Wednesday, August 19, 2009

Kagum dengan agenda pendidikan masyarakat Cina


Salam,

Tadi saya menjadi tetemu khas dalam majlis makan malam anjuran Datuk Seri Panglima Sari Tan, Presiden Persatuan-Persatuan Cina Sabah. Ramai pengetua dan pengerusi sekolah-sekolah Cina turut hadir. Tujuan makan malam itu, kata Datuk Seri Panglima Sari Tan, ialah untuk menyatakan kesyukuran terhadap peruntukan yang telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan untuk SJKC Chung Hwa berjumlah RM2.4 juta. Peruntukan ini adalah untuk membina bangunan tambahan sekolah tersebut.

Sebenarnya, sudah lama pihak pentadbiran sekolah Chung Hwa berusaha untuk mendapatkan bantuan kewangan ini. Ianya berakhir apabila saya membawa isu ini kepada perhatian Dato Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Pelajaran pada waktu itu) semasa lawatan beliau di Kota Belud pada awal tahun ini. Dalam perjumpaan itu, saya memberitahu permasalahan sekolah tersebut dan betapa penting untuk kerajaan membantu lebih-lebih lagi sekolah itu mempunyai ramai murid murid dari kalangan bumiputera.

Alhamdulliah, kerajaan telah membuat keputusan untuk meluluskan permohonan itu dan ini bermakna murid murid sekolah itu akan dapat belajar dengan lebih selesa dan teratur.

Dalam majlis makan malam itu, saya banyak belajar dari perbincangan dengan pemimpin pemimpin sekolah Cina. Saya kagum dengan fokus dan komitmen bangsa Cina terhadap kepentingan pendidikan kepada masa depan anak bangsa mereka.

Setiap dari mereka bercakap tentang pendidikan dengan penuh bersemangat dan ternampak pancaran kesungguhan dari airmuka mereka. Mereka sanggup berhutang, malah menagi simpati sesiapa sahaja untuk membantu mereka membangunkan agenda pendidikan mereka.

Rupa-rupanya, tidak hairan jika ramai daripada ahli jawatankuasa lembaga pengelola sekolah Cina sanggup berhutang (biar pun secara persendirian) untuk membantu melangsaikan perbelanjaan pentadbiran sekolah mereka jika pendapatan sekolah melalui yuran sekolah dan sewa bangunan tidak dapat menampung kos pentadbiran. Malah para ahli perniagaan Cina yang berjaya sanggup memberi derma yang banyak hasil untung perniagaan mereka kepada agenda pendidikan anak bangsa mereka. Mereka amat fokus kepada agenda tersebut dan tidak mudah "terpesong" atau "distracted". Yang lebih mengagumkan saya ialah mereka tidak pernah membenarkan perbezaan ideologi politik untuk melemah dan memecah belahkan fokus tersebut. Begitulah kuat azam mereka dan ini patut dicontohi oleh semua pihak.

Saya ucapkan terima kasih atas jemputan tersebut terutamanya kepada cikgu-cikgu SJKC Chung Hwa Kota Belud yang telah memberikan saya sekeping kad "penghargaan" diatas usaha saya untuk membantu mendapatkan peruntukan tersebut. Saya perturunkan ungkapan dalam kad tersebut dibawah, bukan untuk bermegah-megah atau dipuji tetapi untuk berkongsi dengan pembaca bagaimana masyarkat Cina meletakkan agenda pendidikan ditahap yang tertinggi dalam kehidupan mereka. Ini dibuktikan dengan kata-kata yang tertulis dalam kad bagi menghargai segala bantuan dari sesiapa sahaja demi agenda pendidikan mereka...

"Kepada: YB Dato Haji Abdul Rahman Datuk Haji Dahlan, Ahli Parlimen P.169, Kota Belud. Salam 1Malaysia daripada semua warga SJKC Chung Hwa Kota Belud. Kami mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kerana telah membantu sehingga permohonan pembinaan bangunan baru SJKC Chung Hwa telah diluluskan. Kami bagaikan bermimpi tetapi hakikatnya ia adalah realiti.

Oleh itu, kami tidak akan melupakan jasa baik YB Dato sehingga ke akhir hayat. Kami doakan semoga YB Dato dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan berjaya menjadi pemimpin yang disanjung tinggi kerana YB Dato berjiwa rakyat.

Kami berjanji akan mendidik anak-anak murid dengan penuh dedikasi tanpa mengira bangsa dan agama, agar mereka menjadi generasi yang berguna kepada negara pada masa akan datang.

Pisang emas dibawa belayar,

Masak sebiji di atas peti,

Hutang emas boleh dibayar,

Hutang budi dibawa mati.

Pualu Pandan jauh ketengah,

Gunung Daik bercabang tiga,

Hancur badan dikandung tanah,

Budi yang baik dikenang juga.

Sekian, terima kasih. Ingatan tulus ikhlas daripada: Semua warga SJKC Chung Hwa, Kota Belud."
-End-

No comments:

Post a Comment

Kongsi artikel ini: