Tuesday, May 18, 2010

Jangan politikkan isu Islam dalam MyKad



Oleh : ISMAIL MOHD ROSLI
BARISAN Nasional (BN) Sabah bersimpati dengan rakyat di negeri ini yang mempunyai masalah dengan kad pengenalan atau mykad, terutama isu yang berkaitan dengan status agama Islam.
Setiausaha Barisan Nasional Sabah, Datuk Abdul Rahman Datuk Dahlan berkata, BN Sabah tidak mempunyai masalah jika ada rakyat di negeri ini yang ingin berjumpa dengan sesiapa sahaja termasuklah dengan pihak pembangkang untuk menyelesaikan isu seumpamanya.
Namun begitu beliau berkata, diharap pihak-pihak yang mahu membantu ini biarlah mereka membantu dengan hati yang ikhlas dan cuba menyelesaikan masalah tanpa menimbulkan kekeliruan isu tersebut.
“Kita turut bersimpati dengan isu-isu yang melibatkan rakyat di negeri ini berkenaan dengan kesilapan-kesilapan yang berlaku dalam kad-kad pengenalan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara, BN turut ingin membantu menyelesaikan masalah seumpamanya.
“Kita berterima kasih kerana banyak pihak yang ingin membantu rakyat negeri Sabah untuk menyelesaikan masalah ini, cuma biarlah mereka membantu dengan hati yang ikhlas dan cuba menyelesaikan masalah tanpa menimbulkan kekeliruan isu tersebut.”
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi PKR Sabah, Christina Liew yang melibatkan seorang individu bernama Adenin Bin Ahmad yang disiarkan di akhbar tempatan baru-baru lalu.
Abdul Rahman berkata, ada beberapa pekara dalam kenyataan Christina Liew itu yang tidak tepat yang perlu diperbetulkan.
Menurutnya, soal tentang bin dan binti ,Christina Liew memberi gambaran bahawa Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Sabah (JPN) keliru hanya kerana seseorang itu mempunyai nama bin dalam namanya, ataupun binti maka JPN sewenang-wenangnya  mengklasifikasikan mereka ini sebagai orang Islam dan gambaran Christina Liew itu telah mengelirukan.
Jelas Abdul Rahman, pemberian status agama Islam oleh JPN bukan berdasarkan bin atau binti dalam mykad seseorang, sebaliknya ianya berdasarkan kepada dokumen-dokumen ibu dan bapa sewaktu memohon sijil kelahiran ataupun sewaktu mykad dipohon.
Katanya, dalam prosedur JPN amat terang dan jelas bahawa seseorang itu hanya diberikan status agama Islam berdasarkan dokumen ibu dan bapa sewaktu permohonan dibuat.
“Kenyataan Christina Liew amat mengelirukan, sebagai seorang Peguam beliau mesti mengetahui bahawa prosedur memang ada, prosedur di dalam JPN ialah untuk mengeluarkan status Islam kepada bukan Islam mesti melalui proses yang telah ditetapkan oleh undang-undang.
“Iaitu mesti mendapat kepastian pengistiharan daripada Mahkamah Syariah, ini adalah prosedur, kecualilah jika Christna Liew merasakan tidak ikut prosedur itu adalah satu perkara yang dibenarkan, inilah prosedur yang ada di dalam negara kita, terpaksa kita gunakan prosedur ini.
“Bermakna seseorang itu kalaupun dia menggunakan surat sumpah satu pernyataan berkanun yang mengatakan beliau bukan Islam ataupun surat baptisam beliau untuk mengatakan beliau itu bukan Islam itu tidak mencukupi, itu boleh menguatkan lagi hujah si pemohon tetapi itu bukan dokumen yang diterima pakai dalam prosedur ini.”
Terang Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Kota Belud, Christina Liew juga mengatakan bahawa Pengarah JPN Sabah tidak mahu berjumpa dan memberi alasan yang pelbagai dalam mencari jalan penyelesaian kes Adenin Bin Ahmad.
Menurut beliau, mengikut rekod daripada JPN Sabah, Christina Liew dan mereka yang terlibat ini telahpun diberi penjelasan yang secukupnya.
“Mahkamah Syariah telahpun memulakan perbicaraannya pada 11 Mei 2010, maka eloklah supaya kita bersabar menunggu keputusan Mahkamah Syariah, itulah pendekatan JPN yang selari dengan peraturan yang sedia ada.
“Saya merasa kesal, Christina Liew memberi gambaran seolah-olah JPN itu cuba mengelak untuk menyelesaikan masalah itu, jadi seperti mana yang saya katakan tadi prosedur ada yang perlu diikuti, maka itu tidak timbul soal JPN untuk mengelak daripada menyelesaikan isu itu.”
Menyentuh dakwaan Pakatan Rakyat yang mengatakan bahawa beribu kes tersebut  berlaku di negeri Sabah, Abdul Rahman juga mahu tahu dan isu-isu tersebut mestilah diselesaikan sebaik mungkin jika ia benar berlaku.
“Kalau ada betul-betul isu-isu yang melibatkan beribu-ribu orang seperti yang dinyatakan oleh Christina Liew, saya minta supaya pihak beliau memberikan senarai itu kepada pihak JPN.
“Kalau setakat cakap beribu tapi tidak ada kebenaran, saya rasa itu tidak berlaku adil  kepada JPN kerana kalau isu-isu yang melibatkan kesilapan perkeranian itu senang untuk diubah tetapi mungkin ada isu-isu yang melibatkan dokumen ibu dan bapa menunjukkan mereka itu Islam, maka JPN tidak mempunyai pilihan dan meletakkan status agama Islam kepada anak yang memohon,” tambahnya lagi. (SABAHKINI.NET)




*** Sebagai tambahan untuk rujukan:


Ada beberapa dakwaan Christina Liew yang saya ketengahkan: 


(1) Christina Liew mendakwa JPN secara sembrono meletakkan status agama Islam hanya kerana sesorang itu mempunyai Bin atau Binti dalam namanya atau namanya mirip nama orang Islam. Itu tidak betul. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan meletakkan status Islam dalam MyKad kerana bapa pemohon adalah berstatus Islam. Dalam kes Adenin Bin Ahmad, dokumen yang diserahkan oleh bapanya kepada JPN semasa memohon MyKad untuk Adenin adalah jelas menunjukkan beliau Islam. Nama beliau ialah Ahmad Bin Ali dan berbangsa Melayu. Maka berdasarkan dokumen tersebutlah, JPN meletakkan status agama Adenin sebagai Islam bukan kerana ada Bin dalam nama ayahnya atau nama ayah dan anama beliau mirip nama Islam 


(2) CL juga mengatakan bahawa Adenin telah membuat pengakuan bersumpah (statutory declaration) dan menunjukkan sijil baptism dan dengan itu membuktikan bahawa Adenin bukanlah orang Islam. Perlu diingat bahawa prosedur untuk membatalkan status Islam dalam MyKad bukan bidang kuasa JPN. Mereka hanya boleh berbuat demikian sekiranya Mahkamah Syariah mengarahkan mereka. Setakat ini belum ada arahan dari Mahkamah Syariah kerana kes Adenin ini masih dibicarakan. CL maklum perkara ini tetapi masih berdegil untuk meminta JPN mengubah status agama Adenin 


(3) Dakwaan JPN tidak mahu membantu dan cuba mengelak CL - Isu ini tidak timbul kerana JPN telah pun mengadakan perbincangan dengan Adenin dan bapanya. Malah CL juga sudah diberi taklimat. Pertemuan pada 13hb Mei 2010 itu tidak akan membuahkan hasil kerana Mahkamah Syariah baru memulakan perbicaraannya pada 11hb Mei 2010. JPN berpendapat eloklah setelah Mahkamah Syariah membuat keputusan barulah perbincangan seterusnya dibuat


(4) Dakwaan beribu rakyat Sabah menghadapi masalah yang sama - Saya rasa eloklah CL memberi nama-nama tersebut kepada JPN untuk diteliti secara "case by Case Basis". JPN telah berjanji untuk membuat pembetulan jika ada kesilapan perkeranian (clerical errors).


** Tambahan komen 20hb Mei 2010.
Saya amat kecewa kerana Daily Express telah memesongkan kenyataan saya dengan melapurkan kononnya saya berkata bahawa masalah status Islam dalam MyKad dapat diselesaikan jika rakyat tidak mengadu kepada pembangkang. Daily Express menulis "Sabah BN Secretary, Datuk Abdul Rahman Dahlan said the problem could be easily resolved if those affected would refrain from getting help from the opposition". 


Dalam sidang akhbar saya, saya langsung tidak menyebut begitu. Malah saya berkali-kali mengatakan bahawa saya tidak mempunyai masalah jika rakyat mengadu kepada pembangkang mengenai masalah yang mereka hadapi. Semua akhbar lain menyiarkan begitu kecuali Daily Express. Saya akan menghubungi Ketua Editor Daily Express Saudara James Sarda untuk meminta penjelasan. Daily Express telah membuat kenyataan berniat jahat dan tidak mengikut etika kewartawanan. 

9 comments:

  1. tahniah Datuk kerana berjaya menjawab persoalan tersebut. beginilah penjelasan terperinci yang kita mahu. tiada istilah semberono jika pihak JPN merujuk kepada dokumen2 terlebih dahulu sebelum memberikan status pengenalan diri.

    ReplyDelete
  2. jadi isu Adenin ini sebenarnya diluar bidang JPN. jd jangan ambil jalan mudah menukar status agama hanya melalui JPN, mahkamah syariah yang berkuasa tentukan.

    ReplyDelete
  3. diharapkan selepas ini tidak ada pihak yang cuba politikkan isu ini. kepada individu yang ragu2 dengan status mereka, rujuklah mana2 JPN terdekat bukannya melalui parti politik.

    ReplyDelete
  4. Isu islam tidak boleh dipolitikkan dengan Mykad kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan masyarakat di Sabah. Memang ramai yang bukan islam ada bin / binti. Masyarakat majmuk di negeri Sabah ini terdiri dari pelbagai bangsa dan agama jadi isu-isu islam ini kalau dipolitikkan boleh merosakan keharmonian kita di Sabah.

    ReplyDelete
  5. Mengapa perlu kita politikkan isu islam dengan mykad. Memang betul yang NRD tidak ada kaitan dengan isu islam dengan mykad dan hanya penama yang memegang mykad adalah orang yang bertanggung jawab dengan agama mereka. Penentuan agama islam ini adalah hak individu dan hanya dia saja yang berhak tentukan agamanya di mykad. So tidak timbul campurtangan mykad. Bagi saya, suatu keterangan yang tidak betul dikeluarkan oleh mana-mana individu yang berkait dengan politik adalah bertujuan untuk meraih perhatian masyarakat semata-mata!

    ReplyDelete
  6. Tak perlu lah politikkan hal ni bah..
    bagus lagi sama2 cari jalan utk selesaikan hal ni - lagi banyak manfaat :)

    ReplyDelete
  7. Untuk selesaikan perkara sebegini, ada baikknya semua pihak bekerjasama..
    Tak payah main pasing2/tunding menunding...
    asalkan ada kesatuan pasti semua masalah senang atur :P

    ReplyDelete
  8. Salam Datuk,

    Tahniah kerana memberi penjelasan mengenai perkara ini. Mudah-mudahan ia membuka mata semua orang bahawa ada pihak yang sentiasa menanti peluang untuk memesongkan rakyat samada dari segi politik mahupun agama. Semoga kita semua sentiasa berwaspada dengan dakyah seumpama ini.

    ReplyDelete
  9. Isu ini tidak sepatutnya dipolitikkan.

    ReplyDelete

Kongsi artikel ini: