Masjid Pekan Kota Belud yang terkenal dengan reka bentuknya yang tersergam indah memiliki kubah berwarna kuning keemasan, kini bergerak maju setapak kehadapan mendahului masjid-masjid lain di negeri ini kerana menggunakan bantuan peralatan moden ‘slide projector’ dalam menyampaikan dakwah agama Islam kepada umatnya.
Sejak beberapa minggu yang lalu masjid tersebut telah menggunakan ‘slide projector’ menayangkan setiap isi kandung khutbah yang dibacakan oleh imam masjid itu pada setiap Jumaat untuk tontonan jemaah yang mengimarahkan masjid tersebut.
Difahamkan, masjid di daerah ini merupakan masjid yang pertama di kawasan luar bandar di negeri ini yang menggunakan bantuan peralatan moden ‘slide projector’ dalam menyampaikan dakwah agama Islam kepada umatnya.
Set projector dan sebuah komputer riba tersebut telah disumbangan oleh Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Datuk Dahlan
Masjid Pekan Kota Belud Mercu Keagungan Umat Islam.
Dengan adanya kemudahan slide projector yang tersedia di Masjid Pekan Kota Belud membolehkan jemaah yang duduk dibelakang dapat mengikuti khutbah Jumaat menerusi tayangan slide isi kandung khutbah.
Peranan masjid dalam melaksanakan aktiviti dakwah Islam dan pembangunan umat Islam menjadi begitu penting, fungsi masjid akan menjadi lebih dinamik dan perlu bertindak secara proaktif dalam menangani keperluan yang berkaitan.
Apabila kita menyingkap sejarah perkembangan kegemilangan umat Islam khususnya di zaman baginda Rasulullah s.a.w. , masjid merupakan pusat ibadat, muamalat, penyebaran Islam, pemerintahan dan pentadbiran.
Masjid juga menjadi pusat pembentukan keperibadian insan serta kegiatan yang dapat memberikan faedah serta mendatangkan manfaat kepada Islam dan penganutnya.
Masjid merupakan lambang syiar Islam dan kedaulatan, ia merupakan pusat yang menghubungkan manusia sesama manusia dan hubungan manusia bersama penciptanya.
Rasulullah s.a.w. mengambil langkah yang berkesan bagi meluaskan fungsi dan peranan masjid bagi mewujudkan perpaduan yang kukuh dikalangan umat Islam di Madinah dengan meletakkan dasar ketakwaan di dalam kehidupan mereka.
Imam Madlan Awang
Dalam perkembangan berkaitan, Imam 1 Masjid Pekan Kota Belud, Imam Madlan Awang mengucap jutaan terima kasih kepada Ahli Parlimen Kota Belud.
Madlan berkata, dengan adanya kemudahan tersebut ianya dapat mempermudahkan lagi penyampaian khutbah secara berkesan.
Katanya, setiap apa yang dibaca oleh imam yang bertugas pada hari Jumaat dapat dibaca oleh para jemaah yang menunaikan sembahyang pada hari itu dengan jelas.
“ Saya bagi pihak Ajk masjid ini berasa bersyukur dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Datuk Dahlan atas sumbangan beliau, kemudahan ini bukan sahaja amat berharga kepada Ajk masjid tetapi juga kepada umat Islam diseluruh daerah ini.” katanya lagi.
Hj. Kazol Samin
Sementara itu, Ajk Masjid Pekan Kota Belud, Hj. Kazol Samin mengalu-alukan pembaharuan yang dipraktikan oleh Masjid Pekan Kota Belud.
Menurut Hj. Kazol kemudahan seumpamanya bukan hanya boleh digunakan ketika hari jumaat sahaja tetapi ia juga boleh digunakan dalam pelbagai program yang dianjurkan oleh AJK Masjid Pekan Kota Belud.
“ Dalam dunia ICT masa kini, umat Islam tidak seharusnya ketinggalan dengan ledakan ICT yang serba canggih dan saya yakin apa yang dipraktikan oleh AJK Masjid ini akan dijadikan contoh oleh masjid-masjid lain di negeri ini dalam melaksanakan dakwah islamiah.” tambahnya lagi.
Hj. Manchu Kula
Manakala Hj. Manchu Kula pula berpendapat memang wajar kemudahan seumpamanya digunakan di masjid, ini bagi memberi peluang kepada jemaah yang berada dibelakang melihat sendiri isi kandungan khutbah yang disampaikan oleh Imam dengan jelas dan terang.
Beliau yang juga Pemaju Mukim Dun Usukan turut mencadangkan agar kemudahan seumpama itu diperluaskan lagi hingga ke peringkat surau di kampung-kampung di seluruh negeri ini.
“ Bagi saya kemudahan seumpama ini bukan satu pembaziran, pada saya ia satu keperluan yang perlu ada di setiap masjid dan surau di negeri ini, kemudahan seperti ini berupaya menyampaikan setiap khutbah secara berkesan dan ia amat relevan untuk zaman yang serba canggih seperti hari ini. “ katanya lagi.
Daerah Kota Belud terletak di Pantai Barat Utara dengan keluasan 1,385.6 km persegi,kepadatan penduduk sebanyak Lebih kurang 71,615 orang, jarak dari Kota Kinabalu ke daerah ini sejauh 70 km.
