Tuesday, November 02, 2010

Hari-hari terakhir di Batu Sapi

Setelah lapan hari berkempen, pilihanraya kecil Batu Sapi semakin hampir untuk melabuhkan tirainya. Dalam dua hari lagi, keputusan suara rakyat akan diketahui dan parti yang dipilih akan meraih kejayaan.

Saya telah mengepalai jentera Pemuda dalam 13 pilihan raya kecil dan umum sebelum ini dan saya ingin nyatakan bahawa jentera BN di Batu Sapi ini adalah antara yang terbaik kerana berjalan dengan lancar dan teratur. Hampir keseluruhan jentera tidak mempunyai masalah besar dan berdisiplin serta tidak banyak mengeluh dan mengadu.

Selalunya dalam pilihanraya, parti-parti yang bertanding akan menggaru kepala menyelesaikan perkara-perkara yang remeh. Banyak masa dihabiskan untuk memujuk, merayu dan menjaga hati petugas masing-masing. Saya selalu bergurau kalau ada 10 hari berkempen, tiga hari pertama dan tiga hari terakhir akan habis hanya untuk menyelesaikan soal-soal yang melibatkan hati, ego dan perasaan. Hanya empat hari saja yang ada untuk betul-betul berkempen. Tetapi di Batu Sapi masalah ini tidak timbul sangat. Ketua Bahagian Umno Batu Sapi, Yb Datuk Shamsuddin Yahya dan YAB Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman benar-benar dapat mengawal keadaan dengan baik.

Saya tidak dapat nafikan bahawa di Batu Sapi ini orang yang paling kuat bekerja ialah YAB Ketua Menteri sendiri. Selain mempengerusikan mesyuarat penyelarasan setiap hari, beliau juga menghadiri enam hingga tujuh ptogram sehari. Selepas itu beliau juga terpaksa melayan berpuluh-puluh orang di rumah beliau yang datang dengan segala jenis tujuan.

Melihat kepada senario semasa, ramai penganalisa politik memberikan gambaran bahawa BN masih mempunyai kelebihan untuk memenangi pilihanraya ini. Saya tidaklah mahu komen perkara ini tetapi saya percaya kalau gerakan kempen yang ditunjukkan oleh BN setakat ini, peluang adalah cerah.

Apa pun banyak cerita menarik dari sini. Insiden jatuh laut dua kali oleh Ansari menjadi cerita top dari Batu Sapi. Selain itu, saya pasti Datuk Seri Anwar merasa kekok dan janggal kerana ceramah-ceramah beliau hanya mampu menarik perhatian puluhan orang. Bagi seorang yang biasa dengan ribuan yang datang, tentunya beliau merasa janggal dan resah. Tetapi itulah hakikatnya di Batu Sapi. BN sudah lama mengetahui bahawa rakyat di Batu Sapi ini lebih suka kepada ceramah-ceramah kecil-kecilan dibandingkan dengan himlunan raksaksa. Sebab itulah, awal-awal lagi YAB Ketua Menteri minta supaya BN tumpukan kepada ceramah kecil dan gerakan rumah ke rumah.

Begitu juga insiden pergaduhan antara penyokong PKR mengenai pemilihan calon di airport Sandakan juga mengamit oerhatian ramai orang. Kematian petugas BN dari bahagian Kelana Jaya akibat serangan sakit jantung dan kematian seorang Ketua Cawangan UMNO juga perkara yang tidak diduga. Ucapan takziah kepada keluarga yang meninggal.

Satu perkara lagi yang menarik perhatian ramai orang terutamanya rakan-rakan dari Semenanjung ialah kebebasan akhbar-akhbar di Sabah. Mereka terkejut me,ihat akhbar-akhbar di Sabah menunjukkan kebebasan bersuara dengan memberi ruang secukupnya kepada semua parti untuk menerangkan dasar-dasar mereka. Ini amat membanggakan saya.

Apapun, kita berharap proses pengundian pada 4hb November akan berjalan dengan baik dan parti yang akan dipilih adalah parti yang terbaik. Insyaallah.

Salam,
DARD

No comments:

Post a Comment

Kongsi artikel ini: