Friday, April 30, 2010

Konsep 4K Perlu Menjadi Amalan Pengusaha Homestay

Konsep 4K iaitu kemesraan , kebersihan, keharmonian dan keselamatan perlu menjadi keutamaan kepada setiap pengusaha homestay, ini penting diberi perhatian bagi membolehkan industri itu terus mendapat sambutan secara berkesinambungan dari pelancong dari dalam dan luar negara.

Saya menjelaskan demikian ketika berucap di majlis pelancaran Pesta Budaya Dusun dan pelancaran Melangkap Homestay yang diadakan di Dewan Serbaguna Kampung Melangkap, Kota Belud, baru-baru ini.

Majlis tersebut telah disempurnakan perasmiannya oleh sahabat saya Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Hal Ehwal Pengguna, YB. Datuk Herbert Timbon Lagadan yang juga selaku Wakil Rakyat Kadamaian.



PAda pendapat saya industri homestay yang diwujudkan di peringkat kampung dapat terus berkembang maju dan mampu bertahan lama jika konsep 4K diutamakan oleh pengusaha yang terlibat dalam industri tersebut.

Kegagalan pihak pengusaha-pengusaha homestay menjadikan konsep 4K sebagai resepi utama ke arah memajukan industri ini sedikit sebanyak akan memberi impak negatif.

Bayangkan jika penduduk kampung tiada kemesraan dengan pelancong, kampung tiada kebersihan, tidak ada keharmonian di kalangan penduduk kampung dan keadaan keselamatan tidak terjamin sudah pasti gambaran kurang elok ini akan menyebabkan pelancong tidak mungkin akan kembali ke homestay tersebut dan menceritakan kepada rakan mereka yang akhirnya merugikan kepada pengusaha terbabit.

Industri pelancongan yang semakin rancak membangunkan merupakan industri yang penting kepada negara, ini kerana ia mampu meransang ekonomi bukan sahaja kepada negara malah berupaya memberi pulangan yang lumayan kepada rakyat yang mengusahakannya.

Kalau dulu kita memikirkan kayu balak sebagai sumber pendapatan negeri kita, kemudian minyak, kelapa sawit, koko dan juga bidang-bidang pertanian yang lain, tetapi sejak akhir-akhir ini kerajaan mendapati bahawa industri pelancongan perlu dibangunkan kerana ia berupaya menjana ekonomi rakyat dan negara ini.

Saya amat berterima kasih kepada kerajaan kerana bukan sahaja menumpukan pembangunan pelancongan hotel atau resort bertaraf lima bintang, enam bintang malah turut memperkembangkan program homestay di kampung-kampung yang dapat melonjakkan ekonomi rakyat di peringkat akar umbi.

Sehubungan itu, untuk mengembangkan industri itu dengan lebih pesat lagi ia memerlukan kerjasama daripada semua pihak bukan sahaja daripada pengusaha, Kementerian Pelancongan tetapi juga setiap individu di dalam kampung yang terlibat dalam industri itu.

Hadir sama pada malis itu antaranya Presiden Persatuan Homestay Sabah,Jeffry Yahya, Wakil Kementerian Pelancongan Malaysia, Shalizam Mohd Ali, Penyelaras Program Melangkap Homestay, Rubbin Guribah, Timbalan Ketua Bahagian Umno Kota Belud, Awadnir Matanggal, Naib Ketua Pemuda Umno Kota Belud, Arshad Bestari, Wakil Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud, Sabli Nanti serta para pemimpin setempat yang lain.

3 comments:

  1. Konsep 4K iaitu kemesraan , kebersihan, keharmonian dan keselamatan perlu menjadi keutamaan kepada setiap pengusaha homestay. Kerana dengan cara ini sahaja pelancong-pelancong asing akan berasa lebih selesa dan selamat semasa berada di perkampungan tersebut. Konsep 4K ini juga tidak tertumpu di bahagian Kota Belud saja tapi di daerah-daerah lain juga seperti Kinabatangan, Kundasang dan dsbnya.

    ReplyDelete
  2. saya setuju dengan penulis, 4k ini mampu merangsang industri pelancongan di sabah. setiap individu perlu jadi penggerak agar industri ini terus berkembang.

    ReplyDelete
  3. Konsep 4K iaitu
    1. kemesraan
    2. kebersihan
    3. keharmonian
    4. keselamatan

    Memang perlu menjadi amaln pengusaha Homestay kerana kebanyakan mereka tinggal di dalam kampung yang tidak berapa biasa tinggal beramalan demikian. Harap mereka akan memerhatikan amlan konsep 4k ini.

    ReplyDelete

Kongsi artikel ini: