Saturday, July 10, 2010

Promosikan Pesta Kaamatan Di Negeri-Negeri Lain Dalam Malaysia.

Semasa merasmikan pesta kaamatan di Kampung Melangkap Tomis saya mencadangkan sambutan pesta kaamatan seharusnya diadakan bukan sahaja setakat di peringkat kampung, negeri dan kebangsaan sebaliknya pesta ini juga perlu dianjurkan di negeri-negeri lain di negara ini.

Menganjurkan pesta tersebut sekali dalam setahun di negeri-negeri yang terpilih, ia secara tidak langsung dapat memperkenalkan budaya masyarakat Sabah dengan lebih dekat kepada masyarakat di negeri lain.

Sambutan pesta kaamatan saban tahun turut diadakan di Kuala Lumpur ini bermakna kerajaan mengiktiraf perayaan yang kita sambut sejak zaman berzaman di negeri ini.

Namun tidak semua masyarakat di Semenanjung dapat melihat sendiri perayaan tersebut ini kerana penduduk negeri lain tidak berkesempatan ke ibu negara.


Oleh itu perlu difikirkan cadangan supaya sambutan yang dianjurkan setiap tahun di Kuala Lumpur berpindah rendah dari satu negeri ke satu negeri, tidak hanya tertumpu di satu-satu tempat sahaja setiap tahun.

Pendekatan seumpamanya secara tidak langsung dapat mempromosikan budaya yang di negeri ini kepada masyarakat lain dengan lebih dekat lagi.

Pada majlis itu saya meluluskan peruntukan membina jambatan, dua buah mesin rumput dan peralatan sukan untuk belia di kampung itu.


Generasi muda perlu menghayati erti sebenar sambutan pesta kaamatan yang diadakan di seluruh negeri Sabah setiap tahun.

Kaamatan mengajar kita berkorban, setia dan berusaha bersungguh-sungguh kepada tanah untuk mendapatkan hasil yang lumayan.

Tanpa sikap sedemikian sudah pasti apa yang kita usahakan tidak menghasilkan pulangan yang memuaskan dan untuk mendapat hasil yang lumayan maka petani perlu sanggup berkorban, setia kepada tanah disamping berusaha tanpa merasa jemu.

Hadir sama pada majlis itu antaranya Timbalan Ketua Umno Bahagian Kota Belud, Awadnir Matanggal, Pengerusi JKKK Kampung Melangkap Tomis, Maine Sani, Ketua Kampung, Kampung Melangkap Tomis, Bakait Garong, Kapitan Masyarakat Cina Kota Belud, Lim Bun Poo serta para pemimpin setempat yang lain.

Salam
DARD

No comments:

Post a Comment

Kongsi artikel ini: