Tuesday, August 09, 2011

Tiada Rampasan Tanah di Kota Belud, kata Ahli Parlimen Kota Belud



PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kota Belud, Abdul Rahman Dahlan, menyangkal dakwaan kononnya beliau terbabit dalam perebutan tanah adat di kawasannya.


Ada penduduk Kampung Rampayan Ulu menuduh Rahman "menggadai" 1,200 ekar tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) kepada syarikat swasta selepas berjanji membantu mereka menyelesaikan isu berkenaan.


Tanah berkenaan merangkumi kawasan pantai yang akan menjadi lokasi perancangan membina hotel bertaraf lima bintang syarikat terbabit sebagai sebahagian daripada projek pelancongan.


Menurut Rahman, awalnya syarikat itu mahu melaksanakan projek terbabit di Tuaran, berikutan jaraknya yang lebih hampir dengan Kota Kinabalu.


Bagaimanapun, kerajaan negeri Sabah mengarahkan pembangunan itu dilaksanakan di Kota Belud sebagai usaha melonjakkan ekonomi daerah tersebut.


Rahman berkata, beliau tidak mengetahui mengenai perancangan itu sehingga dimaklumkan oleh Ketua Menteri, YAB Datuk Musa Hj Aman.



"Kota Belud adalah daerah yang masih miskin, mundur dan dahagakan pembangunan, jadi sudah tentu saya gembira kerana projek berkenaan dipindahkan ke sini," katanya kepada FMT.


"Bukan mudah untuk projek pembangunan dibawa di Kota Belud dan yang ini tiba bagaikan bulan jatuh ke riba."


Syarikat berkenaan, bagaimanapun, mempunyai pandangan berbeza kerana perjalanan ke Kota Belud dari Kota Kinabalu mengambil masa kira-kira dua jam. Bagaimanapun, selepas menyelidik kawasan yang dikatakan itu, pemajunya berpendapat pantai di Rampayan akan menjadi lokasi utama kerana ia tidak diduduki dan berhampiran dengan jalan utama.


"Saya membincangkan lokasi pilihan itu dengan Wakil Rakyat kawasan Tempasuk kerana tanah adalah urusan negeri," katanya. "Semuanya bersetuju, maka langkah berikutnya ialah mengesahkan pemilikan tanah dengan Jawatankuasa Penggunaan Tanah (LUC)."


"Keluasan tanah yang terbabit ialah 853 ekar dan bukan 1,200 ekar seperti dilaporkan. Bagaimanapun, ia masih bersaiz besar dan pihak yang berkuasa meluluskan penggunaannya hanyalah Kabinet Negeri."


Rahman masih mengingati dua mesyuara LUC pada (2010). Dalam mesyuarat pertama, Jawatankuasa Penggunaan Tanah dimaklumkan beberapa individu ada memohon untuk mendapatkan hakmilik ke atas tanah terbabit.


Dalam mesyuarat kedua, Jabatan Tanah dan Ukur mengesahkan tiada permohonan yang telah diluluskan. Dalam erti kata lain, pantai Rampayan masih dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan negeri.
"Di akhir mesyuarat itu, status tanah berkenaan adalah jelas dan isu NCR langsung tidak dibangkitkan oleh semua ahli mesyuarat (termasuk Jabatan Tanah Kota Belud). Tahu-tahu selepas itu, masyarakat setempat memprotes dan mendakwa tanah warisan mereka dirampas," katanya.


TANAH BELUM DILULUSKAN


Tiga bulan lalu, satu mesyuarat diadakan antara Rahman, Adun Tempasuk Musbah Jamli, Jawatankuasa Bertindak Tanah Warisan Kg Rampayan dan Pegawai Daerah.


Ia berakhir dengan pegawai daerah menasihatkan Jawatankuasa Bertindak supaya membuat aduan bertulis berserta bukti (dan hujah mereka) kepada Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah.


"Mereka belum mengemukakan dokumen yang membuktikan ia adalah tanah NCR dan Jabatan Tanah dan Ukur Negeri tidak boleh bertindak berdasarkan tuntutan lisan semata-mata," kata Rahman. "Justeru, kami menemui mereka membincangkan penyertaan penduduk dalam pembangunan jika (kerajaan negeri) mahu projek itu diteruskan."


"Jawatankuasa Bertindak memberi beberapa cadangan dan bersetuju untuk kembali dengan senarai lebih teratur tetapi sehingga sekarang kami belum mendengar khabar berita daripada mereka sejak itu."


Rahman turut menafikan dakwaan penduduk tertentu kononnya beliau menipu mereka dengan menulis surat sokongan bagi projek itu dan menyaksikan persetujuan pelan pembangunan pada Ogos 2010.


"Saya memberi surat itu sebelum mesyuarat LUC pertama lagi dan ia adalah surat yang biasa saya buat untuk banyak permohonan projek-projek lain. (Tambahan pulak, saya dimaklumkan sebelum surat itu diberi bahawa kerajaan negeri menyokong permohonan itu)" jelasnya. "Mungkin mereka baru mendapat tahu mengenai surat itu dan mengandaikan saya menikam mereka dari belakang."


"Apa yang lebih penting, tanah itu belum diluluskan oleh kabinet negeri untuk pembangunan berikutan pertikaian berhubung isu NCR."


Rahman menekankan beliau dan wakil-wakil rakyat yang lain memeriksa status tanah itu berkali-kali bagi memastikan ia bukan tanah NCR, malah menegaskan beliau sendiri akan menentang projek pembangunan itu jika ia adalah tanah NCR.


"Saya tidak mahu menipu penduduk," katanya. "Tiada apa perlu saya sembunyikan dan saya tidak rugi apa-apa jika projek pembangunan ini dibatalkan."


"Saya menghormati mana-mana tanah NCR dan begitu juga kerajaan negeri tetapi buat masa sekarang, pendaftar tanah menunjukkan kawasan itu adalah milik kerajaan negeri - baik dari segi undang-undang mahu pun status rasmi."


Rahman mengakui permintaan penduduk terbabit yang mahu tanah itu dibahagikan di kalangan mereka tetapi persoalannya ialah pulangan ekonomi terhadap daerah itu secara menyeluruh.
"Kita ada juga penduduk sekitar disitu yang mengalu-alukan peluang pekerjaan susulan pembangunan ini," katanya.


"Oleh itu, dilema saya (dan wakil-wakil rakyat yang lain) ialah antara mengutamakan kehendak yang membangkang berbanding keperluan kelompok yang lebih besar. Apa pun, kita perlu membina kekuatan ekonomi Kota Belud dan kekuatan itu ialah sektor pelancongan dan pertanian."


......


Nota dari saya:
Artikel di atas adalah Petikan temuramah saya oleh Free Malaysia Today.


Pada saat ini pendirian saya ialah pertikaian mengenai status tanah tersebut perlu diselesaikan sebelum projek itu berjalan. Pandangan penduduk kampung yang terlibat akan didengar dan diperhalusi.


Saya masih menunggu respon dari kerajaan mengenai isu ini.


Semoga ada penyelesaian menag-menang dimana orang kampung mendapat tanah dan pada masa yang sama projek pembangunan Kota Belud dapat diteruskan demi kepentingan keseluruhan rakyat di Kota Belud.


Insyaallah. 



4 comments:

  1. Setahu saya, antara peraturan sedia ada adalah setiap permohonan mestilah melalui Ketua Kampung di mana dlm kes ini adalah Ketua Kampung Rampaian Ulu dan Rampaian Laut. Tiada pun minta kebenaran dari ketua Kampung.

    Tidak boleh ada pertindihan permohonan. DImana dlm kes ini, Kinsamewah telah memohon utk tanah2 yg telah dimohon oleh org kampung.

    Tanah2 di Lok Lunsung juga adalah tanah adat turun temurun yg telah diikat janji antar kedua kampung untuk dijaga bersama dan kedua-dua kampung telah bersetuju utk tidak membuat rumah di kawasan tersebut utk menjaga keasliannya. Tanah tersebut dikhaskan untuk penternakan / padang ragut lembu kerbau.

    ReplyDelete
  2. Salam YB..

    saya titipkan 'nasihat' kepada Datuk mengenai isu ini dalam blog kerdil saya .semoga dapat membantu..Selamat Berpuasa!

    Wassalam..

    ReplyDelete
  3. Yaka sdr 85territoriest? Andai kata betul, sila kemukakan bukti2/saksi2 yg relevan utk dikumpulkan oleh Jawatankuasa Bertindak..

    Klu hanya setakat kata2, anak buah sy pun bole kata itu adalah tanah warisan keluarga.. ;)

    ReplyDelete
  4. Salam Ramadhan YB Dato'
    Jelas sekali apa yang digembar-gemburkan selama ini berkaitan rampasan tanah di Kg Rampayan Ulu Kota Belud adalah cerita yang diputar belit oleh manusia yang bertopeng syaitan yang tidak mahu melihat pembangunan ekenomi demi masa depan rakyat Kota Belud khususnya,di harap YB Dato' dapat teruskan usaha murni bersama-sama masyarakat Kota belud untuk memacu pembangunan ekenomi yang beragendakan matlamat yang ikhlas demi anak bangsa dimasa akan datang...SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI MAAF ZAHIR DAN BATHIN.

    ReplyDelete

Kongsi artikel ini: