Sunday, July 11, 2010

Antara tohmahan rasuah dan rizab berbillion negeri Sabah

Saya teringat sewaktu saya menjadi Setiausaha Politik kepada YAB Datuk Seri Musa Aman pada Mac 2003. Keadaan ekonomi negeri Sabah pada waktu itu begitu mencabar sekali. Kewangan kerajaan berada dalam keadaan yang kurang memberangsangkan. Pertumbuhan ekonomi agak lembab dan kerajaan berdepan dengan seribu satu kekangan dalam menjana ekonomi negeri. Antara lain isu yang paling hangat diperkatakan pada waktu itu ialah isu kelewatan pembayaran kepada kontraktor. Jika kita ke pejabat Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan pada waktu itu, pejabat itu sesak setiap hari dengan kehadiran puluhan kontraktor yang menunggu pembayaran dari kerajaan. Kadang-kadang kesabaran pengunjung dan pegawai-pegawai pejabat Setiausaha Tetap diuji apabila penantian itu menjadi satu penyiksaan!

Pada bukan Oktober 2003, negara kita menyaksikan pertukaran kepimpinan Perdana Menteri. Tun Mahathir Mohammad mengundurkan diri dan tempatnya diganti oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi. Antara perkara awal yang Tun Abdullah putuskan semasa mengambil alih tampuk pentadbiran negara ialah mengumumkan pembayaran bonus kepada kakitangan kerajaan persekutuan. Apatah lagi ramai yang meramal pada waktu itu bahawa pilihanraya akan diadakan pada awal 2004.

Seperti biasa, kerajaan negeri Sabah akan memutuskan untuk mengikut tindakan kerajaan persekutuan dan memberikan bonus kepada kakitangan kerajaan negeri. Dan seperti yang dikatakan awal tadi, yang menjadi masalah ialah pada waktu itu kerajaan negeri tidak mempunyai kewangan yang kukuh. Maka terpaksalah Ketua Menteri yang juga merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Musa Aman memerah otak untuk mencari jalan meningkatkan dana negeri bagi tujuan menyelesaikan pembayaran bonus tersebut. Bayangkan jumlah sebulan bonus adalah bersamaan dengan lebih kurang RM42 juta! Bukan sedikit jumlahnya.

Tetapi berkat kebijaksanaan, pengalaman dan keupayaan Kementerian Kewangan, dibawah kawalan Datuk Seri Musa Aman, mengendalikan ekonomi negeri Sabah, bonus kerajaan negeri dapat dibayar. Malah kebanyakan hutang kerajaan negeri telah dilangsaikan termasuk hutang kepada kontraktor-kontraktor. Ekonomi negeri Sabah semakin rancak dan pendapatan kerajaan bertambah dari tahun ke tahun. Saya difahamkan tahap rizab kerajaan yang agak mengecewakan semasa Datuk Seri Musa mengambil tampuk pemerintahan pada Mac 2003 kini telah menunjukkan tahap yang amat membanggakan. Sekarang, rizab kerajaan negeri ialah RM3.2 bilion sementara rizab Yayasan Sabah ialah RM1.7 bilion. Ini tidak termasuk ratusan juta rizab tunai beberapa agensi kerajaan negeri seperti Warisan Harta, Suria Capital, Sabah Credit Corporation dan lain-lain lagi.

Masa hadapan kewangan kerajaan negeri Sabah juga akan menjadi lebih cerah berikutan unjuran pendapatan yang lebih dari royalti minyak dengan penemuan telaga-telaga minyak baru di Sabah. Sektor perlancongan dan perkhidmatan juga terus diramal menjadi tulang belakang kepada ekonomi negeri termasuk perladangan dan perhutanan. Ini dapat dibuat tanpa mengorbankan keunikan dan kehebatan flora dan fauna negeri Sabah.

Dengan kejayaan demi kejayaan yang saya sebutkan ini, saya terkial-kial mencari rasional tohmahan nakal di dalam blog-blog bahawa kepimpinan kerajaan negeri Sabah adalah korup dan rasuah. Kalau benarlah tohmahan tersebut, saya pasti kerajaan tidak akan ada wang rizab berjumlah berbillion-billion. Jumlah yang besar itu tentunya akan menjadi sasaran utama dan paling senang oleh orang yang korup dan rasuah. Saya rasa tidak akan sampai tiga bulan, wang itu boleh habis dibelanjakan dan menjadi habuan kepada kroni dan proksi. Hakikatnya wang rizab itu masih ada dan tidak dibelanjakan. Jadi kesimpulan saya ialah tohmahan itu hanyalah satu tohmahan sahaja. Nakal dan bermotif. Tidak lebih dari itu. Dan sesiapa yang mempercayainya tidak berpijak pada bumi yang nyata.

Salam,

DARD

No comments:

Post a Comment

Kongsi artikel ini: