskan batuk di tangga dalam usaha membanteras rasuah di dalam negara kita.


Sebagai rujukan, badan pencegah rasuah yang paling terkenal di dunia seperti ICAC Hong Kong juga memerlukan sekitar 10 tahun sebelum berjaya membuktikan kejayaan dan keberkesanan operasi mereka. Saya rasa kita tidak perlu ambil masa sampai begitu lama untuk menjadikan SPRM sebagai sebuah agensi anti rasuah yang berkesan. Rakyat hanya perlu memberi sokongan moral kepada SPRM sekarang. 

Pada penghujung penulisan artikel ini, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menjunjung kasih terhadap DYMM SPB YDP Agong kerana telah berkenan melantik saya sebagai salah seorang dari ahli Jawatankuasa Khas ini.


Sememangnya, perjuangan kita membanteras rasuah mesti dan wajib diteruskan. Insyaallah.

Kongsi artikel ini: