Wednesday, April 30, 2008

Hari Pertama Perbahasan Parlimen








Salam Sejahtera!

Hari ini adalah hari pertama perbahasan dalam Dewan Parlimen. Hari ini juga termaktub dalam sejarah kerana buat pertama kalinya, sesi soal jawab disiarkan secara langsung melalui TV1 selama 30 minit dari jam 10pagi hingga 1030pagi.

Kepada sesiapa yang menonton sesi parlimen hari ini, tolong bagi komen. Saya secara peribadi merasa kecewa kerana pembangkang menggunakan banyak helah untuk mengganggu perjalanan mesyuarat sehinggakan Speaker Dewan (Tan Sri Pandikar) terpaksa 'berhempas pulas' untuk mengawal keadaan. Semuanya bermula apabila YB Karpal Singh (Bukit Gelugor) sentiasa mengajukan 'Point-Of -Order' kononnya perjalanan mesyuarat tidak betul dan sebagainya.

Lepas itu, pertikaman lidah dengan kata-kata kurang sopan (unparliamentary words) bermula (sekali lagi) dengan YB Karpal Singh yang melemparkankata-kata bahawa YB Bung Moktar adalah 'Bigfoot'...

Sebagai nota kecil, MP anda (saya lah tu) sempat ikut berbahas dengan doa kali bercakap dalam parlimen.

Salam.

DARD

Ada Pegawai kerajaan di Kota Belud dalam Blog ini?

Salam Sejahtera!

Saya ingin mengetahui samada ada ada pegawai kerajaan yang selalu melayari blog saya ini. Kalau ada, sila email saya di mpkotabelud@yahoo.com. Saya ingin berinteraksi dengan anda.

Salam.

DARD

Sunday, April 27, 2008

Speaker TS Pandikar: Obey standing orders

Video YB Dato Hisham akur kekuatan Pemuda BN Sabah

Salam Sejahtera!..

Saya harap anda boleh menonton sidang akbar YB Dato Hishammuddin sejurus selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda BN Malaysia hari Jumaat 25hb April 2008. Saya amat terharu dengan pengakuan beliau tentang kekuatan BN Sabah dan sanggupp meminta Pemuda BN Sabah untuk menunjuk ajar BN di Semenanjung bagaimana unutk mengurus perhubungan antara kaum dan agama. Beliau juga mahu supaya kepimpinan BN Sabah terutamanya Pemuda BN Sabah untuk diketengahkan di peringkat pusat.

Kalau anda download, sabar sikit ok sebab masa download (kalau dial up service) agak lama sikit maklumlah video tu panjangnya 17 minit. tapi kalau Streamyx atau braodband, tak lah lamasangat. Nota: selaku Setiausaha Pergerakan Pemuda BN Malaysia, saya duduk di kiri YB Dato Hishammuddin dan YB Khairy Jamaluddin duduk sebelah kanan beliau selaku Naib Ketua Pemuda BN Malaysia. Saya harap anda akan tengok sampai habis video tu.

Untuk download, sila klik tajuk artikel ini...

Salam...
DARD

Friday, April 25, 2008

Interview with The Sun newspaper...

Salam...

I just want to share with all of you about my interview with the Sun Newspaper. Again, happy reading (just click at the title). Tkasih.

KSU kata OK!!!

Tadi semasa berada di bangunan CP Tower, Petaling Jaya, saya berjumpa dengan Dato' Dr Haji Zulkifli Bin Idris, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Asas Tani Malaysia. Saya tanya dia kenapa Pak Lah dilaporkan memberi peruntukan besar kepada Sarawak untuk pembangunan Jelapag Padi? Kenapa tidak Sabah dan Kota Belud khususnya?

Alhamdullah, beliau memberi pengakuan bahawa Kementeriannya tidak akan meminggirkan negeri Sabah. Malah beliau mengatakan kepada saya bahawa isu ini akan dibincang dengan panjang lebar bila beliau akan berkunjng ke Sabah tidak berapa lama lagi. Syukurlah kalau begitu...!

Wednesday, April 23, 2008

Kenapa Sarawak saja?

Salam Sejahtera!

Sejak beberapa hari yang lalu, saya terbaca berita mengatakan bahawa PM dan Ketua Menteri Sarawak telah bersetuju untuk membuka kawasan Jelapang Padi baru di Sarawak dimana kerajaan negeri Sarawak telah bersetuju menyediakan tanah yang luas dan kerajaan persekutuan akan membiayai pembangunan infrastrukturnya.

Saya berbohong kalau saya mengatakan tidak kecewa tentang pengumuman ini.

Saya merasa hairan kenapa pula kerajaan persekutuan tiba-tiba meletakkan Sarawak lebih dari Sabah dalam soal membangunkan kawasan jelapang padi di negera ini. iIni kerana pertama sekali, Sabah terutamanya daerah Kota Belud juga memerlukan infrastruktur yang dibiayai oleh kerajaan persekutuan. Keduanya, berbanding dengan Sarawak, Sabah mempunyai keluasan tanah sawah yang jauh lebih besar dari Sarawak. Tanahnya tidak perlu diterokai lagi kerana sudah menjadi tanah sawah sekarang ini. Di Sarawak, tanahnya lebih kepada peat land dan kerajaan persekutuan perlu membuka tanah sawah dari 'scratch' sedangkan Sabah telah membuka tanah sawah ini dari zaman USNO lagi. Ketiga, Sarawak tidak mempunyai teknologi atau kemudahan jentera yang banyak berbanding dengan Sabah. Kelima, kerja-kerja awal dan kajian telah dibuat untuk negeri Sabah sejaln bertahun-tahun yang lalu. Kenapa perlu membazir lagi dengan kajian baru di Sarawak?

Saya telah menghubungi Dato Mustapa Mohamad, Menteri Pertanian Malaysia berkenaan hal ini. Jawab Tok Pa, beliau akan berbincang dengan CM Sabah dan akan juga berbincang dengan saya semasa melawat KB dalam masa yang terdekat ini.

Kita berharap agar KB tidak dipinggirkan dalam hal pemberian bantuan membangunkan infrastruktur jelapang padi ini.

Sunday, April 20, 2008

Mesyuarat bersama BERNAS

Hari ini saya telah menghadiri satu taklimat oleh BERNAS (Padi Beras Nasional Berhad). Hadir sama YB Datuk Musbah, YB Datuk Japlin dan Pegawai Daerah Kota Belud.

Ini adalah satu langkah saya untuk mengenal pasti kedudukan sebenar industri padi di Kota Belud dan langkah-langkah yang perlu diambil untuk merealisasikan konsep Jelapang Padi Kota Belud.

Beberapa statistik menarik untuk tatapan anda:

Senario Dunia - beras dimakan oleh 3 billion penduduk dunia atau 3/4 penduduk dunia - 250 juta petani bergantung kepada penanaman padi sebagai sumber pendapatan - 95% dari pengeluaran padi dunia adalah daripada Asia- Pengeluar terbesar ialah Thailand dan Vietnam.

Senario KB - keluasan penanaman padi di Kota Belud ialah 8,502.72 hektar - 60% dari itu adalah kategori K1 iaitu mempunyai infrastruktur dan sistem pengairan yang baik dengan pengeluaran sebanyak 5 hingga 10 metrik ton satu hektar.

Saya akan postkan komen-komen berkenaan meeting itu nanti.


Oh ya... minggu depan saya juga akan atur taklimat dari MARDEC berkenaan halatuju pekebun-pekebun kecil getah.

Wednesday, April 16, 2008

Interview with the Star newspaper...

Salam Sejahtera!

For those of you who would like to read my interview with The Star newspaper which was published last sunday 13th April 2008, you can click the title above. Happy reading!

Harga getah rendah sangatlah... !!

Salam Sejahtera!

Tadi saya berbincang dengan Dato' Wira Syed Abdul Jabbar Bin Syed Hassan, Pengerusi Bernas (syarikat pengimpot beras negara) dan Pengerusi Mardec Berhad (syarikat ini terlibat dalam industri getah). Saya dah kenal dia ni lama. Orangnya banyak pengalaman dan saya anggap dia sebagai bapa angkat saya.

Kami berbincang panjang lebar tentang industri getah di Sabah. Beliau setuju dengan saya bahawa harga getah di Sabah adalah rendah dan pekebun-pekebun kecil getah di Sabah termasuk di Kota Belud tidak mendapat harga yang baik berbanding dengan Sarawak dan Semenanjung.

Antara lain sebabnya ialah LIGS (Lembaga Industri Getah Sabah) tidak mencari jalan untuk memberi perkhidmatan kepada pekebun-pekebun kecil tersebut.

Kami bincang banyak perkara. Banyak yang boleh dibuat, diperbaiki dan dicadangkan tetapi tetapi biarlah ianya menjadi satu realiti dulu sebelum saya menulisnya dalam blog ini.

Salam.

Tuesday, April 15, 2008

Nenek tua di Timbang Dayang

Salam Sejahtera!

Pada hari sabtu yang lepas (12hb April 2008), saya mempunyai jadual yang ketat.

Pada awal pagi sabtu, saya menghadiri Majlis Kesyukuran kemenangan BN di Tuaran. Saya hadir sebagai Ketua Pemuda UMNO Tuaran.

Kemudian saya mengikuti program Kem Remaja SAPP Kota Belud yang dirasmikan oleh YBhg Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee, Presiden SAPP. Selepas program tersebut saya melawat ladang getah di Kg Taginambur dan seterusnya berdailog dengan pengusaha program Home Stay di sana.

Pada sebelah lewat petang saya melawat sebuah keluarga miskin di Kg Timbang Dayang. Keluarga itu amat miskin sehingga anak mereka tidak kesekolah akibat kesempitan hidup. Saya merasa amat hiba melihat nenek mereka yang lumpuh dan tidak boleh bergerak sejak 7 tahun yang lalu. Nenek yang tua ini memeberitahu saya bahawa dia amat meminati 'Runsai' dari dulu lagi. Lalu saya membelikannya sebuah radio supaya beliau boleh mendengar 'Runsai' yang didendangkan melalui program bahasa Bajau di radio. Walaupun pemberian ini kecil, tapi nenek tua itu amat gembira seperti anak kecil yang diberi gula-gula.

Kadang-kadang kita terlupa bahawa ramai lagi insan yang jauh lebih daif dari kita dan pemberian sekecil mana sekali pun amat bermakna bagi mereka. Marilah kita sentiasa mengingati mereka. Jangan Ahli Parlimen saja tetapi semua lapisan masyarakat yang mampu.

Nak Tengok Siapa Dapat Projek?

Salam Sejahtera !

Saya telah membuat keputusan untuk memberi akses kepada orang awam terhadap rekod projek-projek yang dibiayai oleh dana Ahli Parlimen mulai bulan depan. Ini untuk memberi maklumat kepada orang ramai syarikat mana yang dapat, projek mana yang dibuat, kos membuatnya dan status terkini projek berkenaan.

Rekod tersebut bolehlah di lihat di Pusat Khidmat Ahli Parlimen P169.

Saya pasti masyarakat umum menghargai ketelusan dan keterbukaan ini.


Salam.

4 orang bergaji RM787.50

Salam Sejahtera!

Saya tertarik dengan satu cadangan oleh sekumpulan remaja yang bertemu dengan saya baru baru ini. Mereka meminta pertolongan daripada saya untuk membiayai projek kecil kecilan membuat blok bata. Blok bata ini dibuat untuk kegunaan membuat rumah.

Kata mereka, setiap blok berharga RM1.30 dan keuntungan RM0.70. Setiap hari mereka boleh membuat 150 buah bata dengan keuntungan RM105 sehari. Kalau sebulan keuntungan mereka ialah RM3150! Kalau kumpulan itu ada 4 orang maka setiap orang akan mendapat RM787.50 sebulan. Jumlah yang kecil tapi bermakna kepada remaja-remaja yang menganggur. Dan yang menariknya ialah modal yang diminta hanyalah RM5,000.

Saya harap mereka akan berjaya kerana ini akan menjadi projek perintis. Kalau sukses, kumpulan-kumpulan yang lain juga akan dibantu. Kalau gagal, maka yang merana adalah kumpulan yang akan datang yang memohon dana untuk projek seperti ini.

Kita tunggu dan lihat.

Monday, April 14, 2008

Artikel Daily Express

Saya terlihat artikel di Daily Express yang membuat liputan lawatan saya ke kebun getah di Kg Taginambur, KB. Klik pada link ini http://www.dailyexpress.com.my/news.cfm?NewsID=56904

Friday, April 11, 2008

Permohonan Projek melalui peruntukan Parlimen

Salam sejahtera!

Saya menerima banyak sms dan panggilan dari orang ramai berkenaan permohonan projek mereka melalui peruntukan ahli parlimen.

Saya ingin memaklumkan di sini bahwa semua permohonan akan dinilai berdasarkan kepentingan masyarakat setempat. Saya akan lebih mengutamakan projek-projek yang dapat memberi manafaat kepada masyarakat dibandingkan projek-projek yang lebih kepada kepentingan peribadi pemohon.

Saya rasa ini adil kerana sebagai contoh, projek membaiki paip pecah di sesuatu kampung itu akan memberi kesan positif kepada semua penduduk kampung dibandingkan permohonan zink dan papan untuk membesarkan rumah pemohon.

Maka itu saya berharap semua pemohon memahami pendekatan ini.

Terima kasih.

Calon Pemuda Pusat perlu berdebat!

Salam sejahtera para pembaca yang budiman.

Berikutan kejutan dalam pilihanraya umum yang lalu, saya telah mengadakan perjumpaan dengan 60 orang profesional muda Melayu bagi mengenalpasti sebab-sebab mengapa golongan muda hari ini yang kebanyakannya dikatakan tidak bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Mereka ini terdiri dari pelbagai profesion antaranya peguam, doktor, akauntan, jurutera dan pensyarah serta wakil-wakil daripada NGO dan Kelab-kelab UMNO luar negara.

Saya telah diarahkan oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua (PPUM) Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia untuk mengenal pasti sebab-sebab mengapa golongan muda hari ini yang kebanyakannya dikatakan tidak lagi bersama UMNO dan BN.

Idea untuk PPUM turun ke bawah berjumpa dengan akar umbi untuk mendengar suara generasi muda adalah atas keinsafan kami untuk bermuhasabah diri dan perjumpaan dengan profesional muda Melayu ini merupakan salah satu inisiatif untuk kami mendengar suara akar umbi.

Berikut rumusan yang dibuat terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan oleh mereka.

1) Menghayati asas perjuangan UMNO - Supaya UMNO menghayati asas perjuangan parti dan benar-benar mendengar suara rakyat di dalam memperjuangkan kepentingan orang Melayu.

2) Supaya UMNO tidak elit dan terus relevan di kalangan rakyat - Golongan profesional muda merasakan bahawa ada di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO yang telah agak kurang bersama dengan akar umbi dan tidak lagi memperjuangkan nasib mereka.

3) Agar birokrasi di dalam UMNO dapat dikurangkan kerana golongan muda sering mendapati bahawa amat payah untuk mereka menjadi ahli UMNO kerana mereka sering dilihat sebagai suatu ancaman sedangkan niat mereka hanyalah untuk bersama-sama dengan parti bagi menyuarakan pendapat mereka.

4) Kredibiliti media arus perdana - Golongan muda seperti sudah tidak dapat menerima corak pemberitaan media perdana yang dilihat seperti propaganda UMNO dan kerajaan semata-mata. Mereka lebih mempercayai saluran alternatif seperti Internet.

Sehubungan dengan itu, golongan muda melihat laman web dan blog sebagai media alternatif untuk mendapatkan maklumat. Oleh yang demikian, UMNO perlu merombak strategi untuk mempunyai proses komunikasi yang lebih berkesan.

5) Program Pemuda perlu dikaji semula – program dan aktiviti Pemuda termasuk Putera UMNO selama ini tidak sampai ke golongan sasaran. Selain daripada memperjuangkan isu-isu politik, Pemuda juga diminta untuk memperjuangkan isu-isu yang lain seperti isu-isu kemasyarakatan (community service), kepenggunaan (’consumerism’), alam sekitar dan isu-isu kemanusiaan (’humanitarian effort’).

6) Kepimpinan parti dan negara- Sesi tersebut juga membincangkan tentang kepimpinan parti dan negara. Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengambil kira pendapat-pendapat daripada golongan profesional muda Melayu tersebut dan akan menyampaikannya kepada pucuk pimpinan.

Sebagai reaksi kepada perbincang tersebut, PPUM akan mengambil beberapa langkah seperti berikut:-

1. Memastikan supaya pemimpin Pemuda sentiasa turun ke bawah untuk mendengar suara akar umbi dan memperjuangkan nasib rakyat.

Untuk tujuan tersebut, Pemuda akan mengambil pendekatan supaya sekurang-kurangnya 50% program-program Pemuda di peringkat pusat dan negeri akan diadakan di kawasan luar bandar bersama-sama dengan masyarakat dan bukan di kalangan ahli-ahli Pemuda semata-mata.

2. Menentukan supaya program-program Pemuda adalah lebih menyeluruh dan sampai ke kumpulan sasaran golongan muda supaya Pemuda dan UMNO terus relevan.

3. Membantu untuk mengurangkan birokrasi untuk menjadi ahli UMNO di mana permohonan-permohonan yang tidak dapat diproses dalam masa 3 bulan di peringkat Cawangan atau Bahagian boleh dihantar terus ke pejabat Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia untuk diproses secara pantas (’fasttrack’).

4. Mengambil pendekatan untuk mengadakan proses komunikasi yang lebih berkesan dengan golongan muda. Sehubungan dengan itu, Pemuda akan mengambil inisiatif-inisiatif seperti berikut :-

i) mewajibkan calon-calon Ketua Pemuda UMNO Malaysia, calon-calon Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan calon-calon EXCO pusat yang menawarkan diri untuk bertanding dalam pemilihan Pemuda Disember ini untuk membina laman blog masing-masing untuk menerangkan visi, misi dan aspirasi serta hala tuju mereka sekiranya terpilih untuk memimpin Pemuda.

ii) menganjurkan perdebatan maya sempena proses pemilihan yang akan datang di mana calon-calon yang menawarkan diri di peringkat pusat akan berdebat berkenaan isu-isu yang berkaitan dengan dasar dan hala tuju Pemuda di dalam internet.

iii) memastikan proses komunikasi yang berkesan dan berterusan dengan golongan muda melalui platform- platform teknologi terkini seperti internet dan sms/mms.

Saya berharap langkah-langkah awal tersebut di atas akan dapat mengembalikan sokongan golongan muda untuk kembali bersama dengan UMNO dan BN.

Saya sekali lagi ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada golongan profesional muda melayu tersebut yang sudi meluangkan masa untuk bersama-sama dengan kami untuk memberikan input dan maklumbalas mereka.

Ternyata penyertaan dan penglibatan mereka yang penuh bersemangat pada malam itu jelas menunjukkan bahawa golongan profesional muda Melayu sebenarnya masih sayangkan perjuangan UMNO dan BN.

Sunday, April 06, 2008

Hari Pertama di Parlimen





Hari ini 3hb April 2008 adalah hari taklimat Parlimen kepada semua ahli-ahli Parlimen. Walaupun program bermula jam 830 pagi, tetapi saya sudah berada di perkarangan Parlimen seawal jam 8 pagi lagi kerana takut terkandas dalam kesesakan lalulintas yang sering berlaku di Kuala Lumpur, lebih lebih lagi program tersebut bermula pada awal pagi hari berkerja. Saya tak mahulah hari pertama saya di Parlimen saya datang lewat.

Setibanya saya di perkarangan Parlimen, saya tidak terus masuk ke bangunan Parlimen kerana orang masih tidak ramai. sementara menunggu, saya melihat YB Sallahuddin Ayub, Ketua Pemuda PAS masuk dengan kereta Honda CRV yang dipandunya sendiri sekitar jam 810 pagi. Orangnya mempunyai perwatakan lembut tetapi terkenal dengan kekerasan pendiriannya.

Tepat jam 830pagi, saya pun mengorak langkah masuk kedalam. Saya sebelum ini sudah beberapa kali melawat Parlimen sebagai pegawai kepada Dato Seri Hishammuddin setiap kali beliau menjawab soalan di Parlimen. Tetapi kali ini saya rasa lain semacam sahaja. Saya merasakan setiap langkah saya menghampiri bangunan Parlimen pada pagi yang hening itu begitu berat sekali. Terasa sekali betapa kali ini saya ke Parlimen dengan satu tanggungjawab memikul amanah rakyat Kota Belud yang jauh nun beribu ribu batu. Suara orang Kg Kulambai, orang Kg Taun Gusi, orang Kg Kiau seperti membisikkan sesuatu ketelinga saya bahawa mereka mahukan ahli Parlimen mereka masuk melangkah ke dalam dewan dengan penuh rasa keinsafan dan tanggungjawab.

Lantas saya membetulkan cara saya bergerak supaya menegak dan menghayun tangan seolah olah saya menuju ke medan perang sebagai seorang Jeneral yang perlu menunjukkan 'kejaguhannya' agar tidak diperlekehkan oleh ahli-ahli Parlimen yang sudah beberapa penggal menjadi wakil rakyat.

Ada juga kawan-kawan yang menasihati saya. Kata mereka, hari pertama ke Parlimen sama seperti hari pertama masuk sekolah. Perlu awal-awal lagi tunjuk bahawa kita tidak takut atau gentar agar tidak menjadi mangsa 'buli' oleh senior-senior yang lain terutamanya oleh wakil rakyat pembangkang. Tetapi percayalah bagaimana kuatnya sekalipun saya cuba untuk 'berlagak' jaguh, saya terasa amat kerdil sekali bila berada dalam bangunan Parlimen pagi itu. Apa tidaknya, saya berada dalam bangunan yang menyaksikan banyak sejarah. Di situlah Almarhum Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein Onn, Lee Kuan Yew, Syed Jaafar Albar, Tun Fuad Stephen, Tun Sambanthan berentap dan berbahas tentang isu-isu panas yang menentukan 'hidup mati' negara Malaysia dari zaman kemerdekaan lagi. Teringat episod konfrontasi Malaysia - Indonesia, pemecatan Singapura dan macam macam lagi. Kalaulah dinding-dinding dan tiang-tiang dalam bangunan itu boleh bercakap, tentu mereka akan katakan, ''Rahman, kamu janganlah nak 'act' sebab Parlimen ini sudah pernah menyaksikan ketangkasan berpidato pemimpin-pemimpin dulu. Kalau kamu nak 'act', alamat kamu akan ditelan hidup-hidup!! ''.

Selepas masuk kedalam dewan, semua ahli Parlimen mendaftar diri dan membayar yuran-yuran keahlian untuk persatuan yang di perlu. Saya awal lagi mendaftar.

Sewaktu mendaftar, saya terserempak dengan YB Datuk Seri Panglima Wilfred Bumburing, ahli parlimen Tuaran dan Timbalan Presiden PBS. Saya tergelak juga apabila kami semua seperti murid darjah satu lagaknya. Mana nak ambil gambar ni?, Alamak, duit tak cukup untuk bayar yuranlah!, Beg saya ni kecil sangatlah!... Begitulah antara ungkapan anak-anak murid tahun satu parlimen ini.

Kemudian saya ternampak YB Salleh Kalbi, rakan saya Ketua Pemuda Silam yang sekarang menjadi ahli Parlimen Silam dan YB Datuk Sapawi dan YB Datuk Seri Panglima Lajim Hj Ukin. Rasa macam di Sabah pulak seketika.

Dalam keceriaan kami dari Sabah bercerita, saya disapa oleh YB Datuk Shamsul Anuar Nasarah, ahli Parlimen Lenggong yang juga Presiden Majlis Belia Malaysia dan EXCO Pemuda UMNO Malaysia. Selepas itu perbualan makin rancak diselang seli dengan ketawa dan jenaka. Masing-masing ucap tahniah sesama sendiri.

Ketawa dan keseronokan bercerita itu terhenti apabila ahli-ahli wakil rakyat pembangkang mula masuk untuk mendaftar. Antaranya ialah YB Lim Kit Siang, anaknya YAB Lim Guan Eng, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim, YB Azmin Ali, YB Datuk Ibrahim Ali, YB Sallahuddin Ayub dan YB Saifuddin Nasution. Entah kenapa mata saya tertumpu kepada mereka. Gaya mereka masuk dan cara mereka bercakap penuh keyakinan seolah-olah mereka sudah menguasai Parlimen. Hakikatnya BN masih menguasai Parlimen dengan 140 kerusi berbanding 82 kerusi mereka.

Dalam saya memerhati tindak tanduk ahli-ahli Parlimen pembangkang, saya ternampak YB Khairy Jamaluddin berbaris bersama YB Tian Chua dari PKR. Mereka ini sering berhentaman dalam media tetapi melihat mereka berceloteh, saya tidak dapat menahan rasa kemegahan saya bahawa demokrasi sememangnya masih hidup dalam negara ini.

Semasa waktu duduk mendengar taklimat, saya sedari YB Khairy duduk bersebelahan dengan YB Nurul Izza anak perempuan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengalahkan Datuk Seri Sharizat Jalil di parlimen Lembah Pantai. Apakah perdebatan dalam Parlimen oleh kedua-dua anak muda ini nanti akan ditunggu-tunggu oleh pemerhati politik tanahair?

Melihat keadaan dan karektor ahli-ahli Parlimen hari ini, betullah apa yang disiarkan oleh berita RTM jam 8 malam tadi bahawa Parlimen Ke 12 ini akan menjanjikan satu kelainan dibandingkan dengan yang dulu-dulu.

Sampai disini dulu....

Kongsi artikel ini: