16hb Januari (Sabtu) - Sekembali saya dari London bersama rombongan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Jan 2010, keesokannya saya bergegas balik ke Sabah untuk melawat mangsa banjir di daerah Kota Belud. Sebenarnya ketika saya berada di London pun, pegawai-pegawai saya telah memaklumkan saya mengenai bencana banjir yang menimpa di Kota Belud.
17hb Januari (ahad) - Setibanya saya di KKIA saya terus bergegas ke penempatan mangsa banjir di penempatan sementara SMK Taun Gusi, Kota Belud dan Dewan Tun Said, Pekan Kota Belud bagi melihat sendiri keadaan mangsa-mangsa banjir di pusat-pusat penempatan itu.
18hb Januari (Isnin) - keadaan banjir di Kota Belud surut sedikit, namun demi memastikan keselamatan penduduk kampung yang terbabit dengan banjir mereka masih tidak dibenarkan pulang oleh Jawatankuasa Bencana Alam Kota Belud. Semasa saya melawat penempatan itu saya dapati yang ramai adalah kaum-kaum ibu dan anak-anak. Rupa-rupanya kaum bapa ramai yang berada di rumah mereka menjaga hartabenda yang ditinggalkan secara tergesa-gesa sewaktu berpindah ke pusat penempatan.
Saya amat simpati dengan apa yang mereka hadapi, lebih-lebih lagi ramai yang berpindah dengan sehelai sepinggang kerana tidak sempat untuk membawa pakaian atau kelengkapan seharian mereka. Tetapi semuanya ini bukan atas kehendak kita, bagi saya apa yang berlaku ini semuanya cuma salah satu ujian kecil dari Allah SWT. Saya telah memeluluskan bantuan beras, tikar, bantal, tuala wanita dan lampin pakaibuang bayi untuk diagihkan kepada mangsa di pusat-pusat penempatan itu. Saya juga telah berhubung dengan beberapa JKKK dan Ketua UMNO Cawangan dari kampung-kampung yang terputus hubungan untuk memberi bantuan tunai kepada mereka bagi meringankan sedikit sebanyak keperluan harian mereka.
19hb Jan (Selasa) - Saya telah mengajak Datuk Japlin Akim, Datuk Musbah Jamli dan Pegawai Daerah Kota Belud menaiki helikopter (sebagai ahli Parlimen saya diberikan peruntukkan khas penggunaan helikopter oleh kerajaan untuk kegunaan melawat kawasan parlimen) ke Kota Belud untuk melihat kesan banjir dari udara bagi memahami keadaan sebenarnya dengan lebih berkesan lagi. Dari udara, kami dapati masih banyak lagi rumah yang tidak boleh dihubungi menerusi jalanraya kerana jalanraya yang sedia ada tenggelam. Kami juga dapat melihat banyak sawah-sawah padi yang ditenggelami air. Tentunya anggaran kemusnahan belum dapat dipastikan namun saya yakin pihak kerajaan akan cuba membantu mangsa-mangsa yang terbabit.
Sepanjang 3 hari 3 malam bencana banjir melanda di daerah ini saya amat berpuas hati dengan gerak kerja yang telah digerakkan oleh Bilik Gerakan Bencana Alam Daerah Kota Belud yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Kota Belud, Mohd Najib Muntok. Memang betul ada kelemahan sedikit sebanyak di sana sini, tetapi secara keseluruhannya semua agensi-agensi seperti RELA, Pasukan Gerak Am (PGA), Balai Polis, KEMAS, Jabatan Kesihatan dan agensi-agensi lain telah memainkan peranan penting sepanjang operasi banjir ini. Jasa dan kerja keras mereka tanpa mengenal erti penat lelah amatlah dihargai.
Sesungguhnya tugas yang dipikul oleh mereka ini bukanlah satu tugas yang mudah dan ringan kerana keutamaan mereka adalah keselamatan orang ramai yang terlibat dengan banjir, syabas saya ucapkan.Saya berharap keadaan banjir akan bertambah baik dalam sehari dua lagi.
20hb Januari (rabu) - Dikhabarkan YAB Ketua Menteri akan melawat Kota Belud untuk memantau keadaan banjir dan seterusnya mendapat taklimat terkini daripada Jawatankuasa Bencana Alam Kota Belud. Tentunya dengan kehadiran YAB Ketua Menteri, fasa kedua bantuan iaitu bantuan membaiki rumah dan kerosakan hasil tanah pertanian akan dapat ditangani dengan lebih baik lagi.
Salam.
DARD

.jpg)

.jpg)




