Monday, March 15, 2010

Isu anak ramai dan statistik kemiskinan...

Semalam saya dikunjungi seorang penduduk kampung dari Kota Belud. Hasratnya ialah untuk memohon bantuan membina rumah kecil untuk ibunya yang kehilangan rumah akibat kebakaran. Beliau berkata dia tidak berkemampuan kerana kemiskinan dan hanya hidup serba kekurangan seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Saya mendengar dengan teliti apa yang diluahkan dan bersimpati dengan beliau dan meminta beliau bersabar menghadapi musibah yang menimpa keluarganya. Saya memberitahu beliau bahawa saya akan membincangkannya dan akan mengambil tindakan susulan. Beliau nampak berpuas hati dengan jawapan saya.

Sebenarnya, bukan itu yang saya ingin kongsikan bersam dengan para pembaca. Yang saya ingin timbulkan dalam tulisan ini ialah jawapan beliau apabila saya bertanya khabar keluarga beliau dan apa latarbelakang kerja beliau.

Saya amat terkejut apabila mendengar jawapan beliau apabila ditanya berapa orang anaknya. Dia dengan tersenyum menjawab bahawa dia mempunyai anak seramai 10 orang! Saya merasa seperti tidak percaya ada lagi manusia yang mendapat anak seramai 10 orang terutamanya dalam zaman sekarang ini.

Setelah mendengar statistik ahli keluarganya, saya terfikir bagaimana untuk membasmi kemiskinan dikalangan penduduk Kota Belud jika orang kampung yang miskin tidak mengendahkan soal "merancang keluarga".

Bayangkan senario ini. Kalau sebelum kahwin, hanya dua orang (iaitu si ibu dan si bapa) yang menjadi sebahagian daripada statistik kemiskinan di Kota Belud. Setelah berkahwin dan mempunyai 10 orang anak, statistik kemiskinan di Kota Belud tentunya meningkat dengan kemasukan jumlah 10 orang anak itu tadi.

Persoalannya, jika 10 orang anak itu dapat diberi pelajaran yang secukupnya dan dijaga pertumbuhan fizikalnya dengan memeberi makanan yang berzat dan persekitaran kehidupan yang memberangsangkan, saya rasa bukan sahaja mereka tidak akan termasuk di dalam statistik lemiskinan, malah mereka akan mampun membantu mengurangkan jumlah orang msikin di Kota Belud dengan membantu ibu dan bapa mereka keluar dari lingkaran ganas kemiskinan dengan memberi kehidupan yang lebih selesa.

Malangnya, ini tidak terjadi. Hakikatnya, besar kemungkinan 10 orang anak itu tadi tidak mampu diberi pembelajaran yang secukupnya. Lebih malang lagi jika mereka akan terkandas dalam persekolahan dan akhirnya akan berpotensi untuk menjadi orang miskin seperti ibu dan bapa mereka. Ini terbukti apabila, saudara yang berjumpa dengan saya itu mengaku bahawa 6 orang anak beliau sudah berhenti sekolah kerana ketidakmampuannya untuk menyekolahkan mereka.

Sebenarnya, "strategi" yang lebih baik ialah berpuas hati dengan mendapat zuriat hanya dua atau tiga orang anak. Kemudian tumpukan segala tenaga dan usaha untuk memberi yang terbaik kepada anak mereka supaya anak-anak itu dapat berjaya dalam persekolahan dan seterusnya kehidupan mereka.

Mungkin ramai tidak setuju dengan saya kerana kata mereka anak itu adalah kurniaan Tuhan dan kita harus pasrah dan terima berapa ramaipun anak yang diberikan oleh Tuhan. Ini adalah pandangan yang kurang tepat. "Merancang keluarga" adalah dibenarkan dalam agama jika kita yakin bahawa anak yang ramai akan memudaratkan kehidupan dan masa depan mereka akibat tidak mendapat perhatin yang secukupnya oleh ibu dan bapa mereka.

Saya amat berharap masyarakat kampung akan memahami isu ini demi untuk menjayakan misi membasmi kemiskinan dikalangan orang kampung di negara ini. InsyaAllah.

Salam,
DARD

13 comments:

  1. Salam YB Dato',
    Saya amat tertarik dengan persoalan RAMAI ANAK dan PERANCANG KELUARGA ( Family Planning), persoalan yang timbul sekarang adakah bapa kepada anak 10 orang itu pernah terlintas difikirannya untuk merancang anak sekadar dua atau tiga orang saja, sudah tentu tidak sebab terbukti bahawa anak beliau 10 orang, disini saya mencadangkan agar persoalan untuk merancang keluarga ini dapat diwar-warkan oleh skuad 169 dipelusuk kampung seluruh Kota Belud dgn cara mengedarkan risalah-risalah berhubung-kait dgn perancang keluarga ini yang boleh diperolehi daripada klinik-klinik kesihatan kerajaan atau satu program penerangan khas oleh pihak yang berkenaan tentang isu ini disebabkan ramai pasangan-pasangan ibu muda yang baru berumah tangga agak kurang pendedahan tentang perancang keluarga ini, kita harus risau dgn kadar kemiskinan sekarang ini dan masa akan datang, lebih baik mencegah daripada mengubati..tq Dato'

    ReplyDelete
  2. salam DARD,

    Tugas dan peranan Datuk di KB bukan sekadar sebagai ahli parlimen iaitu mengagihkan peruntukan kerajaan 1 atau 2 juta. Sebagai seorang pemimpin muda yang terdedah dengan permasalahan yang berlaku, peranan Datuk nampaknya lebih luas menjangkaui peranan sebagai wakil rakyat!

    Sejak awal lagi, penyediaan infra sahaja tanpa persediaan minda dan mental yang mahu berubah untuk keluar dari belenggu kemiskinan jawapannya GAGAL!

    Kota Belud adalah typical example yang amat baik sebagai asas latihan DARD utk menjadi pemimpin yang baik di masa depan. Perkara2 yang pada fikiran kita tidak logik dan tidak rasional di zaman sekarang, menjadi rasional bila ianya berlaku didepan mata kita sendiri!

    Umpamanya cerita orang yang bertemu dengan DARD menceritakan masalahnya itu. Memang DARD terkejut kerana tidak terdedah kepada phenomena seperti ini.

    Soalnya, Apakah penyelesaiannya? Bagaimana mengubah minda mereka? apakah pendekatan terbaik menangani perkara seperti ini?

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum Datuk..

    Pada pendapat saya datuk, konsep pemikiran masyarakat desa dan bandar jauh berbeza datuk..Terlalu jauh untuk masyarakat desa kita berbanding masyarakat bandar terutama di kawasan Kota Belud ini. Pada perkiraan saya, datuk pun memang sedia maklum dengan masyarakat kawasan datuk sendiri.Apa yg kami harap-harapkan daripada datuk ialah bagaimana caranya agar pembangunan yang diwujudkan di kawasan Kota Belud dapat membabitkan secara langsung masyarakat itu sendiri terutamnya golongan muda, ini secara tidak langsung ini akan mengaktifkan pemikiran mereka untuk mengejar peluang dalam menambahkan pendapatan serta menaikan taraf kehidupan mereka.Jadi aktiviti menambah bilangan ahli keluarganya pun secara tidak langsung akan berkurangan disebab mereka sibuk bekerja. Tapi ini memang ada baik dan ada buruknya juga datuk, tapi sekurang-kurangnya dapatlah kita fikirkan bersama.
    TQ datuk..

    ReplyDelete
  4. Terima kasih atas kiomen-komen saudara...

    Sama sama lah kita mengubah nya..

    ReplyDelete
  5. Salam Dato'...
    Terus terang, saya merasakan cadangan Dato' itu kurang paktikal dengan keadaan semasa di kb ini. malah kurang praktikal untuk dijadikan dasar pembangunan atau dasar pembasmian kemiskinan oleh mana2 kampung/negeri/negara. kecuali bagi negara2 yang hampir2 kehabisan tempat untuk penduduknya.
    Dato' ini bukan isu anak ramai, bukan juga isu tidak mau merancang. Induk isunya ialah, dasar dan perancangan pembasmian kemiskinan kita. bilangan atau pertambahan AIR (Anak Isi Rumah) adalah satu cabaran bagi kita. jangan disebabkan kita ingin kerja mudah, kita ambil jalan mudah. Dato', satu masa kita pernah mengimpikan untuk mempunyai rakyat sehingga 70 juta. sekarang baru 27 juta. dan, akan ada lagi 'catuan zuriat'...?
    Dato', kita tidak ada pilihan, kita terpaksa hadapi senario ini dengan 'gentleman'. contohnya, setelah kita mengetahui bahawa golongan KIRMT di kb ini mempunyai dan bakal mempunyai AIR yang ramai, dimana perancangan kita untuk AIR-AIR ini. sepatutnya, anak-anak ini adalah elemen utama dalam analisis perancangan kita. kerana ini akan menentukurkan kejayaan perancangan jangkamasa panjang kita.
    dimana modul2 kita untuk membangunkan mereka2 ini sehingga boleh membantu membangunkan kota belud? kenapa kita tidak membuat satu perancangan khas untuk membangunkan pendidikan mereka? bukan setakat di sekolah. kenapa tidak hidup dan cergaskan institusi2 pendidikan di daerah, dimukim2, dikampung? berapa banyak kampung yang dato' tahu ada biro pendidikan yang bergerak? kalau pun ada, mungkin hanya di sebnelah2 taun gusi, pekan kb, jawi2. itu pun belum tentu.
    bilangan KIRM/MT/MM pada hari ini di kb adalah 3,032 org. 1,083 daripadanya adalah miskin tegar dgn pendapatan di bawah RM540.00. jumlah 3,032 orang ini mewakili 6.34% daripada jumlah kemiskinan seluruh negeri.bayangkan sekiranyan setiap KIR ini mempunyai purata bilangan tanggungan seramai 5 orang, maka perancangan pembasmian kemiskinan mestilah meliputi 18,192 kir/air ini. majlis Tindakan daerah mesti nampak ini, Focus Group daerah mesti nampak ini. master development plan daerah mesti mengambilkira ini. gagal merancang untuk anak2 kir ini, bermakna kita merancangn untuk gagal.
    kita tiada pilihan dato'. kita perpaksa hadapi kenyataan ini....

    ReplyDelete
  6. Isu anak ramai di KB bukanlah fenomena luar biasa. Malah ia berlaku juga di kampung-kampung seperti di kawasan Kinabatangan, Karamuk, Kimanis dll.....dan merancang keluarga sememangnya kurang dipraktikkan di kawasan kampung di negeri Sabah. Pendapat orang-orang kampung, anak ramai boleh membantu keluarga di hari kemudian nanti...dan tu yang suka anak ramai.

    ReplyDelete
  7. Ini suatu masalah yang menyebabkan kadar kemiskinan sukar dibasmi. Tanpa perancangan keluarga, sepasang suami isteri melahirkan anak yang banyak tanpa memikirkan adakah mampu menyara mereka. Gaji bukannya tinggi, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, kemungkinan terpaksa kelaparan kerana betul betul tak cukup duit. Jangan kata menyimpan wang, barangkali tak cukup makan langsung.

    Lepas tu, bila anak dah besar, ada yang tak pernah bersekolah, atau berpendidikan rendah. Memang tak dapat kerja yang lebih baik. Tak mungkin nak keluar dari kemiskinan.

    ReplyDelete
  8. seperti yang sdr.kitakita katakan, fenomena mempunyai anak yang ramai ini bukanlah luar biasa bagi penduduk di kawasan luar bandar dan pendalaman...saya sendiri datang dari keluarga yang besar di mana mempunyai seramai 12orang adik-beradik...anak yang ramai bukanlah menjadi satu persoalan tetapi persoalan yang sebenar adalah bagaimana untuk mendapatkan rezeki yang cukup untuk menampung keluarga yang seramai itu?
    kemiskinan bagi saya adalah bukan 1 faktor tetapi dijadikan alasan kerana kurang usaha untuk mendapatkan rezeki...memang benar kemiskinan menambah peritkan lagi untuk mendapatkan rezeki tetapi jika kita berusaha, tidak mustahil kita akan berjaya...keluarga saya juga bukan merupakan keluarga yang kaya dan berpengaruh, tetapi masih juga kami dapat makan minum, pakaian dan lain-lain seperti orang lain...


    apa yang diperlukan oleh keluarga yang miskin adalah peluang untuk menambahbaikkan taraf hidup mereka...kita harusnya memberi ilmu pengetahuan dan latihan agar mereka dapat berdikari...jika diberikan wang ringgit, saya percaya mereka tetap tidak akan keluar daripada kemiskinan kerana merasa selesa dengan adanya duit ehsan daripada kerajaan...sekian...

    ReplyDelete
  9. Isu ramai anak ni memang adalah kenyataan di Sabah. Cuma macammana pun pihak doktor dan pakar-pakar klinik ibu dan anak menerangkan akan perancangan keluarga ni kepada para penduduk kampung terutama luar bandar, mereka tetap tidak mendengar....dan akibatnya susah juga mau control isu ramai anak ni. Dan isu kemiskinan pun satu hal. Dahlah miskin dan papa...anak pun satu tahun satu. Jadi akibatnya anak-anak pun terbiar, kurang zat dan vitamin dan kemiskinan tetap tidak akan berakhir.

    ReplyDelete
  10. Isu ramai anak ni memang adalah kenyataan di Sabah. Cuma macammana pun pihak doktor dan pakar-pakar klinik ibu dan anak menerangkan akan perancangan keluarga ni kepada para penduduk kampung terutama luar bandar, mereka tetap tidak mendengar....dan akibatnya susah juga mau control isu ramai anak ni. Dan isu kemiskinan pun satu hal. Dahlah miskin dan papa...anak pun satu tahun satu. Jadi akibatnya anak-anak pun terbiar, kurang zat dan vitamin dan kemiskinan tetap tidak akan berakhir.

    ReplyDelete
  11. Isu anak ramai ini memang susah untuk di rancang, bagaimanapun ada kebenerannya juga apa yang dinyatakan oleh 'Tanpa Nama Berkata..' pada tarikh 1:04 PM, Mac 23, 2010.

    ReplyDelete
  12. kadar kemiskinan di negeri sabah masih lagi pada tahap yang tinggi. bantuan perlulah diberikan kepada golonngan miskin ini.bagi isu mempunyai rami anak ini pla. ia amat sukar dikawal, apa bleh dilakukan, orang ramai haruslah tahu membuat perancangan keluarga.

    ReplyDelete
  13. Isu anak ramai sememangnya akan menambah kadar kemiskinan terutamanya bila ibu-bapa sendiri tidak mampu menyara anak mereka. Kebanyakan golongan miskin tidak mampu menghantar anak ke sekolah, anak tiada pendidikan, bila besar nanti sukar cari kerja. Mereka akan terus miskin kalau begitu.

    ReplyDelete

Kongsi artikel ini: