Wednesday, November 04, 2009

Menteri kena banyakkan berfikir !!









Tiga hari yang lalu, saya berkesempatan untuk membahaskan bajet 2010 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada 23hb Oktober yang lalu.

Antara lain isu yang saya ketengahkan dalam masa 20 minit yang dibenarkan berucap adalah:

(1) Saya mencadangkan agar menteri-menteri mengurangkan aktiviti-aktiviti dalam jadual kerja harian mereka yang tidak ada kaitan dengan kerja utama (core business) mereka. Sekarang ini, menteri-menteri terlalu sibuk dengan jadual harian yang sarat dengan program-program mereka. Saya tidak maksudkan program seperti seminar atau mesyuarat yang tentunya mengandungi banyak kebaikan dari segi percambahan pemikiran dan perbincangan. Yang saya maksudkan ialah program-program perasmian yang tidak mendatangkan banyak kesan kepada kerja utama mereka sebagai seorang menteri. Apatah lagi jika menteri-menteri ini terpaksa berkejar keseluruh pelusuk negara untuk menghadiri program-program ini.

Berapa kali kita selalu membaca berita yang menunjukkan menteri tersenyum berucap merasmikan pasar borong di Kuala Lumpur, esok pulak berucap melancarkan larian amal di Johor dan lepas itu tulat berucap menghadiri acara makan malam di Sarawak. Saya tertanya-tanya bagaimana mereka dapat menghayati isi ucapan mereka kerana hanya sempat membacanya sejam dua sebelum acara bermula.

Saya juga tidak begitu yakin menteri-menteri ini mampu menghayati kehadiran mereka dalam program-program ini. Malah saya pernah terdengar cerita di mana menteri sendiri tidak tahu apa programnya pada esok hari dek terlalu sibuk. Nasib baik ada pengawai khas menteri yang sentiasa mengingatkan menteri mereka. Bayangkan, bagaimana mereka dapat memfokuskan perhatian mereka terhadap kerja utama mereka sebagai menteri jika mereka terpaksa menghabiskan masa dengan program-program yang tidak begitu berkenaan dengan bidang kerja utama mereka. Ditambah pulak dengan baki masa yang terhad itu, terpaksa digunakan untuk memikirkan soal parti mereka (majoriti menteri memegang jawatan tinggi dalam parti mereka), soal kawasan parlimen mereka dan hal-hal peribadi dan keluarga masing-masing.

Sepatutnya menteri perlu mempunyai masa yang cukup untuk berdailog, berbincang, mencambah fikiran, brain storming, refleksi dan mengutip idea para ilmuan dan orang pakar (picking the brains of the learned and the experts).

Dunia bergerak dengan begitu pantas sekali dan idea dan maklumat yang "segar" (fresh) hari ini, besar kemungkinan akan menjadi basi (stale) esok hari. Kalau menteri tidak dapat menangkap idea-idea baru ini, negara tidak mampu menjadi kompetitif. Saya rasa rakyat tidak akan marah jika menteri-menteri mengurangkan program-program yang saya sebut di atas jika hasilnya menteri mampu menunjukkan prestasi cemerlang dalam perancangan kementerian mereka sesuai dengan tuntutan Indeks Prestasi Utama (KPI).

Lagipun kalau menteri hadir dalam program-program tersebut, masa untuk berinteraksi dengan rakyat agak terhad kerana aturcara progam selalunya tidak menyediakan ruang untuk menteri berjumpa dan berinteraksi dengan rakyat kebanyakan.

(2) Saya juga meminta Kementerian Pembangunan Luarbandar untuk memberi sasaran kementerian dalam usahanya menyediakan bekalan air dan letrik di Kota Belud. Ini penting kerana kerajaan telah berjanji untuk mengotakan harapan KPI (Key Performance Index) atau Indeks Prestasi Utama dalam isu penyedian bekalan air dan letrik luarbandar melalui Kementerian Pembangunan Luarbandar.

Seperti apa yang disebut dalam ucapan YAB Perdana Menteri baru-baru ini, saya berharap Kementerian Pembangunan Luar bandar mengambil perhatian. Kata YAB Perdana Menteri, “Kerajaan akan menggandakan pembinaan jalan luar bandar di Sabah dan Sarawak daripada 750 kilometer yang dibina dalam Rancangan Malaysia Ke-9 kepada 1,500 kilometer dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-10. Bersangkutan liputan bekalan air yang boleh diminum kini berada pada tahap 52 peratus di Sabah dan 61 peratus di Sarawak. Liputan ini akan ditambah menjadi sekurangnya 80 peratus menjelang tahun 2015. Manakala, penekanan yang sama juga akan diberikan kepada liputan bekalan elektrik".

(3) Saya juga mencadangkan agar satu lebuhraya menyambung bandaraya Kota Kinabalu di pantai barat dengan bandaraya Sandakan di pantai timur dibina. Dengan adanya lebuhraya setaraf lebuhraya utara selatan di semenanjung, aktiviti ekonomi di kedua-dua bandar ini akan dapat dipertingkatkan. Perjalanan di antara kedua-dua bandar ini akan lebih selesa dan selamat. Ekonomi akan dapat dipacu dengan lebih deras lagi dan ekonomi di sepanjang lebuhraya pula akan mendapat kesan sampingan (spillover effect). Barangan juga akan dapat diangkut dengan lebih murah dan mudah di samping respon kepada kawalan keselamatan negeri Sabah oleh pihak polis dan tentera dapat dipercepatkan.

Saya faham kos lebuhraya ini agak besar memandangkan ianya akan melalui kawasan pergunungan dan hutan belantara dan lebih sesuai dicadangkan dalam pembentangan Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) tahun hadapan. Walaubagaimana pun, apa yang saya cadangkan ialah supaya Kementerian Kewangan menyediakan peruntukkan dalam bajet 2010, sekurang-kurangnya untuk satu kajian awal terhadap "kemampuan/keupayaan" (viability) projek lebuhraya ini.

(4) Seterusnya saya menyentuh tentang isu Rancangan Makanan Tambahan kelolaan Kementerian Pelajaran. Seramai 140,000 pelajar-pelajar luarbandar di negeri Sabah mendapat manafaat daripada RMT ini. Pada tahun 2007, satu lapuran daripada Unit Kesihatan, Jabatan Pelajaran Negeri Sabah menyatakan bahawa 15% hingga 20% murid-murid luar bandar di negeri Sabah datang ke sekolah tanpa sarapan pagi ataupun makan tengah hari bagi pelajar sebelah petang. Manakala satu per enam hingga satu per tiga pelajar luarbandar di Sabah mengalami fenomena apa yang dipanggil "kelaparan tersembunyi". Kelaparan tersembunyi ini akan membawa kepada salah pemakanan (malnutrition) yang akan mengakibatkan serangan penyakit, pertumbuhan badan yang tidak seimbang dan gangguan kepada pembelajaran pelajar-pelajar.

Kelemahan lain yang disebut di dalam lapuran tersebut ialah ketirisan dana yang disalurkan kepada PPD dan seterusnya kepada gurubesar-gurubesar di peringkat sekolah. Ada juga insiden di mana ada pihak sekolah yang meminta RM0.10 hingga RM0.25 daripada pembekal untuk tujuan pengurusan sekolah ataupun untuk kelab guru. Ini adalah salah kerana program ini bukannya untuk tujuan tersebut.

Ada juga pihak sekolah yang tidak menjalankan program RMT ini mengikut jadual iaitu 190 hari dalam masa setahun. Ini semua amat mendukacitakan kerana kerajaan membelanjakan beratus-ratus juta untuk memberi makanan berzat kepada pelajar-pelajar miskin di luar bandar.

Untuk menyelesaikan masalah ini, amat penting untuk kerajaan menggunakan sistem "retort" atau sistem kantung di mana makanan di"pek" dalam beg dan hanya perlu dipanaskan dalam air mendidih. Zat makanan dan kebersihan terjamin dan insiden keracunan makanan dapat dielakkan.

Semoga persoalan yang saya ajukan ini diharap dapat mendapat jawapan daripada pihak kerajaan semasa sesi pengulunggan oleh menteri menteri minggu depan. InsyaAllah.

Salam.

DARD

7 comments:

  1. datuk kami di kg kota belud suda 2 hari teda air paip ni, boleh datuk tolong atur ka ni?masalah ini membataskan pergerakan kami dan menjadi masalah besar kepada kami disini. Jabatan air juga tidak memberikan sebarang penjelasan tentang masalah ini menjadikan masalah kami ini lebih perit lagi. saya berharap yg berhormat datuk dapat menyelesaikan masalah kami ini dengan segera.

    ReplyDelete
  2. istilah Turun Padang.. bagaimana? setiap menteri ada kawasan masing-masing. Bagaimana pegawai kerajaan yang ada dalam kementerian tidak ikut berfikir ke? meneteri tidak mungkin jadi one man show. Kepakaan perlu juga perbicara. Berfikir boleh.. sampai ke mana ya??

    Meneteri..atau pemimpin adalah mereka yang mampu memginterpretasi keadaan atau maklumat.. dalam ruang lingkup yang terhad. Baru lah dikatakan berkemampuan.

    ReplyDelete
  3. mrakunman,

    Menteri terlalu banyak program sehinggakan kadang-kadang tak dapat hadir dalam persidangan parlimen sedangkan di parlimenlah suara rakyat dan masalah rakyat yang terkini dibahas oleh YB YB seluruh negara. Rasanya, menteri akan dapat mengetahui "first-hand" masalah akar umbi tanpa bekejar kesana kemari!

    Saya rasa sudah tiba masanya, mereka memberi masa yang lebih untuk hadir di parlimen.

    ReplyDelete
  4. Tanpa nama @6:49am,

    Saya sudah hubungi Jabatan Air Kota Belud. Menurut mereka memang ada gangguan bekalan air di Kg Kota Belud akibbat kebocoran pada paip besar di kawasan tersebut. Jabatan Air KB sedang membaikinya dan bekalan akan pulih sediakala.

    Tkasih.

    ReplyDelete
  5. ni apa mp yang tak tahu beza antara gated community dan electric gate. Mmg lagi pasal polis lambat dan jenayah berleluasa. mungkin kota belud paling selamat

    ReplyDelete
  6. Metselder Siow,

    I have posted about the issue in my main wall. Do read it so you can have a balanced view of what transpired in the debate.

    Thank you.

    ReplyDelete

Kongsi artikel ini: