Thursday, June 19, 2008

SAPP bawa usul TIDAK PERCAYA terhadap PM...

Salam sejahtera!

Politik Sabah bergolak semula. Walaupun mencapai prestasi yang membanggakan pada PRU12 yang lalu di mana BN Sabah menang 59 dari 60 kerusi Dewan Undangan Negeri dan 24 dari 25 kerusi Parlimen, SAPP telah membuat keputusan drastik untuk membawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Malaysia.

Kalau Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee (YTL) berpendapat bahawa dengan mengambil tindakan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri ini, beliau boleh menyebabkan Pedana Menteri letak jawatan atau UMNO menjadi lemah, saya rasa YTL akan terkejut. Apa yang akan terjadi ialah orang Melayu akan merasa kuasa politik mereka semakin ditekan dan dicabar melalui tindakan seperti apa yang dilakukan oleh YTL dan Anwar Ibrahim dimana mereka mahu menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang (lompat parti atau undi tidak percaya). Orang Melayu akan bersatu semula di belakang UMNO.

Ini sudah termaktub dalam sejarah politik orang Melayu. Setiap kali orang Melayu merasa tertekan, mereka akan bersatu semula dan menentang 'musuh' mereka. Jadi pendapat saya, pemimpin UMNO patut berterima kasih kepada YTL kerana dengan satu tindakan nakal seperti ini, YTL telah menyatukan orang Melayu dan seterusnya memperkasa UMNO semula, satu perkara yang amat sukar dilakukan oleh pemimpin pemimpin UMNO sendiri sekarang ini.

Berbalik kita kepada perkara pokok. Belum pernah dalam sejarah negara kita, perkara ini berlaku. Parti-parti yang jauh lebih senior (yang sudah ‘established’) daripada SAPP seperti PAS dan DAP, yang ‘bersumpah’ bahawa UMNO dan BN adalah musuh politik mereka yang perlu 'dihapuskan dari muka bumi' ini, pun tidak pernah mengusulkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri BN sejak merdeka sehingglah sekarang.

Mereka tahu bahawa kesan dari usul seperti itu amatlah serius kepada kestabilan negara kita. Ianya akan mengundang pergolakan politik yang tidak sihat malah merbahaya. Perlu diingat bahawa Parlimen Malaysia bukannya parlimen tergantung (hung parliament) dimana kedudukan BN umpama telur di hujung tanduk. BN mempunyai mandat yang cukup dari rakyat untuk memerintah kerajaan ini.

Jadi persoalannya kenapa PAS dan DAP tidak mengusulkan undi tidak percaya ini?. Saya pasti kalau ikutkan hati mereka dan kalau dibandingkan dengan kekuatan SAPP yang hanya ada 2 ahli di Parlimen, PAS dan DAP sepatutnya telah lama membawa usul tidak percaya ini. Jawapannya ialah, PAS dan DAP adalah parti ‘gentlemen’. Mereka faham bahawa sebarang usaha mengulingkan kerajaan melalui cara undi tidak percaya akan hanya mengundang kekacauan, demonstrasi dan mungkin juga kehilangan nyawa apabila penyokong kerajaan marah dan keluar di jalan jalan raya kerana mandat yang diberikan oleh mereka kepada BN tidak dihormati.

Malangnya YTL tidak dapat melihat perkara ini. YTL telah merendahkan martabat Malaysia sama dengan negara-negara mundur dan yang berpecah belah di dunia. Tanpa disedari, YTL telah ‘memperlekeh’ semangat demokrasi di Malaysia. Kalau YTL seoarng yang gentleman, YTL patut tunggu sehingga pilihanraya ke 13 untuk merampas kerajaan dari BN.

Tentang perkara perkara yang dinyatakan oleh YTL menjadi penyebab kepada tindakan beliau (antaranya PTI dan pembangunan Sabah), saya setuju perkara tersebut adalah penting dan memerlukan penyelesaian.

Tetapi untuk menyalahkan Perdana Menteri sekarang mengenai PTI adalah kurang tepat. Isu PTI sudah lama sejak zaman allahyarham Tun Mustapha lagi termasuk zaman Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Perdana Menteri dan YTL menjadi Ketua Menteri. Rekod Anwar dalam isu PTI semasa berkuasa amat buruk sekali. Sewaktu itu, beliau mempunyai kuasa yang cukup besar untuk menyelesaikannya termasuk meminta rakan rakannya di negara negara barat untuk menerima pendatang ini di negeri mereka. Apa yang terjadi ialah, setiap kali Anwar ke Sabah, dia lebih suka bincang bagaimana nak menawan hati perwakilan UMNO dari Sabah untuk beliau memenangi jawatan Timbalan Presiden UMNO / Timbalan Perdana Menteri dari membawa pemimpin-pemimpin Sabah memikirkan soal PTI ini. Malah setelah menang dan cuba mengintai-intai sokongan Sabah untuk menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri, Anwar tidak pernah serius membincangkan isu PTI.


Begitu juga YTL, semasa beliau menjadi Ketua Menteri, beliau boleh melakukan sesuatu tetapi masalah itu masih berlarutan sehingga hari ini. Apakah patut undi tidak percaya dilakukan terhadap Anwar dan YTL kerana gagal menangani isu ini semasa mereka berkuasa. Malah di kawasan YTL semasa menjadi wakil rakyat, DUN Likas dan Parlimen Gaya (termasuk Pulau Gaya) dikatakan mempunyai PTI yang ramai.

Sebelum anda membuat kesimpulan yang saya seperti tidak menyokong tindakan untuk membenteras PTI di Sabah, saya ingin nyatakan di sini bahawa sudah tiba masanya kerajaan mengambil langkah drastik untuk menangani isu ini. Kalau tenaga pihak penguasa (Polis, Task force, Rela dan lain-lain) tidak mencukupi, saya cadangkan agar pasukan askar kita dikerahkan untuk membantu. Isu Pti ini perlu diselesaikan dengan melihat ke depan dan bukannya dengan mencari kesalahan yang lalu. Kalau mencari kesalahan yang lampau dalam hal PTI ini menjadi keutamaan, maka saya risau isu ini tidak akan dapat diselesaikan kerana agenda politik akan menebal dalam proses mencari penyelesaiannya.

Isu pembangunan negeri Sabah yang ketinggalan juga dijadikan alasan untuk YTL mengambil tindakan undi tidak percaya ini. Saya setuju yang Sabah masih jauh ketinggalan dalam pembangunan. Tetapi kalau kita bandingkan Perdana Menteri sekarang dengan Perdana-Perdana Menteri yang lalu, saya boleh katakan bahawa keikhlasan dan rekod Perdana Menteri sekarang ini untuk membangunkan negeri Sabah jauh lebih baik dari sesiapa pun. Dalam RMK9, Pak Lah telah memberi antara peruntukan tertinggi untuk Sabah dan Sarawak. Sabah mendapat RM20 billion.

Peruntukan pendidikan di negeri Sabah saja adalah yang terbesar dalam RMK9 (lebih RM3 billion). Ini tidak termasuk Koridor Pembangunan Sabah yang dijangka mendapat pelaburan dan peruntukan lebih RM105 billion. Kalau dulu, kerajaan pusat hanya menumpukan kepada pembangunan di kawasan lembah kelang dan Pulau Pinang dan Johor Bahru, Pak Lah mengubah semua itu dengan memberi penumpuan kepada luar bandar dan wilayah yang masih mundur. Maka ujudlah koridir pantai timur, koridor utara, koridor Iskandar dan koridor Sabah dan Sarawak. Ini adalah usaha Pak Lah untuk mengimbangi pertumbuhan ekonomi dan pembangunan yang tidak samarata di antara wilayah sebelum ini.

Selain itu, Pak Lah juga umum projek bekalan letrik solar-hybrid ke sekolah-sekolah luar bandar di Sabah bernilai lebih dari RM1 billion dan baru-baru ini, Pak Lah beri lagi tambahan RM1 billion untuk projek luar bandar di samping menaikkan peruntukan tambahan Ahli Parlimen dari Sabah sebanyak RM1 juta setiap kawasan Parlimen di Sabah. Banyak lagi yang perlu dilakukan oleh Pak Lah termasuk apa yang diutarakan oleh ahli ahli parlimen dari Sabah dalam sidang parlimen tempoh hari.

YTL pelu memahami bahawa masalah pembangunan di negeri Sabah ini mempunyai dimensi yang berbagai bagai dan perlu dilihat secara holistik. Soal peruntukan hanyalah salah satu dari masalahnya. Banyak lagi masalah yang lain termasuk soal sistem penyampaian (delivery system)kerajaan negeri, termasuk semasa YTL menjadi Ketua Menteri, yang tidak effisien yang menyebabkan ketirisan dan memberi ruang kepada salah guna kuasa serta rasuah. Begitu juga dengan persepsi rakyat yang sentiasa sinis dengan usaha pembangunan kerajaan. Malah sewaktu YTL menjadi Ketua Menteri, ramai yang menimbulkan isu-isu seperti Saham Amanah Sabah dan urus tadbir perniagaan agensi kerajaan. Semua ini adalah masalah pusat dan negeri yang perlu diperbaiki.

Soal tentang jawatan kabinet, saya rasakan SAPP perlu rasional. Janganlah kerana LDP dan PBRS mendapat jawatan Timbalan Menteri pusat, SAPP kecewa. Apakah betul BN tidak bagi jawatan kepada SAPP? Datuk Raymond Tan, Timbalan Presiden SAPP, diangkat menjadi Timbalan Ketua Menteri Sabah dengan potfolio penting iaitu Menteri Infrastruktur (JKR). Apakah itu bukan penghormatan? Yb Melanie Chia dilantik sebagai pembantu menteri dan Datuk Tham Nyiap Shin dilantik sebagai penasihat sains bertaraf menteri kepada Ketua Menteri. Apakah itu bukan penghormatan?

Saya pasti kalau diberi peluang untuk memilih, Datuk VK Liew atau Tan Sri Kurup akan memilih menjadi Timbalan Ketua Menteri dan Menteri JKR dari menjadi Timbalan Menteri pusat kerana jawatan Timbalan Ketua Menteri memberi keistimewaan kepada penyandangnya dari segi protokol dan imbuhan (perks).

YTL juga perlu ingat bahawa barisan kabinet Sabah termasuk perlantikan Datuk Raymond Tan sebagai Timbalan Ketua Menteri mendapat ‘endorsement’ dari Pak Lah. Jadi untuk mengatakan Pak Lah tidak perihatin terhadap SAPP tidak betul sama sekali. Cuma kita tidak tahu apa yang diminta oleh YTL yang menyebabkan Pak Lah memberi reaksi, "I have not been able to satisfy his (Yong's) personal greed."

Oh ya, esok SAPP akan mengadakan mesyuarat Majlis Tertingginya bagi membincangkan soal untuk keluar dari BN. Saya berharap ahli Majlis Tertinggi SAPP tidak lupa bertanya kepada YTL, apakah SAPP akan menyertai Pakatan Rakyat? Jika ya, apakah SAPP sudah bersedia untuk menerima parti PAS (rakan kongsi dalam Pakatan Rakyat) dengan perjuangan negara Islamnya dan bagaimana nak memberitahu penyokong-penyokong SAPP tentang hal ini? Juga jangan lupa tanya YTL kenapa YB Datuk Raymond Tan, YB Au Kam Wah, YB Melanie Chia dan YB Datuk Eric Majimbun tidak hadir dalam press conference semalam walaupun itu adalah press conference yang penting kerana menentukan masa depan politik SAPP?

Percayalah, melihat rekod politik YTL yang opportunis (keluar dari PBS dan tubuh SAPP semasa PBS betul betul memerlukan sokongannya akibat tertekan mengenai isu keluar dari BN pada awal 90an– walaupun keputusan keluar dari BN adalah keputusan YTL sendiri juga), pemergian YTL dari BN bukanlah satu kejutan luarbiasa dan tidak perlu ditangisi dan diratapi. BN will soldier on!

Salam,
YB DARD

7 comments:

  1. www.durianranau.blogspot.com

    Sabah Development Corridor (SDC) wajib direalisasikan.

    Untuk mencapai Wawasan 2020 maka SDC mesti direalisasikan.

    SAPP dengan 2 MP mereka akan menjejaskan BN.

    PRU13 saya pasti BN kembali ke 2/3 majoriti 100%.

    UMNO sebagai United Malaysian National Organisation.

    Salam DARD.

    ReplyDelete
  2. salam yb...
    kalau memang perkataan 'demokrasi' itu yang diketengahkan oleh yb. mengapa pula yong teck lee dipersalahkan kerana keluar dari bn?

    projek pak lah yb boleh dapat tempiasnya, mestilah yb naik suka...

    salam...

    ReplyDelete
  3. erm...dah bayak dan muak dah rakyat sabah dengan gula2 yang di berikan. skg ni sibuk pula dgn SDC. satu lagi gula2 untuk rakyat sabah. sedarla rakyat sabah semua. bangkitla dari penindasan dan di peranaktirikan oleh umno semenajung. jangan harap dapt emula 2/3 sebaliknya hilang atau pupus terus dari muka bumi malaysai pada PRU 13 nanti. Insya Allah...

    ReplyDelete
  4. Datu Panglima Masai7:33 PM, June 21, 2008

    saya tidk setuju kita kutuk UMNO,yang kita mahu ialah kepimpinan UMNO yang sedia ada ditukar dengan menggantikan Pak Lah dengan pemimpin yang lebih berkaliber..Pak Lah terbukti lemah dan tidak berdaya memajukan negara.

    ReplyDelete
  5. UMNO tidak salah, pemimpin yang salah. Masalah UMNO ialah pemimpin yang tidak berani memperbaiki kesalahan pemimpin yang lain menyebabkan pemimpin yang salah merasakan yang semua dia buat betul.

    Satu lagi, pemimpin UMNO terlalu percaya kepada MSM. Sejak tahun 2005 saya tidak baca MSM kerana ia terlalu menyanjung kepimpinan UMNO yang tidak semuanya betul. Dengan kata lain pemimpin UMNO tertipu dengan dakyah mereka sendiri.

    Tindakan YTL saya sokong sebab ia menyentuh kehidupan saya sebagai rakyat Sabah. Saya rasa tidak salah bagi rakyat sabah menuntut apa yang hak bagi mereka walau dengan apa cara sekalipun.

    Saya ingat YB pun pernah juga diucapkan SELAMAT DATANG KE MALAYSIA bila di KL kan YB?

    ReplyDelete
  6. Apa yang YTL minta adalah untuk orang Sabah. UMNO Sabah adalah amat rapuh dan orang-orang didalamnya mati hidup semulapun tidak akan berani meminta apa yang YTL minta. Apa lagi DARD. Paling paling dibuatnya cuma mendakwa mau dibeli PKR. PKR punya pakej tawaran untuk Sabah adalah amat baik. Saya gerenti undi PKR.

    ReplyDelete
  7. Pertama sekali BN yang diterajui UMNO tidak akan mendapat majoriti 2/3 dalam masa-masa terdekat..itupun kalau tidak terus terkubur.

    Kedua. Apa yang dituntut oleh YTL adalah untuk kebaikan rakyat Sabah secara menyeluruh..lagipun itu sememangnya hak kita. Pemimpin UMNO Sabah mati hidup semulapun tidak akan ada keberanian untuk menuntut perkara demikian kerana ini akan melanggar prinsip kipas pemimpin KL untuk kedudukan diri dalm parti yang menumpang di bumi Sabah ini. Sebagaimana Datu Paduka Mat Salleh membakar pulau Gaya, kalau beliau masih hidup, tempat yang pertama dibakarnya adalah ibu pejabat UMNO Sabah.

    Kalaulah segala tuntutan YTL itu diberikan oleh Kuala Lumpur, Satu hari DARD akan berkata kepada anak-anak DARD "Syukurlah Nak, kemakmuran yang kita nikmati sekarang adalah hasil usaha yang dimulakan oleh YTL".

    ReplyDelete

Kongsi artikel ini: