Ahad, September 27, 2009
Saya akan ke Afrika
Saya akan menghadiri Persidangan Parlimen Komenwel (Commonwealth Parliamentary Conference) yang ke 55 di Arusha, Tanzania, Afrika dari 1hb Oktober 2009 sehingga 8hb Oktober 2009.
Saya akan turut mengambil bahagian dalam bengkel perbincangan mengenai Komenwel Dan Generasi Muda - Bagaimana Untuk Melibatkan Generasi Muda Dalam Demokrasi Berperwakilan (The Commonwealth and Youth - How to Engage Future Generations in Representative Democracy) iaitu satu daripada lapan bengkel yang akan diadakan.
Rombongan itu akan diketuai oleh Tan Sri Pandikar Amin Hj Mulia, Tuan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Ini adalah kali kedua saya ke Afrika mengikuti seminar antarabangsa. Kali pertama ke Lusaka, Zambia bersama Perdana Menteri dalam Dailog Antarabangsa Selatan Afrika.
Dalam persidangan kali ini, saya akan membawa pandangan generasi muda di Malaysia dalam konteks demokrasi berparlimen dan lunas lunas raja berperlembagaan. Di samping itu, saya jangkakan topik hangat ialah kebangkitan suara generasi muda dalam lanskap politik dunia termasuk di Malaysia, di mana undi generasi muda begitu "dikejar" oleh semua parti politik di negara kita terutamanya selepas pilihanraya umum ke-12 tahun lepas.
Sebenarnya jadual saya agak ketat kerana sejurus selepas tiba di Malaysia dari Afrika pada 8hb Oktober, saya akan bergegas ke pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang, Negeri Sembilan yang akan menyaksikan hari mengundi pada 11hb Oktober. Selepas itu, perhimpunan agung UMNO akan berlangsung pada 13hb Oktober dan diikuti dengan bermulanya persidangan parlimen Malaysia pada 19hb Oktober nanti.
DARD
Selasa, September 22, 2009
Ke Rumah Terbuka Sempena Hari Raya Aidilfitri Datuk Jahid Jahim
Hari ini masuk hari ketiga Umat Islam di seluruh Malaysia menyambut Hari Raya Aidilfitri, walaupun tiga hari sudah berlalu namun kehangatan berhari raya masih membara, di sana sini tidak kira samada pemimpin ataupun rakyat biasa masih lagi mengadakan acara rumah terbuka.
Saya turut tidak melepaskan peluang mengunjungi rumah terbuka sempena hari raya yang penuh bahagia ini, pada pagi ini 22 Sept saya mengunjungi rumah terbuka yang diadakan oleh Pembantu Menteri Belia Dan Sukan Sabah, Datuk Jahid Jahim yang diadakan di restoren baru beliau yang terletak di Sedco Berungis di Kg. Tambalugu, Tuaran.
Sungguh meriah dan harmoni suasananya, seluruh rakyat tanpa mengira perbezaan suku kaum dan pegangan agama turut sama meraikan hari raya aidilfitri, keharmonian seperti di Malaysia inilah yang sering menjadi bualan masyarakat luar dari negara kita. Orang luar kagum dengan apa yang kita miliki ini kerana walaupun negara ini mempunyai penduduk yang banyak perbezaan namun kita masih dapat hidup aman dan sejahtera sepanjang masa.
Turut hadir pada majlis rumah terbuka Datuk Jahid, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Musa Haji Aman, Datuk Masidi, Datuk Hajiji, DSP Bumburing dan beberapa pemimpin negeri dan persekutuan yang lain, kegembiraan jelas terpancar diwajah Datuk Seri Panglima Haji Musa, mungkin kerana melihat warna warni ikatan perpaduan yang terjalin rapat di majlis itu.
Salam.
DARD
Isnin, September 21, 2009
Yang Indah Itu Saling Bermaafan - Al Ghazali
Semoga semua amalan kita pada bulan Ramadan yang baru lalu akan mendapat keberkatan dari Allah SWT. Dikesempatan ini juga, saya menyusun sepuluh jari memohon kemaafan kepada seluruh Umat Islam bukan sahaja yang berada di daerah Kota Belud malah yang membaca blog saya ini.
Satu syawal menjelang tiba
Takbir bergema mengeggar jiwa
Sekiranya ada salah dan dosa
Ampun dipinta di hari yang mulia
Susur di sungai sehari-hari
Dalam gelap menangkap ikan
Saya menyusun sepuluh jari
Salah dan silap harap maafkan
Aidilfitri hari kemaafan
Menghapus kesalahan sesama insan
Memupuk perpaduan sesama ehsan
Mengikat tali keakraban.
Kemudian sekitar jan 9.30 pagi saya bersama keluarga saya di Bukit Nabila Kampung Penampang Baru, Tuaran menyambut Hari Raya Aidilfitri, selesai bermaaf-maafan saya dan keluarga menyambut kehadiran tetamu yang bertandang ke rumah.
Salam.
DARD
Ahad, September 20, 2009
Pendedahan Kertas Kabinet mengenai PKFZ
Kertas kabinet adalah rahsia rasmi kerajaan. Ini bukan perkara aneh kerana semua kerajaan di dunia ini mengamalkan kerahsiaan perjalanan mesyuarat kabinet mereka. Kalau ada pihak yang mahu meneliti kertas kabinet, ada cara yang dibenarkan oleh undang-undang iaitu melalui proses "declassification", atau proses mengklasifikasi semula taraf kerahsiaan dokumen itu.
Tidak ada kerajaan dalam dunia ini yang dapat menjalankan tugas mereka dengan lancar jika setiap dokumen kabinet didedahkan seperti mesyuarat JKKK kampung. Banyak yang dibincangkan adalah perkara-perkara sensitif tentang ekonomi, keselamatan negara dan hubungan dengan negara negara luar. Bayangkan jika keputusan strategi kabinet dalam urusan rundingan tariff dengan negara lain didedahkan, tentunya negara akan kehilangan kelebihan dalam urusan rundingan itu.
Banyak pihak cuba untuk mengaitkan arahan PM untuk menyiasat siapa yang mendedahkan kertas kabinet itu seperti seolah-olah PM mahu menyembunyikan maklumat tentang PKFZ. Ini adalah satu pandangan yang salah dan bertujuan politik semata mata.
Kandungan 4 surat sokongan dari bekas Menteri Pengangkutan yang dikatakan menjamin penerbitan bon Kuala Dimensi Sdn Bhd sebenarnya adalah dokumen yang sudahpun diketahui ramai. Ianya terkandung dalam appendiks kepada Lapuran PKFZ oleh PriceWaterHouse Coopers. Malahan, kertas kabinet yang mengandungi keputusan kabinet untuk memberi kelulusan "retrospectively" kepada surat sokongan tersebut pun sudah diketahui ramai. Ianya telah menjadi perbahasan hangat dalam blog-blog dan dalam penyiasatan task force, jawatankuasa-jawatankuasa khas serta PAC (Public Accounts Committee Parlimen). Soal tindakan kabinet itu betul atau tidak masih didebat, dibahas dan disiasat.
Persoalannya, apakah kerajaan boleh membenarkan kertas kabinet disiarkan begitu sahaja tanpa kebenaran? Kalau kerajaan tidak mengambil tindakan kepada MalaysiaToday dan pihak yang bertanggungjawab terhadap pendedahan itu, ianya akan menjadi satu contoh (precedent) yang merbahaya!
Kesungguhan PM dan kerajaan untuk menyiasat skandal PKFZ ini perlu disokong. PM sendiri telah berkali-kali mengatakan bahawa beliau mahu penyiasatan menyeluruh dibuat dan keputusannya akan dimaklumkan kepada umum.
PAC, yang mana saya sendiri adalah ahlinya, telah mengambil peranan dalam penyiasatan ini dengan memanggil bekas-bekas menteri pengangkutan, peguam negara, bekas-bekas ketua setiausaha kementerian pengangkutan, pegawai-pegawai Lembaga Pelabuhan Kelang dan Kuala Dimensi sendiri. Tidak ada yang nak disembunyikan! Malahan perbincangan hangat antara ahli PAC (wakil BN dan Pakatan) berlangsung tanpa perlu kertas kabinet didedahkan secara umum.
Apa yang penting ialah semua pihak menunggu penyiasatan selesai oleh pihak-pihak yang telah diminta oleh kerajaan untuk menyiasat (MACC, Polis, PAC, Task Force, JK Khas Kabinet dll). Saya berpendapat kebenaran akan dapat dicari dalam isu skandal ini. Tetapi mengiyakan pendedahan kertas kabinet adalah satu perkara yang tidak boleh dibenarkan. Undang-undang ada untuk diikuti bukannya untuk kepentingan politik.
Salam
DARD
Sabtu, September 19, 2009
Selamat Menyambut Hari Raya Aidifitri
Nak tanya SOALAN DI PARLIMEN?
Jumaat, September 18, 2009
MAKLUMAT RINGKAS TANAMAN PADI DAERAH KOTA BELUD
Keluasan diusahakan 8,503 hektar Keluasan kawasan, kekerapan menanam dan purata hasil mengikut kategori :- K1 : 3,929.20 ha ( 2 x penanaman / thn ), purata hasil : 4.6 mt / ha K2 : 2,135.65 ha ( 1 x penanaman / thn ) , purata hasil : 3.5 mt / ha K3 : 2,437.87 ha ( 1 x penanaman / thn ) , purata hasil : 1.5 mt / ha ( K1 – pengairan dan saliran yang baik, K2 - pengairan dan saliran yang kurang baik, K3 – tadahan hujan ) Bilangan petani 6,930 orang ( berdaftar di Jabatan Pertanian ) Anggaran sumbangan pengeluaran beras 28,367 MT ( 25% daripada pengeluaran beras negeri ) Jentera 120 buah traktor pembajak. Hanya lebih kurang 60 buah beroperasi. Masalah operator – pendapatan rendah (Rm200 / bulan). Operator dibayar Rm20-Rm24 / ekar. Kos pembaikan tinggi (harga alat ganti tinggi). Masalah sawah berlumpur – saliran tidak mencukupi / tidak baik. 25 buah jentera penuai. Program Jabatan Pertanian (Mekanisasi ladang ) 40 buah TDR (25 pinjaman Jabatan) 4 buah mesin penuai mini (Pinjaman Khas Jabatan) Kilang padi 13 buah utama (berdaftar dengan BERNAS) (10 buah aktif). 22 buah kecil – sederhana. Sistem Pengairan 13 buah skim. a. Tempasuk Utara (26,880 m) b. Kesapang (25,447 m) c. Jawi-Jawi (6,760 m) d. Luwadi (2,000 m) e. Kawang-Kawang (5,200 m) f. Tamu Darat (10,800 m) – dalam proses menaiktaraf g. Bugaron (2,350 m) h. Tempasuk Selatan (23,490 m) i. Tamau (2,480 m) j. Lebak Moyoh (3,620 m) k. Piasau (8,000 m) l. Tambulion Laut (4,150 m) m. Tambulion Ulu (1,700 m) Kawasan tanah sawah terbiar 4,313 ekar ( 1,746 ha) Penjadualan tanaman Ahli jawatankuasa penanaman padi telah merangka satu jadual penanaman padi daerah yang digunapakai bermula pada tahun 2008. Susunan jadual penanaman padi ini ditunjukkan dalam jadual yang dilampirkan. Tujuan : - i. Mengujudkan masa penanaman padi yang sistematik dan teratur. ii. Membolehkan JPS membuat perancangan pengagihan / pembekalan. iii. Membolehkan JPS melaksanakan pembaikan dan penyelenggaran tali air semasa rehat (diantara musim). iv. Mengurangkan insiden penyakit dan perosak tanaman padi. v. Menyenangkan kontraktor pembajak melaksanakan kerja-kerja pembajakan dan penuaian hasil. vi. Memudahkan kakitangan Jabatan Pertanian dan PPK membuat pemeriksaan kawasan dalam proses pembayaran subsidi pembajakan dan insentif pembajakan. vii. Menyenangkan pengagihan subsidi baja oleh PPK. viii. Membolehkan pembayaran subsidi jualan hasil yang teratur dan lancar oleh BERNAS. ix. Memelihara keadaan tanah sawah yang baik. Usaha untuk meningkatkan hasil padi i. Melalui projek peningkatan hasil ke arah 10 mt / ha (kendalian Jabatan). Tahun 2006-2007 Tahun 2006 : 100 ha Tahun 2007 : 200 ha Tahun 2008 : 150 ha ii. Melalui latihan dan kursus berkaitan tanaman padi : a. Kursus sehari peningkatan hasil tanaman padi. Tahun 2006 : 2 buah, 550 orang petani. Tahun 2007 : 2 buah, 450 orang petani. Tahun 2008 : 2 buah, 600 0rang petani (sasaran), 13 Mei 2008 dan Ogos 2008. b. Dailog / taklimat an 2L : dari masa ke semasa. iii. Melalui pembukaan semula tanah-tanah sawah padi terbiar : Tahun 2006 : 20 ha. Tahun 2007 : 30 ha. Tahun 2008 : 80 ha. iv. Plot Demonstrasi : Kg. Kulambai (2006), 1 ha Kg. Piasau (2008),1 ha. v. Demonstrasi penanaman padi berjentera : Kg. Piasau 1 ha. Kg. Labuan 1 ha. |
Rabu, September 16, 2009
LIM AKUI NAJIB 'BUKAN MUDAH' UNTUK DIKETEPIKAN SEBAGAI PM
Dalam temu bual dengan akhbar Financial Times of London yang diterbitkan hari ini, Lim, yang sudah mula memikirkan pilihan raya umum akan datang, berkata: "Ada peluang (pembangkang memenangi majoriti kerusi Parlimen) tetapi ia
tidak akan mudah. Mungkin ia lebih sukar di bawah Najib berbanding Abdullah. Saya berpendapat Najib dapat melakukan sesuatu dengan lebih baik berbanding Abdullah."
Laporan, yang ditulis oleh koresponden Singapura, Kevin Brown, berkata komen
Lim, yang juga setiausaha agung DAP, adalah berbeza dengan gaya retorik yang agresif Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar telah mencadangkan kerajaan pusat yang diterajui oleh Barisan Nasional (BN) mungkin dipaksa keluar sebelum pilihan raya umum akan datang dengan tindakan ''melompat parti'' di kalangan ahli Parlimen.
Pakatan Pakyat menguasai 83 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat dan hanya
perlu memang 29 lagi kerusi Parlimen untuk mengambil alih tampuk pemerintahan. Laporan itu menyebut Najib, sejak mengambil alih sebagai perdana menteri April lepas, telah mendekati pengundi dengan merangka dasar untuk semua kumpulan etnik, menentang rasuah, membebaskan banduan politik dan menumpukan sumber ke atas kerusi yang berpotensi untuk dikuasai semula. Bagi menekankan keseriusan, laporan itu menyebut Najib baru-baru ini
mengumumkan inkuiri terhadap skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Baru-baru ini, CLSA Asia-Pacific Markets, sebuah firma broker saham dan
pelaburan yang bebas berpangkalan di Hong Kong, berkata Najib telah mendapatkan semula ''pegangan'' dengan sebilangan dasar dan tindakannya yang menarik dan
positif sejak mengambil alih kepimpinan kerajaan.
Ia termasuk meliberalisasikan Dasar Ekonomi Baru, memastikan lebih banyak
ketelusan, mempercepatkan pemberian projek infrastruktur dan meningkatkan
hubungan dengan Singapura bagi menarik pelaburan langsung ke koridor pembangunan selatan di Iskandar Malaysia.
Melabelkan pembaharuan positif dalam bidang ekonomi dan sosial yang dibawa
Najib sebagai "Najibnomics", CLSA berkata ia bertujuan merangsangkan ekonomi domestik, menarik pelabur dan kepakaran asing, mengurangkan karenah birokrasi, membanteras jenayah dan rasuah, menekankan peningkatan akauntabiliti dan menggalakkan perpaduan negara menerusi konsep 1Malaysia.
Berlandaskan latar belakang dalam bidang ekonomi perindustrian dari
Universiti Nottingham, CLSA berkata Najib pantas melaksanakan pelbagai
pembaharuan fiskal dan struktur negara.
-- BERNAMA
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
Ahad, September 13, 2009
Semuanya Ujian Allah Swt
Kelmarin 12 Sept, sebelum saya ke Kota Marudu menghadiri majlis berbuka puasa bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Musa Aman anjuran Bahagian UMNO Zon 1 di Masjid At-Takwa Daerah Kota Marudu, saya singgah melawat rumah mangsa kebakaran di Kampung Taun Gusi, Kota Belud.
Rumah yang terbakar itu milik En. Hj. Serkal Gerjan dan puan Dayang Himpun Hj. Abdullah yang dibina berhampiran tidak sampai enam kaki jaraknya antara satu sama lain.
Ketika berada di tapak kejadian, saya difahamkan kejadian berlaku selepas sembahyang maghrib sebaik sahaja berbuka puasa, api bermula dari rumah puan Dayang Himpun yang tidak dipastikan dari mana puncanya.
Hanya tinggal berapa hari sahaja lagi sambutan Hari Raya menjelang tiba, kejadian yang tidak kita ingin tanpa dijemput menimpa dua buah keluarga ini.
Ketika melihat rumah mangsa saya merasa amat hiba, apa tidaknya sedang kita mempersiapkan segala macam keperluan untuk menyambut Hari Raya, ada saudara kita yang ditimpa masalah, saya simpati dengan apa yang berlaku ke atas kedua buah keluarga ini.
Saya berharap kedua-dua keluarga mangsa kebakaran ini dapat bersabar dengan ujian Allah Swt, saya yakin disebalik kejadian ini ada hikmah yang tidak kita ketahui.
Harapan saya kepada penduduk di daerah ini lebih berjaga-jaga ketika menggunakan sumber elektrik atau bahan api yang lain bagi tujuan keperluan harian untuk mengelak sebarang kejadian kebakaran
Penduduk perlu peka dan tidak mudah lalai ketika menggunakan sumber api atau elektronik dalam urusan harian masing-masing,
Selepas dari melawat rumah mangsa kebakaran di Kampung Taun Gusi, saya bergegas ke Kota Marudu. Di masjid At-Taqwa Kota Marudu Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Musa Aman menyampaikan bantuan kepada fakir miskin dan berbuka puasa dan bersembahyang tarawih dengan masyarakat Islam di daerah itu.
Apa yang menarik pada majlis petang itu, majlis berbuka puasa di masjid itu turut disertai oleh pelbagai bangsa yang berlainan anutan agama yang ada di negeri ini, inilah kelebihan yang ada di Malaysia, apa juga program yang diadakan samada dianjurkan oleh kerajaan mahupun program yang dikelolakan oleh orang peseorangan ianya disambut bersama tanpa ada sebarang prasangka negatif.
Semoga semangat perpaduan seperti ini terus kekal demi kesejahteraan 1Malaysia.
DARD
Sabtu, September 12, 2009
Ke Tanjung Pasir Berbuka Puasa
Seperti hari-hari biasa dalam bulan ramadan al-mubarak yang penuh barakah, hari ini 11 September 2009 pada sebelah petangnya saya ke masjid Tanjung Pasir Kg. Labuan berbuka puasa dengan penduduk di kampung itu.
Sebaik sahaja tiba di perkarangan masjid Tanjung Pasir saya disambut mesra oleh setiap penduduk di kampung itu, walaupun ini kali pertama saya bertandang ke kampung ini, namun saya tidak merasa asing ini kerana keramahan penduduk di kampung ini melayan saya seperti mereka telah mengenali saya bertahun-tahun lamanya.
Sementara menunggu waktu berbuka puasa saya mengambil kesempatan berbual dengan beberapa orang pemimpin di kampung ini sambil bertanya khabar mereka dan keluarga.
Selepas menikmati juadah berbuka puasa, saya bersama penduduk kampung berjemaah sembahyang isya dan sunat tarawih, sebaik sahaja selesai berjemaah saya menyampaikan segulung sejadah dan beberapa naskah surah yassin kepada Pengerusi masjid kampung ini.
Walaupun pertemuan saya dengan penduduk di kampung ini terlalu singkat, namun bagi saya kedatangan saya ke sini bukanlah yang pertama dan terakhir, saya pasti saya akan ke sini lagi untuk bertemu dengan penduduk yang pernah membantu memenangkan Barisan Nasional pada pilihanraya lalu.
Sesungguhnya jasa penduduk di kampung ini dan rakyat daerah Kota Belud amat saya hargai dan tiada ternilai harganya.
DARD
Jumaat, September 11, 2009
Aktiviti Berbuka Puasa Ahli Parlimen Kota Belud
Sepanjang bulan puasa ini, saya berkesempatan berbuka puasa di beberapa buah rumah umat Islam di daerah ini, program berbuka puasa dari rumah ke rumah merupakan wadah saya mendekatkan diri dengan rakyat di peringkat akar umbi.
Program ini merupakan acara tahunan yang menjadi kemestian saya selaku Wakil Rakyat Parlimen di kawasan ini, pada bulan ramadan tahun lalu pendekatan berbuka puasa dari rumah ke rumah turut saya adakan dan ianya diadakan dalam suasana penuh semangat persaudaraan.
Acara ini merupakan aktiviti wajib setiapkali menjelang bulan Ramadan ini, bukan sahaja bertujuan merapatkan hubungan silatulrahim dengan lebih intim lagi dengan rakyat di peringkat akar umbi.
Malah dikesempatan ini juga, saya mengambil peluang mendekati rakyat di peringkat akar umbi sambil mendengar masalah yang mereka hadapi secara langsung.
Program seperti ini akan terus saya adakan pada setiap bulan ramadan setiap tahun untuk mendekati rakyat di daerah ini disamping berbincang dengan mereka tanpa sebarang batasan.
Baru-baru ini, saya berkesempatan berbuka puasa di beberapa buah rumah penduduk kampung di daerah ini, antara rumah yang sempat saya kunjungi untuk berbuka puasa di kediaman keluarga Mohamad Tutuh di Kampung Penampang Baru, Kota Belud, rumah kediaman keluarga Hj. Timbul Sinyora di Kampung Kota Belud dan berbuka puasa di rumah Haji Awang Nasyip di Kampung Pirasan, Kota Belud.
Pada kebiasaannya, selepas berbuka puasa dengan pemilik rumah, saya turut mengunjungi masjid atau surau di kampung yang berdekatan, berjemaah tarawih dengan umat Islam di kampung saya kunjungi.
Selepas selesai bersembahyang jemaah dengan penduduk di kampung yang saya kunjungi, saya akan mengambil kesempatan untuk menyampaikan sumbangan untuk kemudahan masjid dan surau di kampung itu, diikuti dengan bersama jemaah menikmati juadah yang disediakan oleh kaum wanita di kampung itu.
Ahad, September 06, 2009
Kekalkan Semangat Perpaduan Dan Sayang Menyayangi
Baru-baru ini pada 4 September 2009 saya telah dijemput untuk merasmikan penutupan Program Latihan Khidmat Negara Kumpulan 3 Siri 6/2009 di Kem Sinar Jaya di Kota Belud.
Seramai 213 remaja dari pelbagai lapisan suku kaum dan kepercayaan agama dari seluruh negara telah menamatkan Program Latihan Khidmat Negara di kem itu.Sehari sebelum saya ke Kem itu, pihak Pengurusan PLKN Kem Sinar Jaya telah memberikan saya sepasang baju pelatih PLKN lengkap dengan kasut ala tentera. Pada pagi sebelum saya ke kem itu saya menyarungkan pakaian khas pelatih dan berdiri berjam-jam dihadapan cermin memperkemaskan serta memperbetulkan baju yang saya pakai.
Ketika melihat diri dihadapan cermin besar di rumah, saya terkhayal sebentar melihat diri sendiri yang berpakaian seragam PLKN, sungguh segak dan bersemangat sekali, didalam hati kecil saya berkata kalaulah program latihan PLKN diadakan ketika zaman saya bersekolah, inilah program latihan yang pertama menjadi pilihan saya jika ketika itu program serupa ini telah diadakan di zaman persekolahan saya.
Malangnya saya tidak dilahirkan di zaman program ini dilancarkan, namun begitu tidak juga ‘kempunan’ walaupun dalam beberapa jam saya memakai baju pelatih PLKN saya sudah dapat merasakan semangat yang dirasai oleh setiap pelatih-pelatih PLKN.
Ketika saya sampai ke kem itu pada paginya, dari dalam kereta, saya sudah nampak beratus pelatih-pelatih PLKN sedang berbaris di padang kem itu menanti ketibaan saya dengan berpakaian lengkap dan penuh semangat, ini membakar semangat saya untuk bersama-sama dengan pelatih-pelatih di sini walaupun hanya untuk beberapa jam sahaja.
Sebaik sahaja saya turun dari kereta, Komandan Kem, Mejar Anuar Al-Shadat Abdul Rahman, Timbalan Komandan Pengurusan, Kapten Mohd Sabri Hj. Mali, Timbalan Komandan Latihan, Juair Masadang @ Abdullah serta beberapa para pemimpin masyarakat menyambut saya.
Mejar Anuar Al-Shadat membawa saya singgah sebentar di pondok berehat, sambil berdiri Mejar Anuar Al-Shadat membantu saya memperkemaskan dan memperbetulkan baju seragam pelatih PLKN yang saya pakai, nampak mudah saja tetapi sebenarnya banyak perkara yang perlu diperbetulkan.
Kesanggupan pelatih-pelatih berdiri berjam-jam sepanjang program jelas menggambarkan setiap dari mereka memiliki disiplin yang tinggi dan kental. Saya cukup berbangga dengan semangat yang telah berjaya diterap oleh Juru-Juru Latih kem ini kepada remaja-remaja ini.
Dari setiap wajah pelatih-pelatih PLKN di kem ini saya dapat melihat kekuatan, keberanian yang ada pada mereka sehinggakan saya berasa cukup yakin jika andaikata negara ini diserang musuh, bukan sahaja pelatih-pelatih di kem ini sanggup mempertahankan kedaulatan negara malah dianggarkan 580 ribu orang yang telah menamatkan latihan sejak beberapa siri yan lalu, pun sanggup bergerak senada dan seirama menyahut cabaran negara.
Tahniah saya ucapkan kepada semua pelatih-pelatih PLKN dan tidak lupa juga tahniah kepada Juru-Juru Latih PLKN di seluruh negara yang bertungkus lumus membentuk karektor pelatih-pelatih bagi memastikan pembentukan sebuah bangsa Malaysia yang bertanggungjawab ke atas negara ini.
Semangat tersebut itu perlu dipraktikan secara berterusan bagi memastikan kemerdekaan, kemakmuran serta keamanan negara dapat terus dipertahankan untuk dinikmati oleh generasi akan datang.
Tujuan latihan PLKN diadakan selain bertujuan menerapkan satu keperibadian yang terpuji, disiplin dan semangat waja mempertahankan negara di kalangan kumpulan remaja.
Program ini juga adalah bertujuan untuk memperatkan hubungan di antara pelbagai kaum di seluruh negara yang merupakan asas kekuatan negara ini sejak zaman kemerdekaan lagi.
Saya berharap apa yang telah dipelajari dan diterapkan oleh Juru Latih di PLKN kepada para pelatih PLKN yang antara lain menerapkan semangat perpaduan di kalangan pelbagai kaum dan pelbagai kepercayaan agama, sayang menyayangi antara satu sama lain dapat terus dipraktikkan sekembalinya mereka kepangkuan keluarga masing-masing.
Semangat perpaduan dan sikap sayang menyayangi yang diamalkan di negara ini sejak merdeka merupakan asas serta kekuatan kepada kesinambungan kemerdekaan yang kita nikmati hari ini, para remaja perlu meneruskan semangat seumpamanya bagi memastikan generasi mendatang dapat terus berkongsi kemerdekaan yang telah kita warisi dari kepimpinan negara terdahulu.
Dalam ucapan saya, saya turut menjelaskan senario keadaan semasa negara pada masa ini, sejak kebelakangan ini terlalu banyak isu-isu perkauman, keagamaan telah ditimbulkan oleh kumpulan extrimis perkauman dan keagamaan di negara ini.
Niat tidak baik kumpulan extrimis perkauman dan keagamaan menggunakan isu-isu tersebut berniat jahat cuba mengucar kacirkan perpaduan yang sedia terjalin di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Mereka ini cuba menggunakan dan mempengaruhi kumpulan remaja di negara ini untuk bersama-sama mereka memperjuangkan ideologi yang pada dasarnya hanya boleh menghancurkan kemakmuran di negara ini.
Sehubungan itu saya meminta agar golongan remaja terutamanya yang telah menamatkan latihan PLKN, yang dianggarkan seramai 580 ribu di seluruh negara, tidak mudah terpengaruh dan terjebak dengan aktiviti kumpulan extrimis perkauman dan keagamaan yang tidak mendatangkan manafaat kepada kepentingan rakyat dan negara secara keseluruhannya.
DARD
Sabtu, September 05, 2009
Berbuka Puasa Di Kampung Penampang, Terawih Di Masjid Kg. Pandasan
Seperti tahun sebelumnya program berbuka puasa yang dianjurkan oleh Pejabat saya bermula dari rumah individu atau pemimpin di peringkat kampung dan diikuti kemudiannya dengan program acara sembahyang terawih yang diadakan di masjid atau surau terdekat.
Petang kelmarin tanggal 04 September 2009 bersamaan hari Jumaat saya dan kakitangan saya di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Belud berbuka puasa di rumah kediaman saudara Mohamad Tutuh di Kampung Penampang, Kota Belud dan disusuli dengan program sembahyang terawih di masjid Kg Pandasan.
Selepas sembahyang terawih di masjid tersebut, Jawatan Kuasa Masjid memohon beberapa perkara untuk keselesaan jemaah masjid. Dalam majlis itu, saya mengambil kesempatan untuk menyampaikan sumbangan berupa wang tunai sebanyak RM1,000 (untuk kegunaan pembelian peralatan dapur untuk masjid), switchbox baru untuk menampung penggunaan lebih lampu dan peralatan elektrik serta sebuah vacum cleaner untuk kemudahan di masjid tersebut.
Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada saudara Mohamad Tutuh dan masyarakat di Kampung Pandasan yang begitu ramah, mesra melayan saya dengan pelbagai juadah pada majlis berbuka puasa itu.
Wassalam.
DARD
Rabu, September 02, 2009
Maaf dari Pejabat Perhubungan Ahli Parlimen
Selasa, September 01, 2009
NE....???
I think it is easily the best video I have seen for a long long time...

