Sunday, September 16, 2012

Anak Sabah, Jiwa Malaysia





Di sebalik beberapa lukisan yang menghiasi dinding kediaman saya, ada satu yang kerap mencuri perhatian. Lukisan hitam putih itu menampilkan imej detik bersejarah 16 September 1963. Bintangnya adalah tiga bapa kemerdekaan – Tun Fuad Stephens, Tun Datu Mustapha Harun dan Tun Abdul Razak Hussein – berdiri seiring di podium di Kota Kinabalu bagi menyambut kelahiran negara dinamakan Malaysia.

Pada tarikh keramat itu, ribuan rakyat Sabah asyik mendengar Tun Fuad Stephens (ketika itu dikenali sebagai Donald Stephens) membacakan skrol Pengisytiharan Malaysia. 

Bagaimanapun, ada sedikit suntikan elemen luar realiti atau surreal di lukisan itu. Imej seorang remaja lelaki berpakaian `hip hop’ berwarna-warni dan melakukan aksi tarian `breakdance’ diselit bersebelahan ketiga-tiga tokoh itu.

Jika diteliti, anda boleh melihat pandangan penuh kecurigaan di wajah tiga Tun itu terhadap remaja lelaki berkenaan – bimbangkan generasi masa depan Malaysia mungkin tidak memahami pengertian sebenar kemerdekaan negara.

Hari ini, terjemahan remaja lelaki itu mungkin boleh dikaitkan dengan sesiapa saja di kalangan kita hari ini. Sebagai contoh, ada golongan tertentu di Sabah mendakwa Sabah sepatutnya menjadi satu daripada empat bahagian (bukan satu daripada 14 negeri) dalam Persekutuan Malaysia. Mereka mendakwa Sabah ditipu sejak 49 tahun lalu dan tuduhan ini adalah sangat serius.

Benarkah begitu? Kita mulakan dengan mengkaji dokumen sejarah berkaitan pembentukan Malaysia yang merangkumi:


* Dokumen 20 Perkara 
* Laporan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia
* Laporan Suruhanjaya Cobbold
* Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan
* Laporan Hansard (berhubung perbahasan Malaysia di Parlimen Malaya dan British)
* Perjanjian Malaysia 1963; dan 
* Dokumen Pengisytiharan Malaysia. 


Semua dokumen ini dan autobiografi Tunku Abdul Rahman serta Lee Kuan Yew memberi kita gambaran lebih jelas terhadap keadaan yang membawa kepada pembentukan Malaysia pada 1963. Semuanya menceritakan suasana di Asia Tenggara sekitar tahun 1950-an dan 1960-an, terutama dari segi keselamatan dan ketidaktentuan masa depan dihadapi pemimpin waktu itu.

Saya sertakan petikan dokumen dan perjanjian berkenaan. Nilaikan sendiri setakat mana kebenaran hujah kononnya Sabah patut menjadi satu daripada ahli empat entiti Persekutuan Malaysia.



Perjanjian Malaysia 

Artikel I perjanjian mengesahkan kedudukan Sabah dalam Malaysia. Ia menyebut (terjemahan):,

“Koloni Borneo Utara dan Sarawak dan Singapura akan bersatu dengan Negeri-Negeri Persekutuan Malaya ... akan dikenali sebagai “Malaysia” selepas ini.

Pengisytiharan Malaysia 

Perenggan terakhir Pengisytiharan Malaysia (yang dibaca Donald Stephens pada pagi 16 September 1963) menyebut (terjemahan):

"... bahawa Malaysia merangkumi Negeri Pahang, Terengganu, Kedah, Johor, Negeri Sembilan, Kelantan, Selangor, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sabah dan Sarawak akan selama-lamanya menjadi Negara bebas dan berdaulat selepas dibentuk atas dasar kebebasan dan keadilan, dengan izin Tuhan Pencipta Seluruh Alam,”


Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan

Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan yang ditubuhkan bagi merangka aturan Perlembagaan Malaysia, jelas menyatakan kedudukan Sabah sebagai sebahagian daripada Persekutuan menerusi perincian 10 Bab II (Pembentukan Persekutuan Malaysia) (terjemahan):

"Persekutuan ini merangkumi Negeri sedia ada dalam Persekutuan Malaya, Sabah (ketika ini dikenali sebagai Borneo Utara), Sarawak dan Singapura. Persekutuan ini akan dikenali sebagai Malaysia."


Perjanjian Malaysia 1963

Seksyen 4, Bahagian II (Negeri-Negeri Persekutuan) menyebut (terjemahan):

“… bahawa Persekutuan ini akan dikenali dengan nama Malaysia, dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Negeri-Negeri Persekutuan ialah - (a) negeri-negeri dalam Malaya, iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang,  Perak, Perlis, Selangor dan Terengganu; dan (b) Negeri-Negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak; dan (c) Singapura.


Sebagai Ahli Parlimen dari Sabah, saya bersetuju jika Sabah menjadi satu daripada empat bahagian Malaysia tetapi dokumen di atas menyatakan sebaliknya. Kita tidak boleh menafikan sejarah yang dibincang, dirangka dan ditandatangani bersama oleh pemimpin Sabah waktu itu.


Dari segi keahlian, kedudukan Sabah sama seperti negeri lain di Semenanjung. Bagaimanapun, Sabah memiliki kedudukan khusus atau autonomi sendiri seperti dinyatakan dalam Perlembangaan dan tidak dimiliki negeri lain kecuali Sarawak. Imigresen berada di bawah kuasa Kerajaan Negeri dan Sabah dibenar meneruskan sistem Kabinet yang antara lain berkuasa terhadap sesetengah percukaian dan tanah. Malah, beberapa undang-undang yang diluluskan Parlimen Malaysia tidak boleh dilaksanakan di Sabah tanpa persetujuan kerajaan negeri.

Saya gusar apabila ada pihak Sabah memberi gambaran seolah-olah pemimpin Sabah dipaksa menerima cadangan pembentukan Malaysia walaupun mempunyai pandangan berbeza. Mereka mendakwa, wujud bukti cadangan mewujudkan Malaysia berdepan masalah sejak awal.

Saya akui memang wujud pertelingkahan di kalangan pemimpin Sabah ketika Tunku Abdul Rahman mula melontar idea penubuhan Malaysia. Sebagai contoh, Tun Fuad awalnya agak ragu-ragu dengan idea itu.

Ini boleh difahami memandangkan pemimpin Sabah bakal `menyerahkan’ negeri itu menyertai penyatuan agak rumit dan besar kesannya ke atas rakyat Sabah. Bagaimanapun, perbezaan pandangan di kalangan pemimpin Sabah secara perlahan-lahan berubah selepas pelbagai perbincangan, mesyuarat tertutup, lawatan dan rundingan diadakan antara pemimpin utama Malaya, Singapura, Sarawak dan Sabah.  Sebagai contoh, Tun Fuad hampir pasti menerima pembentukan Malaysia. Penerimaan mereka dapat dilihat menerusi beberapa siri perjanjian yang dilaksanakan bagi membentuk Malaysia. Dalam aspek sejarah, itu adalah pengikat paling utama.

Apakah keadaan Sabah akan lebih baik jika bersendirian tanpa menyertai pembentukan Malaysia? Kita mesti adil kepada pemimpin terdahulu sebelum menjawab soalan itu. Bagaimana rasanya berada dalam kedudukan mereka ketika bersama bergerak ke arah pembentukan Malaysia? Soalan ini perlu dijawab berdasarkan apa yang sebenarna berlaku pada 1960-an dan bukannya melihat sejarah daripada perpesktif 2012 ketika negeri dan negara sudah mengecap kemajuan.

Wujud isu ancaman keselamatan sebelum British memberi keizinan bagi Sabah mengecap kemerdekaan. Kerajaan British khuatir aspek keselamatan Sabah bakal tergugat jika Sabah menjadi negara merdeka. Berpaksikan sejarah sebagai penyuluh kebenaran, kebimbangan mereka itu mempunyai asasnya.

Jika dilihat wilayah di sekeliling Sabah, kita perlu mengakui hakikat wujud ketidakstabilan politik di rantau ini manakala keamanan adalah sesuatu yang rapuh pada waktu itu. Kebangkitan komunis di Indo-China berada di kemuncaknya dan keadaan itu nyata membuatkan penduduk Thailand, Malaya dan Singapura dilingkari keresahan. Di timur Sabah, Presiden Filipina, Presiden Macapagal bersungguh-sungguh mempertahankan “tuntutan ke atas Sabah”. Filipina turut mengeluarkan ancaman dan secara bersembunyi memberi keizinan bagi tenteranya menceroboh Sabah selepas itu menerusi insiden Pulau Corregidor yang membawa kepada kutukan keras oleh Parlimen Malaysia.

Di selatan Sabah, Presiden Indonesia, Presiden Sukarno turut membangkitkan kemarahannya terhadap rakyat Sabah dan kerajaan Malaya. Berlatarbelakangkan pelbagai ancaman itu, Tun Fuad dan Tun Mustapha menyedari pilihan yang dimiliki amat terhad. Di akhirnya, mereka memilih langkah terbaik iaitu bersatu bagi membentuk entiti lebih besar bergelar Malaysia. 

Bagi mereka, alasannya jelas  - persamaan dan kefahaman terhadap sistem pentadbiran British, proses kehakiman, undang-undang dan perkhidmatan awam di Malaya, Singapura, Sarawak dan Sabah. Dengan menjadi sebahagian daripada entiti lebih besar, Sabah akan memiliki kelebihan ekonomi dalam aspek menarik pelaburan, mengurangkan kos pembangunan, berkongsi perbelanjaan pertahanan dan dengan sendirinya meniti laluan lebih singkat kea rah mencapai pembinaan bangsa.
Masa Depan 

Harus diakui, Persekutuan atau Federalisme bukanlah penyelesaian sempurna buat semua negara. Sampai ke satu tahap, kita pasti berdepan pertikaian terutama dari segi pengagihan pendapatan, dana pembangunan dan dakwaan wujudnya ketidakadilan. Perdebatan ini wujud di semua negara di dunia yang mengamalkan konsep Persekutuan. Bagaimanapun, isu ini boleh dibincang dan didebat bersama secara tertib tanpa perlu mewujudkan polemik yang boleh merosakkan jati diri bangsa.

Ada pihak mendakwa banyak masalah dihadapi sekarang disebabkan oleh konsep Persekutuan. Mereka melonggokkan soal kemiskinan, kekurangan infrastruktur dan pendatang tanpa izin di bahu konsep Persekutuan.

Saya akui rakyat Sabah berhak menyuarakan kebimbangan ini. Bagaimanapun,segala isu ini lebih menjurus kepada dasar dan keutamaan kerajaan. Justeru, kita tidak wajar membiarkan debat penuh emosi mengisi ruang semata-mata untuk menentukan wajarkah Sabah berada dalam Malaysia atau sebaliknya. Dasar dan keutamaan boleh dicabar, didebat dan diperbetulkan mengikut keperluan.

Sebagai rakyat Sabah, pandangan kita perlu melangkaui debat `Sabah untuk Rakyat Sabah’ Konsep `Kerajaan Malaya di Putrajaya’ hanyalah imaginasi liar pembangkang. Malaysia hanya memiliki satu kerajaan manakala suara setiap kaum dan negeri didengar serta diwakili dengan adil. Perlu diingat, Kabinet Malaysia mempunyai 4 Menteri dan 5 Timbalan Menteri dari Sabah.


Saya lihat, rakyat Sarawak dan Singapura sudah lama melangkah ke depan, enggan bercakaran dalam aspek politik yang memecah-belah walaupun mereka adalah sebahagian daripada Perjanjian Malaysia.

Di Sarawak, persoalan sama ada kemerdekaan disambut pada 31 Ogos atau 16 September bukan isu yang terlalu diperkatakan rakyatnya. Ironinya, Sarawak menyambut kemerdekaan pada  22 Julai 1963.

Sama juga di Singapura. Rakyatnya tidak lagi merungut mengenai Hari Singapura (nama Akta yang diluluskan Parlimen Malaysia untuk menyingkir Singapura dari Malaysia pada 1965). Seperti Sarawak, mereka terus melangkah dan memberi tumpuan untuk membangunkan negara seperti sekarang.

Perdebatan kemerdekaan 49 atau 55 tahun mesti dihentikan segera. Walaupun benar Sabah merdeka 49 tahun lalu, kita tidak boleh menafikan rakyat Malaysia di Semenanjung mengecap kemerdekaan55 tahun lalu.

Mengubah angka kemerdekaan kepada 1963 berbanding 1957 akan membuatkan tiga juta rakyat Sabah gembira tetapi ia akan mengguris perasaan lebih 20 juta rakyat Semenanjung Malaysia yang merdeka sejak 55 tahun lalu. Kita mungkin menyelesaikan satu masalah tetapi masalah lain pula timbul. Itu sebabnya kerajaan mengambil keputusan untuk bersikap diplomatik dalam menyelesaikan perkara ini.

Sebagai contoh, logo rasmi Merdeka 55 tidak mempunyai perkataan `Malaysia’. Bagi saya, itu adalah permulaan yang baik. Mungkin ada eloknya jika Kementerian  Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menggugurkan terus angkanya untuk menggunakan `Hari Merdeka’. Ini akan membuatkan 28 juta rakyat Malaysia gembira!


Sempena sambutan Hari Malaysia, saya harap setiap rakyat Malaysia – khususnya rakyat Sabah – untuk meneruskan kehidupan. Kita perlu terus memelihara hak perlembagaan Sabah tetapi pada masa sama kita perlu yakin bahawa masa depan Sabah berada di tangan Malaysia, seperti mana masa depan Malaysia kemas dalam genggaman Sabah.

Saya bangga menjadi anak Sabah berjiwa Malaysia. Anda juga sepatutnya begitu.

Selamat Hari Malaysia!


Oleh:
Datuk Abdul Rahman Dahlan
Ahli Parlimen Kota Belud, Sabah
14 September 2012

2 comments:

  1. Itu sebab rakyat perlu dididik dengan rasa bersyukur Datuk

    ReplyDelete
  2. Salam. Tahniah atas kupasan ini. Jitu dan Jelas. Seabaiknya semua rakyat negara ini berperasaan/berpendirian sepertimana intipati dalam paparan ini.

    ReplyDelete

Kongsi artikel ini: