Sunday, February 28, 2010

Khabar Terkini Air Kota Belud

Ramai penduduk Kota Belud masih mengalami masalah air yang kritikal. Banyak faktor yang boleh dijadikan penyebabnya. Apapun, saya tidak salahkan penduduk Kota Belud kerana air adalah keperluan asas yang terpenting dan mereka sudah terlalu lama menderita disebabkan oleh masalah air ini.

Ramai menyangka bahawa masalah air di Kota Belud bersangkut paut dengan bekalan air yang tidak mencukupi. Ironinya bekalan air di Kota Belud sebenarnya lebih dari mencukupi.

Senarionya adalah seperti berikut:

1.     Loji lama di pekan Kota Belud boleh mengeluarkan bekalan sebanyak 20 juta liter sehari. Manakala loji baru di kampung Bayayat pula boleh mengeluarkan bekalan sebanyak 15 juta liter sehari. Ini bermakna pengeluaran bekalan air bersih di Kota Belud adalah berjumlah 35 juta liter sehari.

2.     Sementara itu penggunaan air bersih di Kota Belud adalah sebanyak 32 juta liter sehari. Ini bermakna buat masa ini bekalan air di Kota Belud mempunyai reserve (baki) sebanyak 3 juta liter sehari atau hampir 10% daripada permintaan keseluruhannya.

3.     Mungkin ada yang bertanya secara sinis, kalau bekalan melebihi permintaan kenapa pula air tidak mengalir apabila paip dibuka?

Jawapannya ialah loji lama dan loji baru tidak mempunyai sambungan paip secara langsung! Biar saya terangkan...

4.     Loji lama mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 20 juta liter sehari tetapi permintaan air melalui rangkain paip yang disambungkan ke loji lama ini adalah 25 juta liter sehari. Maknanya loji ini tidak boleh menampung keperluan air sebanyak 5 juta liter sehari! Oleh kerana itu, dua tangki utama yang terletak di kawasan berhampiran JKR Kota Belud dan di kawasan kem tentera Paradise tidak dapat dipenuhi secukupnya. Sepatutnya paras air dalam kedua-dua tangki tersebut boleh mencecah lebih kurang 20 kaki dan pada ketinggian itu, tekanan air cukup kuat untuk menyalurkan air ke kawasan berdekatan. Sekarang ini paras air dalam kedua-dua tangki tersebut hanyalah lebih kurang 4 kaki. Sebab itu, catuan terpaksa dibuat untuk memastikan kawasan-kawasan yang terlibat mendapat giliran bekalan air.

5.    Di loji baru pulak, keadaannya terbalik. Kapasiti pengeluaran air di loji baru adalah 15 juta liter sehari manakala permintaan air melalui rangkaian paipnya hanyalah 7 juta sehari. Dalam kes loji baru ini, terdapat lebihan kapasiti pengeluaran air sebanyak 8 juta sehari!

Nota: Sebagai maklumat tambahan, kampung-kampung yang dulu tidak mempunyai bekalan air paip atau terpaksa bergantung kepada bekalan air graviti kini sudah pun mendapat air setelah ujudnya loji baru di kampung Bayayat itu. Antara kampung-kampung ini ialah kampung Bahap, Taginambur Batu 10, Tamalang, Singgah Mata, Ratau, Pinasang Tamu Darat,  Rajunah, Bokilong, Rangalau, Piasau, Tombulion dan Sorob (kampung-kampung dalam DUN Kedamaian)

6.     Sepatutnya bekalan air dari loji baru kampung Bayayat disalurkan ke loji lama untuk membantu mengatasi defisit pengeluaran di loji lama. Malangnya paip yang menyambungkan loji baru ke loji lama secara efektif tidak ujud.

7.    Oleh sebab itu, satu peruntukan telah pun diperolehi sebanyak RM4.3 juta untuk membina saluran paip khusus (dan pam-pam baru) untuk menyalurkan air berlebihan dari loji baru kampung Bayayat ke loji lama di pekan Kota Belud. Proses tender sudah pun selesai dan kerja-kerja akan bermula pada penghujung bulan Mac 2010. Projek ini dijangka selesai pada penghujung tahun ini (2010).

8.     Dengan ujudnya saluran paip khusus ini nanti, bekalan air dari loji baru akan dapat disalurkan ke loji lama untuk menampung kekurangan 5 juta liter sehari di loji lama.

Apabila projek ini selesai nanti, kawasan perkampungan sepanjang jalan KB-Kudat akan mendapat bekalan air yang mencukupi terutamanya kampung Taun Gusi, Jawi-Jawi, Kesapang sehinggalah penghujung paip sepanjang jalan KB-Kudat itu (DUN Tempasuk).

9.     Untuk kawasan kritikal yang lain seperti Kg Kulambai, Kuala Abai, Pantai Emas, dan kampung-kampung berdekatan (DUN Usukan) , peruntukan sebanyak RM5 juta sudah pun dipohon melalui bajet NKRA. Saya dimaklumkan oleh jurutera jabatan air Kota Belud, Encik Petrus, bahawa dalam mesyuarat baru-baru ini di Putrajaya, kerajaan persekutuan pada dasarnya  bersetuju untuk membiayainya.

10.    Masalah yang sama berlaku di kawasan perkampungan tersebut dan sepanjang jalan Kulambai sehinggalah ke pengkalan Kuala Abai. Tangki di kawasan Timbang Dayang tidak mampu dipenuhi air. Jadi saluran paip khusus dari tangki utama di JKR ke tangki utama di Timbang Dayang perlu dibina. Jika pembinaan ini diadakan, air akan dapat disalurkan ke tangki utama Timbang Dayang untuk dipam ke kampung-kampung berdekatan. Selain dari itu, banyaka lagi projek untuk menggantikan paip usang sedang rancak dilakukan di merata tempat di Kota Belud.

Kita tunggu dalam sebulan dua ini perkembangan selanjutnya.

11.    Untuk menyelesaikan keseluruhan masalah air di Kota Belud memerlukan masa. Kerajaan Persekutuan telah merancang untuk memastikan 90% kawasan berpendudukan di negeri Sabah akan mendapat bekalan air bersih melalui sistem retikulasi (paip) dan bekalan air alternatif seperti melalui sistem graviti dan sebagainya menjelang penghujung tahun 2012. Dengan komitmen itu, saya amat yakin bekalan air di Kota Belud juga akan dapat diselesaikan.

InsyaAllah.

Salam,

DARD

Saturday, February 06, 2010

Mampukah PSS menjadi persatuan terbaik - Majlis Songom Setemu-Temu



Minggu lepas saya merasmikan Majlis Songom Setemu-Temu anjuran Persatuan Sama Sabah (PSS). Majlis itu bertujuan untuk merapatkan silatulrahim antara ahli-ahli persatuan disamping mengumpulkan dana untuk program-programnya.

Kelahiran banyak persatuan-persatuan berasaskan suku kaum adalah perkembangan yang menarik dan sihat. Saya merasakan persatuan-persatuan berasaskan suku kaum ini adalah satu landasan yang baik untuk setiap ahli suku kaum tersebut untuk memperbaiki diri masing-masing. Tetapi ini hanya akan tercapai jika persatuan-persatuan tersebut memikirkankan soal-soal pokok dan bukannya soal-soal yang remeh-temeh atau isu-isu  yang hanya menjerumuskan persatuan dalam polemik perbahasan yang tidak ada kesudahannya.


Kita sudah melihat bagaimana perbahasan mengenai definasi asal usul dan nama suku kaum telah menyebabkan perbezaan pendapat yang serius dan menyebabkan perpecahan dalam kesatuan  dikalangan beberapa persatuan berasas suku kaum di Sabah. Saya berharap PSS tidak akan terlibat dalam polemik perbahasan seperti itu.

Selain daripada itu, adalah amat penting untuk persatuan-persatuan berasaskan suku kaum mengetahui apakah harapan kumpulan suku kaum yang mereka wakili tersebut? Tanpa mengetahui harapan mereka, mana mungkin persatuan akan dapat mencapai objektifnya. Dari pandangan saya, hampir kesemua persatuan suku kaum di Sabah meletakkan objektif memelihara budaya dan bahasa suku kaum masing-masing sebagai asas atau objektif persatuan. Walaupun dari segi lojiknya ia mungkin perkara yang penting, mungkin harapan ahli mereka berbeza. Mungkin ahli-ahli persatuan mahukan pembelaan ekonomi, agenda pendidikan dan gerakan mengubah minda sebagai objektif utama persatuan yang mewakili mereka. Kalau itulah yang mereka mahukan, maka pemimpin-pemimpin persatuan perlu ambil perhatian dan mengujudkan aktiviti-aktiviti yang menjurus kepada hasrat itu.

Saya amat berharap agar PSS dapat melihat bagaimana ianya boleh membentuk pasukan sukarelawan yang komited dan sanggup untuk turun padang untuk bersama-sama dengan penduduk-penduduk kampung dalam masa dan ketika penduduk kampung memerlukan keperihatinan. Contoh paling baik ialah semasa banjir besar baru-baru ini. Hampir kesemua mangsa banjir adalah suku kaum yang diwakili oleh PSS. Tetapi yang lebih kedepan dan dirasai kehadirannya ialah agensi-agensi kerajaan seperti RELA, Polis, Tentera, Jawatankuasa Bencana Alam dan Bulan Sabit Merah serta Jabatan Kebajikan. Alangkah elok kalau pasukan sukarelawan PSS berada di pusat-pusat penempatan mangsa banjir sepanjang masa supaya kehadiran PSS dirasai oleh mangsa banjir.


Saya juga ingin berkongsi beberapa cadangan dengan PSS. Saya berharap PSS akan:

  • Membina keyakinan diri orang Sama
  • Menambah kerja-kerja lapangan (field work) bagi mendekati akarumbi
  • Menubuhkan pasukan sukarelawan dikalangan anak-anak muda yang boleh turun kebawah untuk bergotong royong membuat program-program kemasyarakatan
  • Mengubah fikiran suku kaum sama untuk lebih mampu mengharungi cabaran kehidupan zaman kini. Ini memerlukan pendekatan saintifik bukan hanya pendekatan biasa.
  • Membudayakan pendidikan
  • Menggalakkan pertandingan yang sehat kerana melalui proses ini PSS boleh menengahkan individu-individu terbaik dari kalangan yang baik-baik
  • Mendekati remaja terutamanya yang bermasalah
  • Pastikan setiap orang Sama merasakan agenda PSS adalah agenda kepunyaan mereka. Kalau ini ujud, sudah tentu senang untuk mengajak mereka untuk berjuang bersama
  • Memastikan golongan ibu, wanita dan kanak-kanak tidak tercicir dalam perjuangan PSS
  • Memastikan adat dan budaya yang kolot dan tidak ada kena mengena dengan budaya suku kaum dan agama Islam serta melemahkan semangat bersaing dipupuskan
  • Tidak menyisihkan atau tidak memboikot mereka yang tidak berada dalam kepimpinan atau keahlian persatuan
  • Memastikan kepimpinan persatuan mendapat akses kepada informasi dan statistik terkini mengenai suku kaum Sama agar mereka dapat membentuk dasar dan program yang lebih tepat dan betul
  • Jangan sekali-kali biarkan politik menguasai agenda persatuan
  • Pastikan pendekatan persatuan "fun" atau "santai" dan tidak terlalu serius sehinggakan ianya terlalu protokol, birokratik dan "melemaskan"
  • Mendekati (engage) golongan akademik dan professional
  • Mendekati NGO seperti PIBG dan lain-lain
  • Memastikan tidak menjadi persatuan kebajikan semata-mata
  • Memastikan ahli memahami objektif persatuan
  • Menginspirasikan ahli
  • Menjadi suara hakiki kaum Sama


Bagi memastikan bangsa SAMA mampu berdiri megah, ahli-ahli seharusnya berganding bahu bekerja sama dalam pelbagai perkara dan bukan meletakkan tanggungjawab di atas bahu Presiden serta Ahli Jawatankuasanya sahaja. Kita kena ingat bahawa merubah nasib bangsa adalah tanggungjawab yang berterusan dan bukannya perkara mudah. Oleh itu ianya tidak boleh dilakukan seorang individu, ianya harus dipikul oleh semua yang mengakui diri mereka suku kaum SAMA di negeri Sabah ini.

Apapun saya bangga dengan PSS dan berharap ianya dapat meneruskan program dan akitiviti untuk ahli-ahli mereka.

Salam,
DARD

Kongsi artikel ini: