Sunday, January 03, 2010

Mat Bulat yang ku kenal...


9hb April 2009 adalah tarikh terakhir saya bertemu Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat (TSMR). Pertemuan yang tidak dirancang itu berlaku di Coffee Beans, Plaza Damas, Hartamas, Kuala Lumpur. Sewaktu itu saya pergi ke Plaza Damas untuk membeli sesuatu dan sejurus keuar dari kereta saya ternampak TSMR duduk bersendirian. Sebagai orang muda dalam politik dan peminat politik TSMR, saya terpanggil untuk menyapa beliau. Lalu saya pun menghampiri beliau dan memberi salam. Wajahnya yang nampak berusia terus mengukir senyuman terkenal beliau. Dia menjemput saya duduk untuk minum bersamanya.

Saya perhatikan susuk tubuh badannya nampak kurus dibandingkan semasa beliau digelar Mat Bulat oleh rakan-rakan beliau dalam UMNO dan kerajaan. Saya terpandang seperti ada sebatang tongkat yang diletakkan di sisi kerusi. Mungkin beliau memerlukan tongkat untuk berjalan kerana umurnya yang sudah lanjut. Walaupun beliau berusia lanjut dan kesihatan beliau tidak begitu baik, saya masih nampak kotak rokoknya yang sentiasa "setia" mengiringi beliau terutamanya semasa beliau masih aktif berpolitik. Nampaknya, Tok Mat masih orang yang sama.

Saya bertanya khabar kepada beliau dan menyoal kenapa beliau duduk seorang diri di Coffee Beans itu, apatah lagi seluruh Malaysia sedang menunggu di depan TV untuk mengikuti pengumuman barisan kabinet DS Najib yang baru. Dia tak menjawab soalan saya tetapi bertanya siapa-siapa yang dilantik.

Saya pun membaca kepada beliau sms-sms yang saya terima dari kawan-kawan mengenai senarai perlantikan kabinet DS Najib. Selepas mendengar senarai itu, saya perasan beliau menarik nafas panjang. Agaknya beliau kecewa sedikit kerana anaknya YB Dato Nurjazlan, Ahli Parlimen Pulai dua penggal tidak termasuk di dalam senarai kabinet DS Najib. Jelas dari percakapan beliau amat berbangga dengan pencapaian politik Dato Nurjazlan. Saya juga secara peribadi, berpendapat Dato Nurjazlan yang saya kenal sejak tahun 1999 lagi sememangnya seorang yang layak mendapat jawatan dalam kabinet. Apapun kekecewaan TSMR itu tidak bertahan lama apabila beliau lantas menyambung semula cerita-cerita politik masa lampau.


Saya bertanya kepada Tan Sri bila lagi nak tulis buku kerana setiap kali berjumpa dengannya, TSMR sentiasa menceritakan kepada saya tentang pergolakan politik zaman beliau. Saya selalu ingatkan TSMR yang saya tidak minat mendengar cerita politik yang memangpun dilapurkan oleh media massa tetapi saya amat seronok mendengar cerita politik dibelakang tabir atau "behind the scene" yang tidak dilapurkan dalam media massa. TSMR menjawab dengan selamba, "saya kalau tulis buku ni YB, it will offend everyone....". Saya senyum dan mendesak beliau untuk menulis buku tersebut kerana sejarah politik belakang tabir perlu dihayati oleh generasi akan datang kerana dibelakang tabir itulah banyak perkara pokok yang berhubung kait dengan negara diputuskan. Pengumuman dalam surat khabar hanyalah satu formaliti setelah perkara tersebut dibincang dan di"tawar-menawar"kan dengan panjang lebar dibelakang tabir. Respon dari beliau hanyalah dengan wajah yang kosong!

Apabila perbincangan kami masuk bab politik Sabah, TSMR kelihatan bersemangat semula. Ramai tidak mengetahui fakta ini. TSMR adalah salah seorang personaliti politik yang bertanggungjawab menjayakan UMNO di Sabah! Saya teringat semasa beliau menemui YAB DSP Musa Aman di rumahnya di Kota Kinabalu pada tahun awal tahun 2004. Saya diajak makan tengah hari bersama. Kami bertiga seronok bercerita kenangan masa lampau USNO dan UMNO. Sesekali saya turut menyampuk mengenai beberapa peristiwa lampau itu berdasarkan apa yang saya pernah dengar daripada arwah bapa saya. Seperti biasa TSMR dengan stail dan cara percakapannya tersendiri mengimbau semula nostalgia politik Malaysia zaman 70an, 80an dan 90an. Dia selalu memandang saya dan mengingatkan saya bahawa kedatangan UMNO di Sabah adalah kerana pengorbanan ramai pihak temasuklah Almarhum Tun Mustapha dan DSP Musa Aman sendiri.

Beberapa bulan yang lepas saya terbaca berita mengenai buku baru yang ditulis oleh TSMR sendiri yang berjodol "UMNO - Akhir Sebuah Impian". Walaupun saya tidak berapa setuju dengan topik buku itu, saya tersenyum kerana akhirnya apa yang saya idamkan termakbul. Saya tahu ramai lagi orang di luar sana yang minta beliau untuk menulis dan saya pasti mereka juga turut gembira dengan buku itu. Semasa di Parlimen, saya menggangu rakan saya Dato  Nurjazlan untuk meminta buku yang ditandatangani sendiri oleh TSMR. Akhirnya saya mendapat satu buku tersebut siap dengan tandatangan TS sendiri.

Perbualan saya dengan TSMR akhirnya berakhir apabila anak lelaki beliau tiba untuk berjumpa dengannya. Saya minta diri dan semasa saya memasuki plaza Damas saya merasakan khazanah pengetahuan politik saya bertambah kaya dengan sinopsis politik, nasihat dan teguran yang dibuat oleh ayahanda TSMR.

Memandang kebelakang kepada sejarah perjuangan beliau, ramai yang setuju dan ramai juga yang tidak setuju dengan pendekatan beliau. Itu biasa dalam politik. Yang penting untuk kita ingati ialah TSMR adalah seorang pemimpin yang komited terhadap parti, bangsa dan negaranya dan sumbangan beliau kepada Malaysia tidak boleh dinafikan. Terima kasih Mat Bulat.

Semoga rohnya dicucuri Allah SWT. Amin.

Salam,
DARD

2 comments:

  1. semua buku saya tok mat beli dengan harga RM200 senaskah. katanya, dia bukan beli kertas tetapi masa dan otak yang penulis gunakan untuk menulis buku itu...saya menangis dengan pemergian tok mat.

    alfatihah kepada ayahanda tok mat..warga penulis kehilangan seorang tokoh yang memahami penderitaan kami..

    ReplyDelete
  2. Bukan ramai macam dia tu MO.. he was one of a kind!

    ReplyDelete

Kongsi artikel ini: