Friday, October 23, 2009

UMNO - fahaman haluan tengah!

Sebentar tadi saya menjadi tetamu dalam rancangan Sudut Pandang, Astro Awani. Tajuk kali ini ialah Politik Haluan Tengah Pilihan Terbaik. Seperti biasa wakil Pakatan juga dijemput. Kali ini Pengarah Pilihanraya Negeri Perak, Ismail Yusof, menjadi tetamu dari pihak Pakatan.


Saya memulakan hujah dengan memberi pengertian kepada ungkapan "Politik Haluan Tengah" atau Centrist Politics. Fahaman centrist adalah merujuk kepada kesederhanaan dalam ideologi politik. Ianya tidak berada di posisi "ultra right"  iaitu fahaman konservatif yang mahukan tradisi dipelihara ataupun posisi "ultra left" iaitu fahaman liberal yang mahukan perubahan secara evolusi atau revolusi terhadap tradisi atau kebiasaan.


Saya menghujahkan bahawa parti UMNO adalah contoh fahaman centrist. Walaupun UMNO selalu disalahertikan sebagai sebuah parti perkauman (ultra right), ia sebenarnya tidak betul. UMNO adalah sebuah parti berasaskan kaum tetapi tidak mempunyai agenda perkauman. Seperti kata Datuk Seri Najib dalam perhimpunan agung UMNO baru-baru ini, perkauman lebih menjurus kepada apa yang berlaku di Afrika Selatan dengan konsep "apartheid"nya dan di Amerika Syarikat yang memisahkan rakyatnya yang berkulit putih dengan mereka yang berkulit hitam melalui perundangan dan peraturan rasmi kerajaan.


Kesanggupan UMNO untuk berkongsi kuasa sejak zaman pra-kemerdekaan sehinggalah sekarang jelas menunjukkan fahaman centrist itu. Penubuhan sekolah jenis kebangsaan, pendekatan integrasi dan bukannya asimilisasi kepada orang bukan Melayu/bumiputera, dan mempertahankan sistem pasaran terbuka jelas memperlihatkan kecenderungan UMNO kearah "centrist" atau haluan tengah.


Begitu jugak, sejak pilihanraya tahun 1955 dan pilihanraya -pilihanraya berikutnya, UMNO boleh menggunakan kekuatannya untuk membolot kuasa tetapi ia memilih perkongsian kuasa bersama komponen parti yang lain. Mereka bukan saja diajak berkongsi kuasa tetapi diberikan portfolio yang utama seperti Kerjaraya, Pengangkutan, Kesihatan dan Sumber Manusia.


Malah, dasar-dasar ekonomi negara seperti yang terdapat dalam pembentangan bajet, suntikan ransangan ekonomi dan yang lain-lain yang melibatkan bursa saham, sektor pembuatan dan syarikat-syarikat besar sebenarnya banyak memanfaatkan golongan bukan Melayu/ bumiputera!


Selama ini UMNO berjaya menjadi tulang belakang BN dan kerajaan kerana mengamalkan politik centrist (sederhana) ini. Kepimpinan UMNO jelas terserlah dengan sentiasa menggunakan pendekatan inklusif, menyeluruh dan sederhana. Dan saya dapat rasakan orang-orang bukan Melayu/Bumiputera menghargai UMNO yang sebegitu rupa.


Mungkin ada yang berkata bahawa UMNO adalah parti yang rasis dengan mengambil kira perkembangan dan ucapan-ucapan dalam Persidangan Agong UMNO setiap tahun. Sebenarnya itu hanyalah persepsi yang tidak tepat.


Saya berhujah dengan mengatakan bahawa parti UMNO dan kepimpinan UMNO perlu diadili melalui tindakannya dalam bilik mesyuarat kabinet bukannya dewan PWTC. Walaupun dalam perhimpunan agung UMNO, kita didendangkan dengan ucapan-ucapan gagah yang meniup semangat perwakilan hingga kelangit (untuk makluman, parti-parti lain dalam perhimpunan mereka juga begitu), akhirnya UMNO akan kembali juga kebumi dan menunjukkan "kepimpinan"nya dan bukannya "ketuanan" melalui keputusan-keputusan eksekutif kabinet BN bertunjangkan UMNO itu.


Sebenarnya kalau diteliti sedalam-dalamnya, "kepimpinan" UMNO itulah yang menjadikan ianya sebagai parti yang releven dari merdeka sehingga masa kini. Seperti kata Datuk Seri Najib, dihormati oleh kawan, disegani oleh lawan. Hilang ciri-ciri "kepimpinan" centrist itu, maka nazaklah UMNO


YB Saudara Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda UMNO Malaysia merungkai isu "kepimpinan" ini dengan lebih mendalam dalam ucapan dasar beliau di perhimpunan agung Pemuda UMNO baru-baru ini (klik Disini Untuk Ucapan Dasar YB Khairy)...


Saya sedar, setelah pilihanraya 2008, banyak kumpulan NGO Melayu dan bumiputera yang sudah sedia ada dan yang tumbuh seperti cendawan akibat pergolakan politik masa kini, menjadi semakin "radikal".  Mereka ini kebiasaannya berhaluan kanan dan "ultra-right" (dari segi kata-kata dan prinsip bukannya tindakan). Mereka mendesak UMNO dan kerajaan untuk lebih mengutamakan melayu dan bumiputera,  demi mempertahankan "ketuanan" Melayu/bumiputera yang dilihat sebagai tergugat ekoran senario politik negara masa kini.


Sebab itulah, amat penting untuk UMNO dengan pantas meletakkan perjuangannya kelandasan kesederhanaan ini. Kelewatan untuk memegang fahaman "Wasatan" (meminjam ungkapan Datuk Seri Najib yang bererti kesederhanaan) akan membuatkan UMNO dichop sebagai parti yang memeperjuangkan hak orang Melayu/bumiputera sahaja. Ini perlu dielakkan kerana kekuatan UMNO selama ini bukan saja kerana Melayu dan bumiputera menyokongnya tetapi orang bukan Melayu/bumiputera juga turut merasa selesa, segan dan hormat serta sokong kepada UMNO. 


Alhamdullilah, kalau dilihat dari ucapan sulung beliau sebagai Presiden UMNO dalam perhimpunan agung UMNO baru-baru ini, nyata Datuk Seri Najib sudah pun mengorak langkah pertama kearah itu. Ucapan beliau itu sarat dengan nasihat supaya perjuangan UMNO itu perlu berdasarkan konsep  "menyeluruh", "sederhana" dan "inklusif".


Saya tidak menyangkal fakta bahawa kepentingan orang Melayu/bumiputera itu adalah WAJIB dipertahankan oleh UMNO kerana hakikatnya perjuangan itulah alasan UMNO ini ditubuhkan pada tahun 1946 dulu. Pun begitu, UMNO juga wajib memperlihatkan kebesarannya melalui keperihatinan dan perjuangannya untuk semua rakyat tanpa mengira agama, suku kaum dan bangsa. Di situlah terletak resipi kekuatan UMNO dan sesungguhnya pemimpin-pemimpin UMNO dari dulu sehingga sekarang faham bahawa UMNO yang sederhana dan berhaluan tengah adalah formula yang terbaik untuk negara!

6 comments:

  1. 1. Adakah fahaman centrist ini diaplikasikan atau sekadar bunga bicara?

    2. "UMNO adalah sebuah parti berasaskan kaum tetapi tidak mempunyai agenda perkauman."
    Kenapa wujud istilah 'ketuanan Melayu' di dalam UMNO?

    3. "Mereka bukan saja diajak berkongsi kuasa tetapi diberikan portfolio yang utama seperti Kerjaraya, Pengangkutan, Kesihatan dan Sumber Manusia."
    Bagaimana dengan Sabah dan Sarawak selama ini? Di mana perkongsian yg dikatakan itu? Hanya setelah Sabah dan Sarawak menjadi penyumbang besar di dalam PRU-2008 barulah kita diberi 'gula-gula' atau 'bilik yg lebih besar di dalam banglo yg sudah dihuni bersama selama 46 tahun'.

    4. "Malah, dasar-dasar ekonomi negara seperti yang terdapat dalam pembentangan bajet, suntikan ransangan ekonomi dan yang lain-lain yang melibatkan bursa saham, sektor pembuatan dan syarikat-syarikat besar sebenarnya banyak memanfaatkan golongan bukan Melayu/ bumiputera!"
    Masalahnya, golongan itu hanya terhad di Semenanjung sahaja. Bagaimana dengan Sabah dan Sarawak selama ini? Di mana pembangunan sama rata yg di'janji'kan?

    Terus terang saya katakan, siapa pun yg memerintah bukanlah persoalan bagi orang kebanyakan seperti saya tapi 'prestasi' wakil yg dipilih itu.

    Apa yg YB ulaskan ini lebih terarah kepada Semenanjung sahaja dan tidak mengkhusus kepada Sabah (atau Sarawak).

    Anwar? DAP? PKR? UMNO? BN? PAS?
    Itu semua parti luar.

    Selaku pengundi muda dari KB, saya sedar akan kuasa undi saya. Jika prestasi kurang memberansangkan, apakah saya patut memilih wakil itu?

    Berita baik; Masih ada masa untuk menunjukkan prestasi..

    ReplyDelete
  2. Salam ziarah YB Datuk..

    Tahniah kerana berkongsi pemikiran dgn rakyat di KB..

    Polisi atau dasar memainkan peranan penting, kerana gambaran itu mencerminkan matlamat sesebuah parti politik.

    Apakah sebuah parti yang hanya membenarkan perjuangan sesuatu bangsa itu boleh dilabelkan sebagai mempunyai fahaman Centrist? Apakah kesederhanaan itu tidak melibatkan pembukaan keahlian kepada seluruh rakyat di negara ini?

    Apakah sebuah parti yang membuka keahlian kepada sesiapa juga seperti PBS, PKR itu tidak tergolong sebagai parti centrist?

    ReplyDelete
  3. Kelapa Mawar,

    Uniknya UMNO ini ialah walaupun ditubuhkan atas kesedaran dan kebangkitan semangat nasionalis Melayu pra-merdeka, UMNO sentiasa bersifat terbuka dan berkompromi.

    Sejarah telah menunjukkan bahawa UMNO adalah sebuah parti terkuat negara dan berkemampuan, jika ia mahu menindas, untuk menggunakan suara majoritinya untuk "membelakangkan" kaum lain. Tetapi UMNO tidak mengambil pendekatan "Might is Right". UMNO ambil jalan kesederhanaan untuk mentadbir negara iaitu melalui kongsi kuasa.

    Untuk menjadi parti Centrist, UMNO tidak perlu meninggalkan perjuangannya untuk orang Melayu/bumiputera. Perjuangan untuk melayu/bumiputera adalah WAJIB kerana itulah perjuangan yang melahirkan UMNO dahulu. Tinggalkan perjuangan itu, maka terkuburlah UMNO!

    Atas kebijaksanaan pemimpin UMNO, UMNO mencari jalan untuk menjadi centrist tanpa menyebabkan orang melayu/bumiputera marah. Hasilnya, lahirlah Perikatan dan Barisan Nasional. BN adalah satu idea dari Perdana Menteri UMNO, Tun Abdul Razak Hussein. Melalui BN, UMNO menyerlahkan bibit bibit kefahaman centristnya.

    Walaupun UMNO "kuat" dan "besar" dan berasaskan satu bangsa, tetapi demi kesejahteraan negara, ia sanggup untuk mencairkan perjuangan itu dengan meletakkan kepentingan BN melebehi kepentingan UMNO. Itulah yang saya katakan bahawa UMNO itu centrist, pragmatik dan praktikal. Apa yang UMNO mahu ialah, reaksi timbalbalas dari rakan-rakannya yang lebih memahami. UMNO mahu rakan-rakkannya tahu "dan "menghormati" pengorbanan UMNO itu.

    Berkenaan PKR, PAS, PBS dan lain, saya rasakan mereka juga centrist dengan kadar masing-masing. Cuma tema hujah saya ialah UMNO kerana kita boleh membuat perbandingan disebabkan UMNO sudah menjadi tunjang kerajaan. PKR dan PAS masih menunggu mentadbir negara. Jadi saya reservekan komen saya apabila mereka "berjaya" membentuk kerajaan nanti!

    ReplyDelete
  4. guong,

    1. UMNO tidak akan dapat bertahan lama jika dasar2nya tidak centrist.. bukan sekadar bunga!

    2. istilah "ketuanan melayu" sebenarnya satu istilah yang disalah ertikan. Ketuanan Melayu bermakna institusi Raja Melayu. Raja anda adalah raja melayu. Kalau "ketuanan Melayu" bermakna bertuankan Melayu, maka tidak ujud Ketua Menteri bukan Melayu, tidak ujud Menteri bukan melayu etc etc.. Saya elakkan bercakap "ketuanan melayu" kerana saya lebih minat dengan "kepimpinan melayu".. it is more accurate!

    3. Saya setuju bahawa di peringkat persekutuan, Sabah san Sarawak tidak mendapat perhatian sewajarnya dari segi perlantikan kabinet. Maka itulah saya selalu katakan ada sesuatu yang baik lahir dari pilihanraya 2008.

    4. kenyataan anda terlalu awam. Bagi spesifiksedikit. Setahu saya bajet RMK 9, Sabah dan Sarawak mendapat peruntukan tertinggi sekali. Bajet pedidikan sahaja berjumlah RM2 billion diberi kepada Sabah.

    Anda berkata, "siapapun memerintah bukanlah persoalan bagi orang kebanyakan seperti saya tapi 'prestasi' wakil yang dipilih itu." Saya kurang setuju. Parti yang kita pangkah mesti ada dasar ekonomi yang nyata dan jelas. Kalau tidak kerajaan dan negara akan hancur. Sebagai wakil rakyat, saya cuba buat yang terbaik!

    Mungkin anda menulis berlatar belakangkan pengalaman anda sebelum ini. Itu saya faham. Tapi saya rasakan DS Najib kali ini serius untuk menangani permasalahan kita sejak sekian lama ini.

    Salam,
    DARD

    ReplyDelete
  5. 1. Perihal bajet 2009, saya masih belum nampak hasilnya walaupun berbilion ringgit. Ya, mungkin masih terlalu awal namun sudah (hampir) 2 tahun. Malah rancangan SDC seperti sudah 'tenggelam'.

    2. Perihal 'prestasi', ya, memang perlu mengetahui keadaan sesuatu parti politik itu tapi seperti yg saya katakan, bagi 'orang kebanyakan seperti saya'. Katakan begini, di suatu tempat, wakilnya adalah bukan parti memerintah namun wakil ini menunjukkan prestasi yg sangat baik. Tiba pilihanraya, datang wakil dari parti lawan. Parti lawan ini sangat gah diperkatakan namun calon yg bertanding tidak dikenali. Adakah pengundi harus mengundi calon baru ini hanya kerana ke'gah'an partinya dan mengabaikan wakil sebelumnya yg telah menunjukkan prestasi yg baik?

    Dan ya, saya menulis berdasarkan pengalaman saya sebelum ini yang terus terang saya katakan tidak begitu 'berbunga'. oleh itu, agak sukar untuk saya menerima bulat2 apa2 'janji perubahan' daripada pihak yang memerintah sekarang. Maaf.

    Dan terima kasih kerana YB memerhatikan tulisan saya.

    ReplyDelete
  6. Guong,

    Terima kasih atas pandangan anda. Saya menghormatinya.

    DARD

    ReplyDelete

Kongsi artikel ini: