Friday, June 26, 2009

Nak Projek? Tanya Gurubesar/Pengetua dulu...

Salam, 

Pada majlis Hari Guru Daerah Kota Belud baru baru ini saya telah memberi kenyataan dalam ucapan saya bahawa mulai tahun depan (2010), saya akan memberi keutamaan kepada pemohonan individu melalui peruntukan ahli parlimen yang menyertakan surat perakuan dari gurubesar atau pengetua yang menunjukkan bahawa anak mereka tidak mempunyai masalah disiplin, ponteng atau buli di sekolah.

Saya bukan berniat untuk memberi kuasa kepada gurubesar atau pengetua untuk menentukan siapa dapat peruntukan dari saya. Malah saya juga tidak berniat untuk mewajibkan pemohon untuk merujuk kepada gurubesar dan pengetua sebelum mengemukakan permohonan. Tetapi inilah cara saya untuk memberi keadilan kepada mereka mereka yang betul betul berusaha untuk meletakkan pendidikan anak mereka sebagai perkara yang penting dalam hidup mereka.

Surat perakuan itu tidak boleh menyebut sokongan kepada pemohon dalam mendapatkan peruntukan ahli parlimen. Surat itu hanya memperakukan bahawa anak pemohon tidak mempunyai masalah disiplin seperti buli dan ponteng. Ianya perlu ditandatangan oleh gurubesar atau pengetua sahaja. Soal kecemerlangan dan prestasi akademik anak mereka tidak menjadi ukuran kepada saya buat masa ini. Yang perlu saya tahu hanyalah samada anak pemohon tidak mempunyai kes disiplin sepertimana yang saya sebut tadi. 

Perlu saya tegaskan sekali lagi bahawa surat sokongan dari JKKK dan Ketua Kampung masih perlu dan surat perakuan gurubesar atau pengetua yang saya maksudkan ini tidaklah wajib. Saya akan dan masih mempertimbangkan setiap permohonan berdasarkan merit (walaupun tanpa surat perakuan gurubesar dan pengetua)  tetapi surat perakuan itu tentunya akan memberi sedikit kelebihan kepada pemohon berbanding mereka yang tidak ada surat perakuan. 

Sebenarnya acapkali saya dapati pemohon yang tidak memperdulikan pendidikan anak mereka mendapat peluang yang lebih cerah untuk mendapat peruntukan hanya kerana mereka mempunyai ruang untuk mendekati saya. Ini perlu diubah!

Isu pendidikan sudah telalu banyak kali dibincang oleh semua pihak. Sudah tiba masanya kita meletakkan syarat kecemerlangan pendidikan sebagai landasan pertama untuk mendapatkan peruntukan dari saya. Kalau dulu surat sokongan JKKK atau Ketua Kampung penting untuk dilampirkan bersama, sekarang surat perakuan gurubesar dan pengetua juga dapat memberi kelebihan kepada permohonan mereka tersebut. 

Saya rasa saya perlu membuat keputusan ini agar semua pihak sedar bahawa pendidikan anak anak mereka amatlah mustahak dan menjadi prioriti nombor satu kepada mereka. Semoga pemdekatan baru ini dapat mengubah persepsi masyarakay terhadap peripentingnya pendidikan dalam kehidupan kita semua!

Sejahtera Kota Belud.

DARD

Kongsi artikel ini: