Friday, October 31, 2008

Drama dalam Pemilihan UMNO Tuaran (Bab 1)

Salam semua.

Seperti mana yang anda semua sudah tahu, saya gagal dalam percubaan pertama saya bertanding dalam jawatan Timbalan Ketua Bahagian UMNO Tuaran. Tahniah saya ucapkan kepada saudar Aliasgar yang berjaya mempertahankan jawatan beliau. Saya juga ucapkan terima kasih kepada semua perwakilan yang mengundi saya dan kepada yang tidak mengundi saya, saya menghormati keputusan anda.

Walaupun saya menerima keputusan pemilihan tersebut, saya tidak dapat lari dari membuat postmortem atau kajian kenapa saya kalah dalam pemilihan tersebut. Saya memohon maaf kepada pembaca jika "post mortem" atau "bedah siasat" saya ini panjang berjela jela dan bersifat peribadi. Yakinlah pembaca budiman sekalian bahawa saya tidak emosional atau tidak professional tetapi cuma ingin berkongsi pendapat dengan anda semua. Jadi, izinkan saya mulakan....

Dalam pemilihan baru-baru ini, saya pertaruhkan "track record" saya sejak mencebur diri dalam politik secara aktif. Mulai dari pembabitan saya menubuhkan Kelab UMNO California, Amerika Syarikat, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, 8 tahun menjadi Ketua Pemuda UMNO Tuaran, Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia dan Setiausaha Pemuda BN sehinggalah menjadi ahli Yang Berhormat Parlimen Kota Belud.

Untuk berlaku telus kepada para perwakilan, saya mencetak satu majallah khusus memperlihatkan semua program dan aktiviti saya termasuk penubuhan Koperasi Pemuda Wawasan Berhad yang kini mempunyai dana sebanyak RM 100,000.00. Saya juga menampilkan wawasan saya melalui program "Ngini Nyeak" dimana wawasan ini berhasrat untuk mengembelingkan kekuatan ekonomi bumiputera di Tuaran bagi menyaingi dominasi kekutan ekonomi bukan bumiputera di bidang perniagaan runcit di Tuaran.

Tujuan saya ini bukanlah untuk menunjuk-nunjuk tetapi saya tidak mahu menipu perwakilan seolah olah saya menawarkan diri tanpa alasan yang kukuh atau bukti gerak kerja yang jelas.

Walaupun track record adalah penting untuk perwakilan membuat pernilaian, nampaknya calon lawan saya tidak pernah menghuraikan dengan jelas apa sebenarnya yang beliau telah lakukan dalam bentuk wawasan, program atau aktiviti selama memegang jawatan Ketua Pemuda dan Timbalan Ketua Bahagian.

Saya akui bahawa saya jarang berada di Tuaran untuk menghadiri majlis majlis kenduri dan menziarah orang sakit atau meninggal. Tetapi itu bukanlah niat saya secara sengaja. Sebenarnya tanggungjawab saya sebagai Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia dan Setiausaha Pemuda BN Malaysia menuntut saya untuk berada di seluruh pelusuk tanahair untuk menyelesaikan masalah dan mengurus ahli pemuda UMNO seramai 700,000 orang dan ahli Pemuda komponen BN seramai 300,000 orang (1 juta keseluruhannya).

Saban minggu ada sahaja program dan lawatan yang perlu dihadiri diseluruh negara. Sekejap ke Perlis, sekejap ke Kelantan, sekejap ke Kuching dan sekejap ke Johor.

Sebenarnya saya telah berjanji kepada diri saya sendiri bahawa saya akan menjalankan tugas sebaik mana yang mungkin agar nama Sabah dan Tuaran tidak diperlekehkan oleh kerja buruk prestasinya oleh saya. Saya memahami bahawa kalau kerja saya tidak memuaskan hati kepimpinan pusat, besar kemungkinan maruah pemuda UMNO Sabah akan tercalar dan peluang anak watan negeri Sabah memegang jawatan lantikan seperti Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia dan Pemuda BN Malaysia akan tipis di masa akan datang. Begitulah tanggungan berat yang terpaksa saya pikul. Malangnya risiko yang terpaksa saya hadapi ialah saya terpaksa meninggalkan kampung halaman dan berada jauh dari orang kampung kerana urusan kerja yang begitu mencabar di ibukota Kuala Lumpur.

Selama ini tidak pernah terlintas di hati saya untuk membawa masalah kepada UMNO bahagian. Banyak kali saya katakan bahawa saya ingin membantu UMNO Bahagian dan bukannya untuk memporak-perandakannya. Didikan saya dalam UMNO dan pendedahan saya kepada budaya politik UMNO di peringkat atasan, mengajar saya untuk meletakkan kepentingan parti jauh lebih tinggi dari kepentingan diri saya sendiri. Tidak tergamak saya untuk mengharu birukan keharmonian dan perpaduan UMNO bahagian Tuaran hanya untuk kepentingan politik saya.

Namun, banyak mana sekali pun saya mengisytihar memberi sokongan kepada Umno bahagian, ternyata ada sesetangah pihak seolah olah "takut dengan bayang bayangnya sendiri".

Sebab takutkan bayang bayang itulah, maka pihak ini telah menggunakan segala kekuatan dan kelebihannya untuk mempengaruhi dan mengugut perwakilan terutamanya yang mempunyai jawatan seperti Imam, Ketua Kampung, JKKK dan Ketua Anak Negeri (KAN) dan wakil KAN, agar tidak mengundi saya. Kononnya saya tidak boleh dimenangkan kerana mengugat "kekuatan UMNO bahagian" dan membahayakan "perpaduan" UMNO bahagian. Ugutan dan hasutan ini tidak boleh dinafikan kerana ianya diketahui umum. Ada lebih kurang 100 perwakilan yang mempunyai jawatan seperti tersebut di atas.

Seperkara lagi yang saya terkilan ialah apabila saya menerima sms dari sebuah pihak, sehari sebelum persidangan Pemua UMNO Tuaran, yang meminta untuk diberi muka dan seterusnya meminta supaya salah seorang calon dalam pertandingan Ketua Pemuda Bahagian diberi kemenangan tanpa tanding.

Saya rasa tertipu kerana termakan umpan ini. Selepas menerima sms tersebut, saya telah meminta semua anak anak buah saya menarik diri dari bertanding dalam pemilihan Pemuda dengan harapan tindakan tersebut dilihat sebagai penghormatan Pemuda kepada pihak tersebut seperti mana yang terkandung dalam sms yang saya sebut tadi.

Malangnya apa yang berlaku adalah disebaliknya. Bukan sahaja pihak tersebut tidak menghargai pengorbanan anak anak buah saya, keghairahan pihak tersebut untuk mengalahkan saya semakin melonjak lonjak.

Terlalu banyak perkara yang pelik pelik yang dilakukan secara langsung dan tidak langsung untuk menidakkan saya. Saya tidak akan menghuraikannya secara khusus dan terperinci disini. Cukuplah dengan mengatakan bahawa apa yang dibuat itu adalah di luar batasan perwatakan "political gentleman" atau orang berpolitik secara budiman.

Sebenarnya saya mempelajari banyak pengalaman dan pengajaran dari kekalahan saya tersebut. Pertama, saya akur bahawa perwakilan mahukan pemimpin yang sentiasa bersama sama mereka di akar umbi walaupun saya amat berharap agar ketiadaan saya di akar umbi dapat difahami (saya akan ulas ini dalam artikel saya yang akan datang). Kedua, jangan mengharap sangat pertolongan orang lain dalam pertandingan politik biarpun dijanjikan dengan kata kata yang manis. Ketiga, dalam politik tidak ada ruang untuk yang "gentleman atau budiman" - maknanya hati mesti keras seperti besi dan tidak punya perasaan!

Alangkah baiknya jika saya menyedari sikap sikap tersebut sebelum pertandingan yang lalu. Sebenarnya ramai orang yang telah memberi amaran dan peringatan kepada saya tentang sikap sikap ini, tapi apa nak buat. Bak kata orang, nasi sudah menjadi bubur.

Walaupun begitu saya teringat nasihat YAB Ketua Menteri melalui panggilan talipon beliau kepada saya sejurus selepas mengetahui kekalahan saya. Katanya, "Man, kekalahan kamu bukan bererti penghujung jalan...". Amat bermakna nasihat itu. Terima kasih kepada YAB Ketua Menteri dan Dato Seri Hishammuddin Tun Hussein yang memberi semangat kepada saya. Nasihat mereka saya tidak akan saya lupakan.

Salam,

DARD

-ikuti artikel artikel seterusnya berkenaan isu ini pada masa yang akan datang.

Thursday, October 30, 2008

Maaf Sebulan Tak Menulis

Salam kepada semua,

Pertama sekali saya ingin memohon maaf kepada semua pengunjung blog ini kerana tidak mengemaskini blog ini sejak sebulan yang lalu.

Ada beberapa sebab kenapa saya tidak mengemaskini blog ini. Walaupun banyak isu isu yang berlaku sepanjng bulan ini yang perlu diberi perhatian, saya merasakan tulisan pertama saya perlu menyentuh tentang pemilihan UMNO Bhg Tuaran dan isu isu yang berkenaan dengan proses pemilihan UMNO diseluruh negara. Walaupun keputusan ini semacam hanya mementingkan isu tentang diri saya sendiri sahaja, yakinlah saya akan membicarakan isu isu lain selepas itu.

Oleh kerana artikel pertama saya itu berdasarkan pengamatan jujur saya terhadap perjalanan proses pemilihan UMNO di Tuaran, saya tidak dapat lari dari memberi ulasan kritikal terhadap beberapa individu. Mungkin ayat ayat yang saya akan guna agak keras dan kritikal, jadi saya lebih suka untuk bercakap soal politik yang penuh dengan cabaran dan dugaan ini setelah selesai suasana hari raya dan bulan mulia Syawal. Bulan ini akan habis esok dan maka itu saya akan menulis artikel pertama saya pada hari esok.


Terima kasih.

DARD

Kongsi artikel ini: