Saturday, March 06, 2010

Jawatan Setiausaha BN Negeri Sabah - Satu tanggunjawab dan amanah

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan BN negeri dan pusat yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk menjadi Setiausa BN Negeri Sabah yang baru.

Sesungguhnya jawatan ini adalah menjadi satu tanggungjawab yang amat mencabar terutamanya dalam lingkungan lanskap politik negara masa kini.

BN Sabah agak unik berbanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia. Di Sabah ahli-ahli jawatankuasa BN negeri kebanyakannya terdiri daripada presiden-presiden komponen parti BN. Datuk Seri Panglima Pairin Kitingan adalah presiden PBS, manakala Tan Sri Bernard Dompok (presiden UPKO), Datuk VK Liew (presiden LDP) dan Tan Sri Joseph Kurup (presiden PBRS). Ahli-ahli lain adalah pengerusi perhubungan parti MCA Sabah (Datuk Edward Khoo), Gerakan Sabah (Gordon Leong), MIC Sabah (Datuk V. Jothy) dan YAB Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman (Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah) selaku pengerusi. Selain daripada mereka yang sebut di atas,  saya, Datuk Hajiji Hj Mohd Noor dan Datuk Seri Panglima Yahya Husin turut sama menjadi ahli. Ini bermaksud komposisi ahli jawatankuasa BN di negeri Sabah hampir menyerupai komposisi keahlian dalam Dewan Tertinggi BN Malaysia dengan kehadiran ramai presiden-presiden parti komponen.

Di negeri-negeri lain, keahlian jawatankuasa BN negeri hanyalah terdiri daripada pengerusi-pengerusi badan perhubungan parti komponen di negeri itu sahaja. Contohnya di Johor, Menteri Besar Johor selaku pengerusi tidak perlu berurusan dengan presiden parti komponen. Beliau hanya bermesyuarat dengan pengerusi perhubungan parti komponen di negeri Johor sahaja. Maknanya, tidak ada presiden parti menjadi ahli jawatankuasa BN peringkat negeri seperti Johor kecuali di Sarawak di mana presiden PBB (Tan Sri Abdul Taib Mahmud) menjadi pengerusi dan keahliannya merangkumi presiden-presiden komponen SUPP, SPDP dan PRS.

Walau bagaimana pun, jawatankuasa penyelaras negeri Sarawak mempunyai satu perbezaan ketara dibandingkan dengan Sabah iaitu pengerusinya di negeri Sarawak adalah merupakan presiden parti komponen dan menduduki kerusi dalam Dewan Tertinggi BN pusat manakala di Sabah, pengerusinya ialah Ketua Menteri yang hanya seorang ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia.

Dari segi sudut ini, maka senario BN negeri Sabah mempunyai kelainannya tersendiri.Tentunya dengan kehadiran presiden-presiden komponen (PBS, UPKO, LDP dan PBRS) menyebabkan mesyuarat BN negeri Sabah lebih "meriah" dan "menarik" serta "authoritative".

Senario unik ini ada persamaan dengan keadaan di dalam Pergerakan Pemuda Barisan Nasional. Contohnya, Pengerusi Pemuda BN Sabah sebelum ini ialah Datuk Japlin Ahkim. Beliau bukan ahli jawatankuasa Pemuda BN pusat tetapi mempengerusikan mesyuarat Pemuda BN negeri yang dianggotai oleh Ketua-Ketua Pemuda komponen parti yang menjadi ahli dalam jawatankuasa Pemuda BN pusat.

Menyedari "keunikan"  ini, saya selaku Setiausaha Pemuda UMNO  /BN pusat pada masa itu meminta Dato Seri Hisammuddin Tun Hussein (Ketua Pemuda UMNO/BN) untuk melantik Datuk Japlin sebagai ahli jawatankuasa Pemuda BN Malaysia supaya beliau boleh mengikuti perkembangan mesyuarat Pemuda BN pusat bersama Ketua-Ketua Pemuda komponen BN Sabah yang lain. Bayangkan kalau tidak dilantik sebegitu, Datuk Japlin akan mempengerusi mesyuarat tanpa mengetahui apa yang dibincangkan dalam mesyuarat Pemua BN pusat.

Selain daripada memastikan kefahaman masyarakat terhadap dasar-dasar kerajaan BN dan menangani permasalahan rakyat secara konsisten, saya juga telah meletakkan objektif  untuk "meremajakan" BN Sabah untuk mendekatkan lagi BN Sabah kepada golongan muda yang akan menjadi penentu kepada pilihanraya ke 13 nanti. Penduduk Malaysia berumur 40 tahun kebawah akan berjumlah 73% daripada keseluruhan penduduk Malaysia dan akan menjadi segmen populasi yang amat "berharga" kepada setiap parti politik yang mahu membentuk kerajaan. Suka tidak suka, harapan dan aspirasi dan suara mereka perlu didengar dan diberi perhatian. Mereka ini tidak mempunyai kesetiaan yang menebal terhadap mana-mana parti tetapi akan menjadikan nilai-nilai keterbukaan, kejujuran, kebertanggungjawaban dan ketelusan sebagai asas membuat pilihan dalam pilihanraya nanti.

Kalau dulu, isu pembangunan dan kekuatan politik luarbiasa BN mampu untuk memastikan kejayaan BN sehingga 12 kali dalam pilihanraya umum di Malaysia. Namun sekarang pengundi muda mahukan lebih dari itu. Biarpun BN telah berjaya membina negara yang maju dan progresif selama 47 tahun, semua itu tidak akan menjamin kejayaan BN dalam pilihanraya. Pengundi muda mahukan kerajaan memahami aspirasi mereka dan seterusnya mahu menterjemahkannya kedalam dasar-dasar kerajaan.

Bagi membantu saya dalam menjayakan objektif saya ini, saya akan menggunakan rangkaian sosial (social networking) melalui Twitter, Facebook, laman web dan blog untuk "reaching out" kepada golongan muda ini yang rata-ratanya mempunyai akses kepada komputer dan talipon bimbit. Mereka ini lebih selesa dengan pendekatan begitu dibandingkan ceramah dan program-program politik.

(Nota: sila ikuti saya di Twitter: "BNsabah" atau "mpkotabelud". Di Facebook: "Abdul Rahman Dahlan" dan blog: "http://mpkotabelud.blogspot.com/")

Selain daripada golongan muda, kumpulan yang perlu didekati oleh BN Sabah ialah golongan professional yang nampaknya sudah bersedia dan selesa dengan lanskap politik negara yang baru ini. Golongan ini akan menjadi penting apabila mereka mengundi nanti. Kalau mereka tidak dapat didekati, saya khuatir mereka akan menjadi satu liabiliti kepada UMNO/BN kelak.

Apapun, saya akan cuba yang terbaik untuk merealisasikan objektif ini dengan berbekalkan pengalaman sebagai bekas Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri dan bekas Setiausaha Pemuda UMNO/ BN Malaysia. Saya juga akan mendekatkan diri dengan media agar mereka dapat membantu menyembarkan maklumat berkeaan dengan BN negei Sabah.
Akhir kata, sebelum terlambat saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada pengerusi-pengerusi penyelaras di peringkat kawasan parlimen atas perlantikan mereka sepertimana yang diumumkan oleh Ketua Menteri baru-baru ini. Ada 10 muka baru manakalan 15 lagi muka lama!

InsyaAllah BN akan tetap mendapat tempat dihati rakyat.

Salam, DARD

5 comments:

  1. Salam YB Dato'
    Saya dah baca artikel YB Dato' sebentar tadi dan telah faham isi kandungannya, maka bertambah lah pengalaman dan ilmu politik saya dengan penerangan jelas dan panjang lebar dari YB Dato'..terima kasih dan sekalung TAHNIAH diatas perlantikan YB Dato' selaku SU BN Sabah, maka bertambah lah beban dan cabaran kerja YB Dato' pikul selain MP Kota Belud, tapi harap bersabar kerana Allah sentiasa bersama-sama orang yang sentiasa bersabar, kami doa kan agar YB Dato' sukses dalam menjalankan tugas 2 dalam 1 ini, TAPI...saya dan kawan saya ada menilik dalam mangkuk ajaib bahawa pada PRU-13 nanti YB Dato' akan menjadi calon DUN akan tetapi tempat DUN tidak jelas sebab sewaktu menilik pada Ahad @ 07/03/2010 (petang)hujan renyai-renyai telah turun di Kota Belud ini membuat kan air dalam mangkuk berkocak terkena hujan tersebut dan lokasi DUN pun tidak berapa jelas....hahahaha, Naujubilaminjalik

    ReplyDelete
  2. assalamualaikum..
    tahniah dan selamat maju jaya...

    ReplyDelete
  3. Tahniah,,,beban kerja bertambah banyak,,moga perlantikan tersebut akan menjadi pemankin kepada perkhidmatan kepada rakyat.Rakyat akan mengadili jika keperluan mereka direncanakan dengan sebaik-baiknya dan juka disebaliknya pula,,,,?

    ReplyDelete
  4. Tahniah di ucapkan, diharapkan dengan perlantikan tersebut dan harapan rakyat agar dapat dimanfaatkan.

    ReplyDelete
  5. Salam DARD Tahniah..semoga suara dan harapan anak belia dapat didengar oleh pemimpin atasan seperti Dato.

    ReplyDelete

Kongsi artikel ini: