Friday, April 30, 2010

Konsep 4K Perlu Menjadi Amalan Pengusaha Homestay

Konsep 4K iaitu kemesraan , kebersihan, keharmonian dan keselamatan perlu menjadi keutamaan kepada setiap pengusaha homestay, ini penting diberi perhatian bagi membolehkan industri itu terus mendapat sambutan secara berkesinambungan dari pelancong dari dalam dan luar negara.

Saya menjelaskan demikian ketika berucap di majlis pelancaran Pesta Budaya Dusun dan pelancaran Melangkap Homestay yang diadakan di Dewan Serbaguna Kampung Melangkap, Kota Belud, baru-baru ini.

Majlis tersebut telah disempurnakan perasmiannya oleh sahabat saya Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Hal Ehwal Pengguna, YB. Datuk Herbert Timbon Lagadan yang juga selaku Wakil Rakyat Kadamaian.



PAda pendapat saya industri homestay yang diwujudkan di peringkat kampung dapat terus berkembang maju dan mampu bertahan lama jika konsep 4K diutamakan oleh pengusaha yang terlibat dalam industri tersebut.

Kegagalan pihak pengusaha-pengusaha homestay menjadikan konsep 4K sebagai resepi utama ke arah memajukan industri ini sedikit sebanyak akan memberi impak negatif.

Bayangkan jika penduduk kampung tiada kemesraan dengan pelancong, kampung tiada kebersihan, tidak ada keharmonian di kalangan penduduk kampung dan keadaan keselamatan tidak terjamin sudah pasti gambaran kurang elok ini akan menyebabkan pelancong tidak mungkin akan kembali ke homestay tersebut dan menceritakan kepada rakan mereka yang akhirnya merugikan kepada pengusaha terbabit.

Industri pelancongan yang semakin rancak membangunkan merupakan industri yang penting kepada negara, ini kerana ia mampu meransang ekonomi bukan sahaja kepada negara malah berupaya memberi pulangan yang lumayan kepada rakyat yang mengusahakannya.

Kalau dulu kita memikirkan kayu balak sebagai sumber pendapatan negeri kita, kemudian minyak, kelapa sawit, koko dan juga bidang-bidang pertanian yang lain, tetapi sejak akhir-akhir ini kerajaan mendapati bahawa industri pelancongan perlu dibangunkan kerana ia berupaya menjana ekonomi rakyat dan negara ini.

Saya amat berterima kasih kepada kerajaan kerana bukan sahaja menumpukan pembangunan pelancongan hotel atau resort bertaraf lima bintang, enam bintang malah turut memperkembangkan program homestay di kampung-kampung yang dapat melonjakkan ekonomi rakyat di peringkat akar umbi.

Sehubungan itu, untuk mengembangkan industri itu dengan lebih pesat lagi ia memerlukan kerjasama daripada semua pihak bukan sahaja daripada pengusaha, Kementerian Pelancongan tetapi juga setiap individu di dalam kampung yang terlibat dalam industri itu.

Hadir sama pada malis itu antaranya Presiden Persatuan Homestay Sabah,Jeffry Yahya, Wakil Kementerian Pelancongan Malaysia, Shalizam Mohd Ali, Penyelaras Program Melangkap Homestay, Rubbin Guribah, Timbalan Ketua Bahagian Umno Kota Belud, Awadnir Matanggal, Naib Ketua Pemuda Umno Kota Belud, Arshad Bestari, Wakil Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud, Sabli Nanti serta para pemimpin setempat yang lain.

Yayasan Sabah Banyak Berjasa Kepada Rakyat Negeri Sabah


Baru-baru ini saya telah merasmikan jambatan gantung Kampung Ijuk, Kota Belud yang telah dianjurkan oleh Yayasan Sabah Zon Pantai Barat Utara.

Institusi Yayasan Sabah perlu dipelihara dan dijaga sebaik mungkin ini kerana institusi tersebut terbukti telah memberi sumbangan dalam pelbagai kemajuan yang dapat dinikmati oleh rakyat di negeri ini sejak ia ditubuhkan 44 tahun yang lalu.



Yayasan Sabah merupakan sebuah institusi yang besar jasanya kepada rakyat negeri Sabah, institusi tersebut juga telah diikhtiraf merupakan salah sebuah yayasan yang berjaya di negara sejak ia diwujudkan.

Yayasan Sabah telah ditubuhkan oleh almahrum Tun Mustapa pada tahun 1966 di Sipitang, apabila beliau melihat pada waktu itu keadaan rakyat negeri Sabah begitu daif sekali, miskin dan sebagainya, maka Tun telah mengambil satu langkah drastik untuk menubuhkan satu yayasan yang dinamakan Yayasan Sabah.



Sejak Yayasan Sabah diwujudkan institusi itu kini mempunyai dana sekitar 2 billion dan mempunyai kepentingan perniagaan disemua jenis perniagaan.

Yayasan Sabah adalah merupakan sebahagian daripada rakyat Sabah maka sebab itu institusi itu perlu terus dipelihara bagi memastikan rakyat Sabah generasi akan datang dapat terus menikmati hasil pengwujudannya.

Kita perlu jaga Yayasan Sabah, kita kena pastikan Yayasan Sabah ini terus bergerak, kita bantu pegawai-pegawai Yayasan Sabah supaya mereka juga boleh membantu kita di peringkat akar umbi di kampung-kampung.

Hadir sama pada majlis itu antaranya Ketua Pentadbir Yayasan Sabah Zon Pantai Barat Utara, Sabrin Sindan, Pegawai Yayasan Sabah, Julkifleh Bakar, Timbalan Ketua Bahagian Umno Kota Belud, Awadnir Matanggal serta para pemimpin setempat yang lain.

Monday, April 19, 2010

Kota Belud Jelapang Padi Baru

CAMERON HIGHLANDS, 18 April (Bernama) -- Jelapang padi baru akan dibuka di
Kota Belud, Sabah dan Lingga Banting, Sarawak pada tahun depan bagi memastikan
bekalan makanan dalam negara terus terjamin, kata Timbalan Menteri Pertanian dan
Industri Asas Tani Datuk Rohani Abdul Karim.
Beliau berkata projek kementerian itu akan menyaksikan jelapang seluas
8,000 hektar dilaksanakan di Kota Belud manakala seluas 5,000 hektar lagi di
Lingga Banting.
Menurutnya projek itu penting untuk menampung keperluan terutamanya di
kedua-dua negeri itu yang kini mendapat kira-kira 70 peratus beras import.
"Pembukaan jelapang padi ini dijangka dapat mengurangkan import beras ke
negeri-negeri berkenaan," katanya pada sidang berita selepas merasmikan
Mesyuarat Perhubungan Pertanian Negeri Sabah dan Sarawak di sini, hari ini.
Seramai 100 anggota delegasi dari Jabatan Pertanian Sabah dan Sarawak
menghadiri mesyuarat itu.

Rohani berkata selaras dengan pembukaan jelapang padi baru itu, sebuah badan
kerajaan akan ditubuhkan untuk menjalankan dan mentadbir pengurusan projek itu.
Walaupun perkembangan pertanian di Sabah dan Sarawak berjalan lancar,
pengeluaran padi di kedua-dua negeri itu amat diperlukan berikutan krisis
makanan yang berlaku pada tahun 2008, katanya yang turut mengadakan lawatan
kerja di sekitar Cameron Highlands selepas mesyuarat tersebut.
Sementara itu, Menteri Muda Pemodenan Pertanian (Pertubuhan Peladang dan
Koperasi) Sarawak Datuk Peter Nyarok Entrie berkata beliau tidak mahu negeri itu
melalui krisis kekurangan beras seperti yang berlaku pada 2008 dan berharap
projek itu akan menjadi permulaan bagi Sabah dan Sarawak untuk mengeluarkan padi
secara besar-besaran.
Beliau enggan mengulas lanjut mengenai kos pembukaan kedua-dua jelapang padi
tersebut tetapi mengakui bahawa jumlahnya adalah besar.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Monday, April 05, 2010

Generasi Muda Kompenan Penting Kepada Negara

Baru-baru ini saya telah merasmikan satu program yang dinamakan GONTOR 2010 anjuran Persatuan BIGAT yang diadakan di perkarangan Dewan Tun Said, Kota Belud. Pada mulanya saya menjangkakan hanya belia-belia dari daerah ini sahaja yang akan terlibat dalam majlis ini, tetapi jangkaan saya silap program kali ke 5 yang diadakan setiap tahun sejak tahun 2005 turut mendapat sambutan belia-belia dari Kota Kinabalu, Spanggar dan beberapa daerah yang lain.

Kebiasaanya jika ada program yang diadakan di tempat yang sama, keadaan jalanraya tidaklah sesibuk apa yang berlaku pada hari itu, jalan menuju ke pusat pekan Kota Belud pada hari itu jem di sana sini, saya terpaksa melalui jalan JKR sebagai alternatif lain untuk menuju ke tapak perasmian, tetapi keadaan tetap sama seperti apa yang berlaku masuk ke pusat pekan.

Lebih kurang 100 meter dari tapak perasmian sewaktu saya masih berada di dalam kereta, sudah kedengaran dentuman bunyi-bunyi muzik yang bercampur aduk datangnya dari arah tapak majlis, kemeriahannya jelas nampak, anak-anak muda sedang asyik dengan kegemaran di era zaman ini.

Segalanya amat berbeza di zaman saya bersekolah, apa yang saya lihat pada majlis itu tidak pernah wujud di zaman saya, anak-anak muda di era saya tidaklah selasak jika dibandingkan dengan generasi muda zaman sekarang, sekali air bah sekali pantai berubah, inilah hakikat dunia sebenarnya.

Ketika saya brucap pada majlis itu, saya menyatakan bahawa generasi muda yang ada di negara ini merupakan kompenan yang amat penting, ini kerana mereka akan menjadi penentu parti manakah yang akan diberi mandat untuk membentuk kerajaan pada pilihanraya akan datang.

Negara Malaysia majoriti penduduknya di kalangan mereka yang berumur di bawah 40 tahun merupakan sebuah kumpulan besar yang akan mewarnai landskap politik negara di masa hadapan.


Siapa yang tidak mahu mendengar hasrat dan aspirasi muda ini, mana-mana parti politik, mana-mana pemimpin tidak mahu mengetahui aspirasi mereka ini akan dihukum oleh mereka yang berumur 40 tahun ke bawah.

Sebab itulah saya amat mengalu-alukan program-program yang boleh menghimpunkan seramai mana generasi muda di bawah 40 tahun agar mereka merasakan mereka ini sebahagian daripada kepimpinan, detik nadi masyarakat bukan sahaja di Kota Belud malah di seluruh negara ini.



Pemimpin-pemimpn parti dari peringkat akar umbi samada dari Umno mahupun parti kompenan Barisan Nasional yang lain ketika ini perlu mengetahui apa dia aspirasi anak-anak muda di umur 21 tahun.

Jika dahulu pemimpin di peringkat akar umbi merancang serta mengadakan program sukan seperti sepak takraw, badminton, bolasepak untuk menarik perhatian golongan ini.

Sekarang keadaan sudah berubah, generasi muda masa kini lebih beminat dengan aktiviti yang lebih mencabar lebih lasak seperti program XPDC, X Games dan pelbagai lagi aktiviti yang tidak pernah dibuat di zaman terdahulu.


Pemimpin masa kini harus berubah untuk belajar menyelami hati dan naluri golongan remaja, kita tidak boleh samakan generasi muda masa kini seperti kumpulan muda sepuluh tahun yang lalu, generasi muda masa kini mempunyai aspirasi yang amat jauh berbeza, jika tidak pemimpin akan "dihukum" oleh mereka pada pilihanraya akan datang.

Saya juga menasihati generasi muda di daerah ini agar tidak mudah terpedaya dengan fitnah yang disebar luaskan oleh penulis-penulis blog di laman internet, ini kerana ia bertujuan menimbulkan kebencian rakyat terhadap kerajaan yang menjadi pemerintah di negara ini.

Terdapat bloggers-bloggers yang melontarkan fitnah dan tomahan yang tidak berasas kepada para pemimpin serta kerajaan Barisan Nasional yang bukan sahaja bertujuan mengelirukan pemikiran golongan belia malah rakyat secara keseluruhan demi kepentingan mereka sendiri.

Saya minta kepada adik-adik dalam masa kita melayari di laman internet adik-adik kena berhati-hati, jangan dengar dan cepat percaya segala tomahan serta fitnah yang tertulis di dalam blog. saya minta generasi muda hendaklah bertanggungjawab untuk menepis, menganalisa apa pun maklumat yang sampai kepada kita, jangan sampai bulat-bulat kita terima bulat-bulat juga kita telan.

Saya juga mengucapkan tahniah kepada Squad 169 kerana sanggup melakukan kerja-kerja sukarelawan membantu agensi-agensi kerajaan menyampaikan dasar-dasar kerajaan serta menyampaikan maklumat kepada masyarakat di peringkat akar umbi khususnya mereka yang berada di kawasan luar bandar.

Semangat sukarelawan di dalam sebuah tamadun merupakan tanda aras menunjukkan masyarakat itu sudah sampai ke satu tahap memiliki tamadun yang tinggi seperti mana apa yang sedang berlaku di negara-negara barat.

Di negara-negara barat generasi-generasi muda mereka bukan sahaja membuat kerja-kerja amal di negara mereka, malah mereka juga sanggup pergi ke negara-negara ketiga, negara yang lebih mundur untuk mengadakan program-program kemasyarakatan.

Kalau boleh Squad 169 bukan sahaja membuat kerja-kerja amal di daerah Kota Belud tetapi keluar dari daerah ini dan tunjukkan kepada orang luar bahawa remaja Kota Belud mampu untuk membantu mereka yang kurang berupaya di luar daerah ini malah di luar negara.

Hadir sama pada majlis itu antaranya Naib Ketua Pemuda Umno Kota Belud, Arshad Bistari, Pengerusi Squad 169, Mohd Nazarul Hizam Ahmad, Pengarah Jabatan Keselamatan Jalanraya Negeri Sabah, Adrian Shah serta para pemimpin setempat yang lain.

Friday, April 02, 2010

Anwar, APCO dan Israel... Mana penjelasan?

Penjelasan DS Anwar Ibrahim di dalam Parlimen terhadap Peraturan Mesyuarat yang saya bangkitkan di dalam Parlimen mengenai dakwaannya 1Malaysia diilhamkan oleh APCO dan hubungan APCO dengan kerajaan Israel bukan saja tidak meyakinkan malah beliau tidak memberi satu bukti langsung untuk mempertahankan tuduhannya.


Apa yang dibuat oleh beliau hanyalah memberi satu syarahan akademik mengenai geo-politik dunia yang sepatutnya dibuat di dewan kuliah universiti di Amerika Syarikat atau Eropah dan bukannya di Dewan Rakyat Malaysia . Banyak fakta terpilih (selective facts)  yang diungkit oleh beliau dalam penjelasan tersebut dan beliau cuba sedaya upaya untuk mengaitkan APCO dengan kerajaan zionis Israel tetapi malangnya tidak berjaya.


Untuk rekod, gagasan 1Malaysia diilhamkan pada bulan April 2009 oleh DS Najib semasa beliau mengambil tampuk kerajaan daripada Tun Abdullah Badawi. Perlantikan APCO hanyalah dibuat beberapa bulan selepas itu. Malah APCO telah memberi kenyataan keras menidakkan apa yang dituduh oleh DS Anwar.

APCO juga dituduh kononnya membantu menaikkan imej pemimpin-pemimpin despot dunia ketiga yang diktator, korup, zalim dan menindas rakyat mereka. Saya faham kenapa beliau mahu beriya-iya memberi gambaran sebegitu. Beliau sebenarnya mahu mengambbarkan juga bahawa dengan perlantikan APCO oleh Malaysia, beliau memberi bayangan bahawa DS Najib juga adalah seorang diktator, korup, zalim dan menindas rakyatnya sendiri.  Tetapi Anwar lupa bahawa pelanggan APCO juga merangkumi ASEAN, United Nation, World Bank dan berdozen-dozen lagi negara maju di dunia. Apakah institusi-institusi ini juga institusi kuku besi? Anwar perlu menjawab isu ini.

DS Anwar juga mengatakan bahawa ada beberapa anggota Panel Penasihat Antarabangsa APCO mempunyai kaitan dengan Israel. Jadi dengan itu katanya, Malaysia bersengkokol dengan Israel. Hujah  ini begitu lemah sekali. Pertama, Panel Penasihat antarabangsa APCO bukanlah badan yang mengurus tugasan harian APCO. Itu dipertanggungjawabkan kepada Executive Councilnya. Keduanya, kalaulah DS Anwar mengatakan salah untuk kerajaan berurusan dengan firma antarbangsa seperti APCO hanya kerana mereka mempunyai beberapa orang Yahudi di dalam Panel Penasihat Antarabangsa, apa pulak kata DS Anwar dengan pendedahan bahawa beliau mempunyai hubungan peribadi secara langsung dengan beberapa anggota Panel Penasihat Antarabangsa itu sendiri? (Klik disini untuk maklumat lanjut) .

Ada pemimpin PAS semasa berdebat di dalam Dewan mempersoalkan apa perlu kerajaan melantik syarikat komunikasi luar sedangkan banyak syarikat komunikasi tempatan yang dikatakan mempunyai kemampuan dalam bidang imej consultant dan komunikasi. Sebenarnya kerajaan bukan menidakkan kemampuan syarikat tempatan tetapi terma-terma rujukan perlantikan APCO melibatkan komunikasi antarabangsa. Ini mungkin termasuk memunyai hubungan dengan syarikat-syarikat gergasi komunikasi dunia seperti CNN, BBC dan lain-lain. Syarikat komunikasi tempatan tidak mampu untuk berurusan dengan dunia luar secara efektif berdasarkan keperluan sebuah negara seperti Malaysia.

Kesimpulannya, pada saya keputusan kerajaan untuk membawa DS Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen adalah satu keputusan yang tepat kerana tuduhan yang dibuat adalah serius dan tidak sepatutnya diluahkan oleh seorang pemimpin yang bercita-cita untuk menjadi ketua negara di masa akan datang.

Kongsi artikel ini: