Wednesday, December 02, 2009

Senarai E-Kasih tak lengkap di KB





Baru-baru ini saya berada dalam satu program di kampung Lobong-Lobong (yang turut dihadiri oleh JKKK dari Kg Kaung dan Kg Kiau Bersatu). Minggu sebelum itu saya berada di Kg Sarang.

Dalam diskusi dengan pemimpin-pemimpin akar umbi ini, saya maklumkan kepada mereka sistem baru skim subsidi beras yang dinamakan SUBUR (Subsidi Beras Untuk Rakyat). Saya maklumkan bahawa skim baru subsidi beras ini akan menggunakan senarai e-kasih sebagai asas senarai penerima subsidi. Ramai yang mengedutkan dahi dan menggeleng kepala apabila saya sebut bahawa kerajaan akan menggunakan senarai e-kasih. Rupa-rupanya masih ramai lagi yang belum dibanci dan dimasukkan kedalam senarai e-kasih. Malah JKKK Kg Kaung mengatakan lebih 60% penduduk kampung Kaung tiada dalam senarai walaupun mereka ini lebih daripada layak.

Setelah disiasat, saya dapati Jabatan Kebajikan tidak pun turun ke kampung itu untuk membuat bancian. Sebab itulah JKKK dan orang kampung khuatir mereka akan tercicir dari senarai. Saya rasakan perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Jabatan Kebajikan perlu mempertingatkan usaha mereka untuk mencari dan membanci orang-orang miskin di seluruh Kota Belud. Ini amat kritikal kerana semua agensi kerajaan akan menggunakan senarai e-kasih sebagai senarai rasmi untuk menyalurkan bantuan kepada orang-orang miskin di negara kita. Kalau seorang nama individu tercicir, besar kemungkinan bantuan dalam semua bentuk tidak akan dapat diperolehi oleh individu tersebut.

Sebab itulah saya telah meminta Jabatan Kebajikan Kota Belud untuk melawat kampung Kaung dan kawasan-kawasan berdekatannya serta merta untuk membanci penduduk-penduduk miskin di situ. Pada mulanya, lawatan itu sepatutnya diadakan pada awal minggu ini tetapi oleh kerana faktor hujan terlalu lebat, lawatan itu ditunda ke hari isnin 7hb Disember 2009.

Mudah-mudahan dengan lawatan dan bancian ini, permasalahan dan kekhuatiran orang kampung akan dapat diatasi. Saya berterima kasih kepada Jabatan Kebajikan Kota Belud kerana mengambil tindakan cepat. Cuma saya tertanya-tanya, berapa banyak lagi kampung-kamping terpencil di Kota belud yang belum dibanci?.

Salam

DARD

4 comments:

  1. salam,

    Untuk makluman pihak datuk, bukan sahaja di kg kaung malahan di kampung2 lain. Kawasaan parlimen datuk ini pada saya sebenarnya kawasan"PANAS" bagi masalah kemiskinan. Bukan sahaja pihak jabatan kebajikkan bersalah, semua pihak sepatutnya membantu dalam soal ini. Satu ketika saya berada di pejabat daerah, dalam saya berurusan dengan salah seorang pegawai di sana, seorang rakyat datuk telah bertanya kepada pegawai tersebut adakah nama beliau tersenarai atau tidak. Setelah di periksa nama beliau tidak wujud, sedangkan menurut rakyat datuk itu, belliau dah enam kali hantar copy ic nya untuk di daftarkan oleh E. Asrin Sadi. Namun sehingga sekarang ia masih belum tersenarai.

    Selain itu, rakyat datuk juga menyatakan bahawa pemeriksaan yang dibuat oleh kakitangan pejabat daerah dalam permohonan PPRT kepada individu yang memohon banyak berlakunya kesilapan atau pendek kata kesalahan. Kebanyakkan rumah yang ditunjuk oleh JKKK atau wakil ADUN semuanya rumah orang lain. Kebanyakkan masalah ini berlaku dalam masyarakat Kaum Iranun. Harap pihak datuk dapat mengambil tindakkan yang sewajarnya. kprihatinan pihak datuk amat saya dan rakyat hargai.

    ReplyDelete
  2. paikankb,

    InsyaAllah. Saya akan tumpukan fokus yang lebih kepada perkara ini supaya masalah ini dapat diselesaikan. Terima kasih.

    ReplyDelete
  3. Salam sejahtera ...

    Menurut artikel ini (juga terdapat di dalam Daily Express & Berita Harian), Jabatan Kebajikan diminta untuk 'turun padang' membanci penduduk kerana masih ramai lagi yang tidak tersenarai di dalam senarai ekasih walaupun layak. Mohon perhatian, senarai ekasih BUKAN disediakan oleh Jabatan Kebajikan tetapi dibanci dan disediakan oleh Jabatan Statistik Negara setiap negeri dan senarai ini boleh dirujuk di Pejabat Daerah bagi daerah Kota Belud. Pihak Jabatan Kebajikan amat terkejut dan terkilan berikutan kesalah fahaman ini dan hal ini telah menimbulkan kesan negatif kepada jabatan ini, khususnya di daerah kota belud. Sedangkan, pejabat kebajikan juga menjadikan senarai ekasih ini sebagai panduan bagi perkara-perkara yang berkaitan di dalam jabatan dan senarai ini diperolehi dari Pejabat Daerah. Peranan setiap jabatan perlu diketahui sedalam-dalamnya agar masalah silap tuding jari tidak akan berlaku lagi selepas ini.

    Terima kasih.

    ReplyDelete
  4. salam datuk,
    masalah e-kasih masalah baru..masalah lama tidak selesai timbul pulak mslh baru..mslh AIR PAIP di KG.LABUAN suda puluhan tahun menanti penyelesaiannya..namun apa yg kami dpt hanyalah himpunan JANJI-JANJI KOSONG..dr zaman kanak2 sampailah zaman bapa kpd anak2 mslh ini tidak pernah selesai..harapan demi harapan kami sandarkan kpd setiap pemimpin yg hadir..namun semua hampa..pemimpin silih berganti..tetapi masalah kami tidak pernah berubah..dimana silapnya???

    ReplyDelete

Kongsi artikel ini: