Tuesday, March 23, 2010

Dewan kecoh lagi...


Hari ini 22hb Mac 2010, Parlimen kecoh. Semuanya bermula apabila saya meminta laluan untuk membawa ke perhatian Tuan Yang Dipertua (TYDP)  satu pelanggaran tertib mesyuarat yang dilakukan oleh YB Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa beliau membahas usul menjunjung kasih Titah Diraja.

Berikut saya siarkan teks saya:

____

Tuan Yang di-Pertua,
Saya ingin membangkitkan Peraturan Mesyuarat iaitu tertib Mesyuarat mengikut Peraturan Mesyuarat 37(1)(a) bersekali dengan merujuk kepada PM 36(12), iaitu:-
“Mana-mana Ahli yang mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan Dewan adalah disifatkan    menghina Majlis dan Ahli itu boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi kesalahan itu.”
Tuan Yang di-Pertua,
YB Permatang Pauh semasa mengambil bahagian dalam perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada 17 Mac 2010 telah membuat dakwaan bahawa pada tahun 2009, APCO Worldwide telah menasihatkan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak berkenaan konsep 1Malaysia. Berikut Tuan Yang di-Pertua, saya memetik ucapan beliau dengan merujuk pada penyata rasmi bertarikh 17 Mac 2010, di muka surat 76:
“Ehud Barak Perdana Menteri Israel, 1999 mengambil APCO dan APCO menasihatkan Ehud Barak supaya menggunakan slogan baru untuk Israel.  1999... satu Israel. 2009 APCO menasihat Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd. Najib... 1Malaysia”.  
Pada hari Khamis, 18 Mac 2010, YB Rembau ketika membuat pencelahan ke atas perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja oleh YB Ipoh Timur, telah membaca kenyataan daripada APCO Worldwide yang menafikan terbabit dalam mencipta konsep 1Malaysia yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri. 
APCO menegaskan bahawa ia tidak ada sebarang peranan dalam pengwujudan konsep 1Malaysia, yang dibentuk sepenuhnya, dan diumumkan oleh kerajaan Malaysia kepada awam, sebelum perlantikan APCO sebagai Pakar Runding komunikasi. 
Malah dalam kenyataan tersebut, APCO juga menyangkal ia terlibat dalam mempromosikan konsep 1Israel ataupun mewakili kerajaan Israel atau Ehud Barak sepertimana yang didakwa oleh YB Permatang Pauh.

Kenyataan tersebut boleh dibaca di laman web APCO Worldwide http://www.apcoworldwide.com dan saya ingin serahkan sesalinan kenyataan yang diperolehi daripada laman web APCO tersebut kepada Tuan Yang Di-Pertua.

Tuan Yang di-Pertua,
Saya juga ingin merujuk kepada jawapan daripada pertanyaan jawab lisan nombor 54  Yang Berhormat Tanah Merah pada 18 Mac 2010 berkenaan kaitan APCO Worldwide dengan konsep 1Malaysia.
Dalam jawapan yang diberikan, Kerajaan dengan jelas menafikan bahawa APCO Worldwide terlibat dalam mempromosikan Gagasan 1 Malaysia.

Tuan Yang di Pertua
Berdasarkan fakta-fakta yang saya sebut sebentar tadi, saya berpendapat bahawa YB Permatang Pauh ternyata telah mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan Dewan yang mulia ini. 
Dengan itu, saya memohon supaya Tuan Yang di-Pertua untuk membuat satu ruling (atau keputusan) meminta YB Permatang Pauh, merangkap Ketua Pembangkang untuk memperbetulkan fakta yang telah beliau ucapkan ketika perbahasan Menjunjung Kasig Titah Diraja bahawa:
“1999 1Israel, 2009 APCO menasihat Perdana Menteri Dato Seri Mohd Najib 1Malaysia,”
Jika beliau tidak memperbetulkan kenyataan tersebut, saya mencadangkan supaya pihak Kerajaan mengeluarkan satu Usul di bawah PM 36(12) untuk merujuk YB Permatang Pauh ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. 
Mohon Tuan Yang di-Pertua dapat membuat satu ruling atau keputusan  berkenaan perkara ini.
Terima kasih.
_____


Begitulah bunyi ucapan saya yang hanya mengambil tidak sampai 5 minit. Tetapi oleh kerana ketaksuban ahli parlimen pembangkang terhadap Ketua Pembangkang mereka, maka mereka memprotes dan menjadikan Persidangan Dewan Rakyat seperti pasar malam yang hingar bingar selama satu jam sepuluh minit. 

Sebenarnya tidak ada yang patut diprotes. Peraturan mesyuarat adalah sebahagian daripada perjalanan persidangan harian parlimen. Ianaya adalah dibenarkan. Malah ramai YB pembangkang termasuk Lim Kit Siang, Karpal dan lain-lain menggunakannya sebelum ini. Hanya kerana kali ini peraturan mesyuarat terkena kepada Ketua mereka, mereka seperti jadi hilang akal. 

Saya mengemukakan Peraturan Mesyuarat tersebut kerana sehari selepas Datuk Seri Anwar menuduh bahawa konsep 1Malaysia diluahkan dan dipromosikan oleh APCO (yang juga dituduh oleh Datuk Seri Anwar sebagai syarikat yang mempelopori konsep 1Israel dan ada hubungan dengan Ehud Barak, bekas Perdana Menteri Israel), APCO telah dengan sekeras-kerasnya menafikan tuduhan itu. Penafian itu dibuat oleh APCO sendiri dan bukannya oleh kerajaan Malaysia.

Jadi pada hemat saya ada kekeliruan antara kenyataan Datuk Seri Anwar dan kenyataan APCO. Maka saya minta Datuk Seri Anwar membuat pembetulan dan kalau beliau enggan, maka beliau sepatutnya  dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana isu ini adalah serius dan melibatkan integriti negara dimata dunia terutamanya dunia Islam.

Soalnya ialah saya mahu penjelasan kenapa APCO mempertikai kesahihan tuduhan Datuk Seri Anwar. Apakah itu terlalu sukar untuk difahami? Atau hak saya untuk bertanya sepertimana yang temaktub di dalam peraturan mesyuarat parlimen sudah tidak terpakai lagi?

Sekarang, Datuk Seri Anwar mempunyai dua pilihan. Samada mengaku bahawa terdapat percanggahan fakta dan mengaku bahawa tuduhan beliau tidak benar atau berdepan dengan risiko dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen. Apapun keputusan beliau, yang pasti Ahli Parlimen adalah tidak dibenarkan bercakap bohong di dalam Parlimen.

Salam,
DARD
   

3 comments:

  1. Salam YB Dato',
    Tahniah diatas pencelaan di Dewan Rakyat, itu adalah satu fakta yang kita mesti tegakkan.

    ReplyDelete
  2. mcm tidak berapa ilmiah ni

    ReplyDelete
  3. Isu hospital QEH harus dipercepatkan dan kalau nak tunggu 2 atau 3 tahun lagi.....susahlah. Walaubagaimanapun, terima kasihlah kepada Datuk Pairin kerana memperjuangkan isu ini. Kadangkala kita perlu buka mulut dengan sedikit ngauman untuk memberitahu masalah hospital negeri yang kian meruncing.

    ReplyDelete

Kongsi artikel ini: