Tuesday, December 08, 2009

Betulkah kenyataan YB Pakatan tak rasis?



Berniat jahat dan bermotifkan politik. Itulah intipati perbahasan saya semalam terhadap usul YB Dato' Ngeh Koo Ham (DAP - BERUAS) untuk memotong gaji Menteri Pelajaran sebanyak RM10 kerana kononnya gagal menangani beberapa isu termasuk tragedi jambatan runtuh di Kg Dipang Perak yang mengorbankan 3 nyawa pelajar yang sedang mengikuti program perkhemahan di situ.

Saya juga berhujah, usul itu berunsur kepada perkauman kerana YB Beruas sengaja mahu menyebut bahawa pelajar-pelajar yang terbunuh adalah pelajar-pelajar yang berbangsa India. Hujah saya senang sahaja. Apa keperluan beliau menyebut bangsa pelajar-pelajar yang maut itu? Apa relevennya fakta pelajar-pelajar tersebut berbangsa India kepada hujah beliau? Bukankah memadai sekadar menyebut jumlah pelajar yang terlibat tanpa menyebut bangsa mereka? Jelas dengan berbuat demikian, ternampak ada usaha untuk memasukkan dimensi perkauman dalam insiden yang menyayat hati itu untuk kepentingan politik. Hujah yang memberi erti seolah-olah berlaku penindasan terhadap sesuatu bangsa tertentu, adalah cara yang paling senang untuk menaikkan kemarahan bangsa tersebut terhadap kerajaan.



Apakah ini hanya satu pandangan atau persepsi?


Ini bukan kali pertama perkara seperti ini berlaku. Kita Kita pernah lihat taktik politik halus ini semasa kematian mendiang Teoh Beng Hock yang dijumpai mati di bangunan pejabat SPRM beberapa bulan yang lalu.

Pada hari kejadian itu, YB Lim Kit Siang (DAP- Ipoh Timur) seperti biasa menggunakan akaun mikro-blogging Twitter untuk menyebarkan pandangan "minute-by-minute" beliau. Sebagai salah seorang yang mengikut akaun Twitter beliau, saya dapati posting awal dari beliau semuanya agak kritikal terhadap kerajaan dan SPRM walaupun penyasatan punca kematian mendiang Teoh masih belum konklusif lagi. Walaupun saya merasakan YB Ipoh Timur pada masa itu "speculating way too much" berkenaan punca kematian Teoh, saya masih mampu untuk memahaminya kerana berpandangan, sebagai seorang manusia biasa, beliau patut diberi ruang untuk menunjukkan emosi kerana yang meninggal itu adalah pegawai khas pemimpin parti beliau.



Cuma setelah beberapa jam selepas itu, dalam nada yang agak marah beliau mendesak Kabinet membincangkan isu kematian Teoh ini dalam mesyuarat mingguannya kerana menurut beliau kematian ini adalah serius. Kalau dilihat dari satu sudut, tidak ada salahnya beliau mendesak kabinet untuk membawa isu ini kemesyuaratnya. Tetapi saya terkejut apabila selepas itu, beliau dengan angkuh mencabar  menteri-menteri MCA dan Gerakan "to stand up" dan membawa isu ini kekabinet dan seterusnya menyatakan pendirian mereka di dalam mesyuarat kabinet tersebut.

Persoalannya, apa perlu YB Ipoh Timur mencabar menteri MCA dan Gerakan dalam soal ini? Kenapa tidak mencabar menteri-menteri yang lebih releven seperti Dato Seri Nazri Aziz (Menteri yang menjaga SPRM) atau Dato Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri yang menjaga Polis)? Kenapa perlu cabar Menteri MCA dan Gerakan? Adakah kerana mereka berbangsa Cina? Adakah ini satu usaha memberi dimensi perkauman kepada kematian mendiang Teoh. Adakah dengan mencabar menteri berbangsa Cina dari MCA dan Gerakan, seolah-olah apa yang mahu digambarkan ialah pemimpin MCA dan Gerakan tidak boleh diharapkan untuk memperjuangkan nasib orang-orang Cina?


Sejak Mac 2008, pemimpin Pakatan Rakyat sering mendabik dada dengan slogan Ketuanan Rakyat yang kononnya tidak meletakkan kaum sebagai asas perjuangan mereka. Kalau pemimpin Pakatan rakyat benar-benar menghayati slogan itu, debatkanlah tragedi jambatan Kampung Dipang dan kematian mendiang Teoh atas merit kes-kes tersebut tetapi jangan sesekali cuba mendapatkan "political mileage" dengan memberi dimensi perkauman dalam perdebatan itu.



Salam,
DARD



2 comments:

  1. Salam Dato,sebagai rakyat Kota Belud yang telah memberi mandat kepada Dato sebagai Ahli Parlimen amat merasa bangga dengan kebijaksanaan dan kepitahan berbahas berhubung berbagai-bagai isu semasa.Semoga Dato sentiasa diberi kekuatan oleh Allah untuk terus berbahas dengan penuh bijaksana membela rakyat yang tertindas dan golongan miskin di negara ini khususnya di daerah Kota Belud.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih atas sokongan dan kata kata semangat Mohd Amini....

    ReplyDelete

Kongsi artikel ini: