Thursday, November 19, 2009

Tajaan syarikat rokok dalam sukan: Ambik Duit Bukan Asapnya....




1.     Pagi ini soalan saya mengenai bolasepak negara dipilih menjadi soalan lisan yang pertama di Parlimen. Saya bertanya apakah kerajaan akan menarik balik keputusan mengharamkan syarikat rokok dari menaja aktiviti sukan terutamanya sukan bolasepak negara memandangkan persatuan bolasepak dan kelab-kelab di Malaysia amat memerlukan dana.

Menteri dalam jawapannya mengatakan bahawa kerajaan tidak berhasrat untuk menarik balik pengharaman penajaan syarikat rokok buat masa ini.

2.     Soalan saya ini saya sandarkan kepada beberapa fakta. Pertamanya saya tidak nampak ada co-relation atau hubungan langsung antara pengiklanan syarikat rokok dalam sukan dan tren peningkatan penjualan rokok. Nyata dengan pengharaman penajaan syarikat rokok tidak mampu untuk mengurangkan penjualan rokok. Malah setiap kali permainan bola habis, sampah yang paling banyak ditinggalkan oleh penonton ialah puntung-puntung rokok!

3.     Keduanya, saya juga maklumkan dewan bahawa perjanjian antara Malaysia dan WHO (World Health Organization) untuk mengharamkan penajaan syarikat rokok adalah berasaskan sukarela. Maknanya setiap negara tidak dipaksa untuk menandatangani perjanjian tersebut. Indonesia contohnya masih membenarkan tajaan rokok. Jadi tidak timbul isu negara menyalahi peraturan jika menarik diri dari perjanjian tersebut.

4.     Ketiganya, pengharaman tajaan syarikat rokok memberi kesan impak berganda kepada negara-negara Islam berbanding dengan negara-negara barat kerana negara-negara barat masih boleh menerima penajaan syarikat arak apabila pengharaman tajaan syarikat rokok ini dibuat. Perlu diingat bahawa syarikat rokok dan arak membelanjakan banyak wang mereka untuk tujuan penajaan. Saya juga hairan apa motif WHO mengharamkan penajaan syarikat rokok atas sebab ianya memudaratkan kesihatan sedangkan pengharaman itu tidak dikenakan kepada tajaan syarikat arak. Pada saya arak lebih memudaratkan daripada rokok (mabuk = kemalangan jalanraya).

5.    Dulu penajaan syarikat rokok kepada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) berjumlah RM30 juta satu musim. Sekarang ini FAM hanya mempunyai 2 penajaan utama iaitu dari Telekom Malaysia (TM) sebanyak RM9 juta satu musim dan dari RTM sebanyak RM6 juta satu musim. Bayangkan bagaimana untuk mengurus bidang sukan bolasepak jika dana FAM berkurangan sebanyak 50%!!

6.    Di Jepun dan Korea, kerajaan mereka meminta syarikat-syarikat besar mereka menaja setiap pasukan bolasepak dalam liga super mereka. Pada mulanya, syarikat-syarikat ini tidak begitu berminat untuk menaja dan kalaupun ada yang menaja, ianya dibuat atas alasan memenuhi tuntutan tangungjawab sosial korporat (CSR) mereka. Tetapi sekarang, syarikat-syarikat besar di Jepun dan Korea berlumba-lumba untuk menaja pasukan-pasukan bolasepak yang bermain dalam liga super kerana kejayaan liga itu yang ditonton oleh seluruh dunia. Buktinya Jepun dan Korea telah melayakkan diri ke pertandingan akhir Piala Dunia.

7.    Saya bukan bermaksud untuk membenarkan pengiklanan kotak rokok secara langsung. Tetapi apa salahnya kalau beg, pen dan baju Dunhill boleh diiklankan? Saya tidak setuju kalau ada yang kata membeli baju berlogokan Dunhill (yang mahal harganya) menyebabkan pembeli itu akan menjadi penghisap rokok. Ramai yang membeli barangan jenama Dunhill di KLCC disebabkan kualiti dan branding produk-produk tersebut. Bukannya kerana ia ada kaitan dengan rokok!

8.     Pada penghujung soalan tambahan saya, saya juga cadangkan agar kerajaan memperuntukkan dana khusus kepada sukan bolasepak hasil daripada pungutan cukai dari syarikat rokok. Dengan ini FAM akan dapat dana yang besar dan konsisten sepanjang masa dan diharap dapat mengembalikan zaman kegemilangan bolasepak negara.

1 comment:

  1. selamat pagi...salam perjuangan...
    selepas catatan ini saya cuba pejamkan mata..
    Kata Hamka:Sebesar-besar atau seberat
    -berat urusan,jangan dihadapi dengan
    muka berkerut.Kerut muka itu sendirinya menambah kerut pekerjaan.
    Terlintas hati mengintai blog ini.Pemiliknya tak penah saya tahu.Maaf tersilap sangka usia 50++
    empunya.Tahniah! seumur sama
    Datuk memiliki kemampuan usaha & ide menjana kemajuan 1MALAYSIA.
    ... zzzz :-)

    ReplyDelete

Kongsi artikel ini: