Sunday, September 20, 2009

Pendedahan Kertas Kabinet mengenai PKFZ

Isu pendedahan kertas kabinet mengenai PKFZ (Port Klang Free Zone) dan isu keperluan memaklumkan tentang PKFZ kepada orang ramai adalah dua pekara yang BERBEZA.

Kertas kabinet adalah rahsia rasmi kerajaan. Ini bukan perkara aneh kerana semua kerajaan di dunia ini mengamalkan kerahsiaan perjalanan mesyuarat kabinet mereka. Kalau ada pihak yang mahu meneliti kertas kabinet, ada cara yang dibenarkan oleh undang-undang iaitu melalui proses "declassification", atau proses mengklasifikasi semula taraf kerahsiaan dokumen itu.

Tidak ada kerajaan dalam dunia ini yang dapat menjalankan tugas mereka dengan lancar jika setiap dokumen kabinet didedahkan seperti mesyuarat JKKK kampung. Banyak yang dibincangkan adalah perkara-perkara sensitif tentang ekonomi, keselamatan negara dan hubungan dengan negara negara luar. Bayangkan jika keputusan strategi kabinet dalam urusan rundingan tariff dengan negara lain didedahkan, tentunya negara akan kehilangan kelebihan dalam urusan rundingan itu.

Banyak pihak cuba untuk mengaitkan arahan PM untuk menyiasat siapa yang mendedahkan kertas kabinet itu seperti seolah-olah PM mahu menyembunyikan maklumat tentang PKFZ. Ini adalah satu pandangan yang salah dan bertujuan politik semata mata.

Kandungan 4 surat sokongan dari bekas Menteri Pengangkutan yang dikatakan menjamin penerbitan bon Kuala Dimensi Sdn Bhd sebenarnya adalah dokumen yang sudahpun diketahui ramai. Ianya terkandung dalam appendiks kepada Lapuran PKFZ oleh PriceWaterHouse Coopers. Malahan, kertas kabinet yang mengandungi keputusan kabinet untuk memberi kelulusan "retrospectively" kepada surat sokongan tersebut pun sudah diketahui ramai. Ianya telah menjadi perbahasan hangat dalam blog-blog dan dalam penyiasatan task force, jawatankuasa-jawatankuasa khas serta PAC (Public Accounts Committee Parlimen). Soal tindakan kabinet itu betul atau tidak masih didebat, dibahas dan disiasat.

Persoalannya, apakah kerajaan boleh membenarkan kertas kabinet disiarkan begitu sahaja tanpa kebenaran? Kalau kerajaan tidak mengambil tindakan kepada MalaysiaToday dan pihak yang bertanggungjawab terhadap pendedahan itu, ianya akan menjadi satu contoh (precedent) yang merbahaya!

Kesungguhan PM dan kerajaan untuk menyiasat skandal PKFZ ini perlu disokong. PM sendiri telah berkali-kali mengatakan bahawa beliau mahu penyiasatan menyeluruh dibuat dan keputusannya akan dimaklumkan kepada umum.

PAC, yang mana saya sendiri adalah ahlinya, telah mengambil peranan dalam penyiasatan ini dengan memanggil bekas-bekas menteri pengangkutan, peguam negara, bekas-bekas ketua setiausaha kementerian pengangkutan, pegawai-pegawai Lembaga Pelabuhan Kelang dan Kuala Dimensi sendiri. Tidak ada yang nak disembunyikan! Malahan perbincangan hangat antara ahli PAC (wakil BN dan Pakatan) berlangsung tanpa perlu kertas kabinet didedahkan secara umum.

Apa yang penting ialah semua pihak menunggu penyiasatan selesai oleh pihak-pihak yang telah diminta oleh kerajaan untuk menyiasat (MACC, Polis, PAC, Task Force, JK Khas Kabinet dll). Saya berpendapat kebenaran akan dapat dicari dalam isu skandal ini. Tetapi mengiyakan pendedahan kertas kabinet adalah satu perkara yang tidak boleh dibenarkan. Undang-undang ada untuk diikuti bukannya untuk kepentingan politik.

Salam
DARD

1 comment:

  1. Bro,

    I appreciate if you could keep your 'illegal' opinion to yourself.
    OSA document is meant only to safeguard any information pertaining to national security.
    As far as PKFZ is concerned, its a commercial deal that involves public money. Of course the RAKYAT needs to be informed. You and me know, OSA is often used to hide corrupt politican or government official interest in all the deals.


    Arcadia

    ReplyDelete

Kongsi artikel ini: