Sunday, April 06, 2008

Hari Pertama di Parlimen





Hari ini 3hb April 2008 adalah hari taklimat Parlimen kepada semua ahli-ahli Parlimen. Walaupun program bermula jam 830 pagi, tetapi saya sudah berada di perkarangan Parlimen seawal jam 8 pagi lagi kerana takut terkandas dalam kesesakan lalulintas yang sering berlaku di Kuala Lumpur, lebih lebih lagi program tersebut bermula pada awal pagi hari berkerja. Saya tak mahulah hari pertama saya di Parlimen saya datang lewat.

Setibanya saya di perkarangan Parlimen, saya tidak terus masuk ke bangunan Parlimen kerana orang masih tidak ramai. sementara menunggu, saya melihat YB Sallahuddin Ayub, Ketua Pemuda PAS masuk dengan kereta Honda CRV yang dipandunya sendiri sekitar jam 810 pagi. Orangnya mempunyai perwatakan lembut tetapi terkenal dengan kekerasan pendiriannya.

Tepat jam 830pagi, saya pun mengorak langkah masuk kedalam. Saya sebelum ini sudah beberapa kali melawat Parlimen sebagai pegawai kepada Dato Seri Hishammuddin setiap kali beliau menjawab soalan di Parlimen. Tetapi kali ini saya rasa lain semacam sahaja. Saya merasakan setiap langkah saya menghampiri bangunan Parlimen pada pagi yang hening itu begitu berat sekali. Terasa sekali betapa kali ini saya ke Parlimen dengan satu tanggungjawab memikul amanah rakyat Kota Belud yang jauh nun beribu ribu batu. Suara orang Kg Kulambai, orang Kg Taun Gusi, orang Kg Kiau seperti membisikkan sesuatu ketelinga saya bahawa mereka mahukan ahli Parlimen mereka masuk melangkah ke dalam dewan dengan penuh rasa keinsafan dan tanggungjawab.

Lantas saya membetulkan cara saya bergerak supaya menegak dan menghayun tangan seolah olah saya menuju ke medan perang sebagai seorang Jeneral yang perlu menunjukkan 'kejaguhannya' agar tidak diperlekehkan oleh ahli-ahli Parlimen yang sudah beberapa penggal menjadi wakil rakyat.

Ada juga kawan-kawan yang menasihati saya. Kata mereka, hari pertama ke Parlimen sama seperti hari pertama masuk sekolah. Perlu awal-awal lagi tunjuk bahawa kita tidak takut atau gentar agar tidak menjadi mangsa 'buli' oleh senior-senior yang lain terutamanya oleh wakil rakyat pembangkang. Tetapi percayalah bagaimana kuatnya sekalipun saya cuba untuk 'berlagak' jaguh, saya terasa amat kerdil sekali bila berada dalam bangunan Parlimen pagi itu. Apa tidaknya, saya berada dalam bangunan yang menyaksikan banyak sejarah. Di situlah Almarhum Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein Onn, Lee Kuan Yew, Syed Jaafar Albar, Tun Fuad Stephen, Tun Sambanthan berentap dan berbahas tentang isu-isu panas yang menentukan 'hidup mati' negara Malaysia dari zaman kemerdekaan lagi. Teringat episod konfrontasi Malaysia - Indonesia, pemecatan Singapura dan macam macam lagi. Kalaulah dinding-dinding dan tiang-tiang dalam bangunan itu boleh bercakap, tentu mereka akan katakan, ''Rahman, kamu janganlah nak 'act' sebab Parlimen ini sudah pernah menyaksikan ketangkasan berpidato pemimpin-pemimpin dulu. Kalau kamu nak 'act', alamat kamu akan ditelan hidup-hidup!! ''.

Selepas masuk kedalam dewan, semua ahli Parlimen mendaftar diri dan membayar yuran-yuran keahlian untuk persatuan yang di perlu. Saya awal lagi mendaftar.

Sewaktu mendaftar, saya terserempak dengan YB Datuk Seri Panglima Wilfred Bumburing, ahli parlimen Tuaran dan Timbalan Presiden PBS. Saya tergelak juga apabila kami semua seperti murid darjah satu lagaknya. Mana nak ambil gambar ni?, Alamak, duit tak cukup untuk bayar yuranlah!, Beg saya ni kecil sangatlah!... Begitulah antara ungkapan anak-anak murid tahun satu parlimen ini.

Kemudian saya ternampak YB Salleh Kalbi, rakan saya Ketua Pemuda Silam yang sekarang menjadi ahli Parlimen Silam dan YB Datuk Sapawi dan YB Datuk Seri Panglima Lajim Hj Ukin. Rasa macam di Sabah pulak seketika.

Dalam keceriaan kami dari Sabah bercerita, saya disapa oleh YB Datuk Shamsul Anuar Nasarah, ahli Parlimen Lenggong yang juga Presiden Majlis Belia Malaysia dan EXCO Pemuda UMNO Malaysia. Selepas itu perbualan makin rancak diselang seli dengan ketawa dan jenaka. Masing-masing ucap tahniah sesama sendiri.

Ketawa dan keseronokan bercerita itu terhenti apabila ahli-ahli wakil rakyat pembangkang mula masuk untuk mendaftar. Antaranya ialah YB Lim Kit Siang, anaknya YAB Lim Guan Eng, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim, YB Azmin Ali, YB Datuk Ibrahim Ali, YB Sallahuddin Ayub dan YB Saifuddin Nasution. Entah kenapa mata saya tertumpu kepada mereka. Gaya mereka masuk dan cara mereka bercakap penuh keyakinan seolah-olah mereka sudah menguasai Parlimen. Hakikatnya BN masih menguasai Parlimen dengan 140 kerusi berbanding 82 kerusi mereka.

Dalam saya memerhati tindak tanduk ahli-ahli Parlimen pembangkang, saya ternampak YB Khairy Jamaluddin berbaris bersama YB Tian Chua dari PKR. Mereka ini sering berhentaman dalam media tetapi melihat mereka berceloteh, saya tidak dapat menahan rasa kemegahan saya bahawa demokrasi sememangnya masih hidup dalam negara ini.

Semasa waktu duduk mendengar taklimat, saya sedari YB Khairy duduk bersebelahan dengan YB Nurul Izza anak perempuan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengalahkan Datuk Seri Sharizat Jalil di parlimen Lembah Pantai. Apakah perdebatan dalam Parlimen oleh kedua-dua anak muda ini nanti akan ditunggu-tunggu oleh pemerhati politik tanahair?

Melihat keadaan dan karektor ahli-ahli Parlimen hari ini, betullah apa yang disiarkan oleh berita RTM jam 8 malam tadi bahawa Parlimen Ke 12 ini akan menjanjikan satu kelainan dibandingkan dengan yang dulu-dulu.

Sampai disini dulu....

16 comments:

  1. Tahniah kepada YB kerana adakan blog ini. tapi pastikan blog ini sentiasa di 'update' kan selalu supaya tidak boring.

    Rakyat khususnya generasi muda memang gemar internet dan dengan cara ini kami boleh bagi komen kami samada nak bagi puji atau nak hentam YB.

    Selamat Berkhidmat YB!

    Azim

    ReplyDelete
  2. Dato' Tahniah keatas usaha mengadakan blog ini. Harap dapat tambah kandungan contohnya usaha misi,visi dan halatuju YB untuk memimpin kawasan kota belud untuk 5 thn akan datang

    Harap YB dapat membuat perubahan yang signifikan di daerah ini kerana Kota Belud adalah antara daerah termiskin di Negeri Sabah

    Harap blog ini berguna untuk menyuarakan pendapat, cadangan dan kritikan di dalam memajukan daerah ini

    Teruskan Usaha, Kami sentiasa Mendokong Kepimpinan YB

    Observer

    ReplyDelete
  3. Para pelawat blog kebiasaanya memperuntukkan antara 5 hingga 10 minit untuk ’scan’dan meneliti blog yang dilawati. Untuk blog Yang Berhormat ni terlalu menjela panjangnya. Ringkaskan idea YB, masukkan pautan dan gambar yang berkenaan dan berikan kesimpulan yang boleh memberikan pembaca sesuatu untuk difikirkan. Biarkan kesannya menyerap dan merebak ke akar umbi. Tahniah, selamat berjuang di alam siber.

    ReplyDelete
  4. ASSALAMUALAIKUM,

    TUGASAN PERTAMA UNTUK YB DI PARLIMEN IALAH UNTUK MEMBANGKITKAN KENAPA MASIH ADA KAWASAN DI NEGERI SABAH YG MAKMUR INI MASIH TIADA BEKALAN AIR BERSIH TERUTAMANYA DIKAWASAN TAWAU,LAHAD DATU,KENINGAU DAN SEMPORNA. KENAPA TERJADI SEDEMIKIAN KERANA KAWASAN DI DAERAH KOTA KINABALU DAN KAWASAN SEKITARNYA MUDAH UNTUK MENDAPAT KEMUDAHAN ITU.

    SEKIAN WASSALAM..

    ReplyDelete
  5. dato, kenapa dato mesti letak gambar KJ? apa rasional? komen sikit

    ReplyDelete
  6. Tahniah YB. Generasi muda memang memerlukan saluran sebegini bagi menyampaikan suara kami terus kepada YB.
    Selamat berkhidmat kepada YB dan pastikan pembangunan di daerah Kota Belud berterusan.
    ANAK SAMA KULAMBAI

    ReplyDelete
  7. Azim,

    Tkasih atas respon anda. Saya cuba yang tebaik untuk menjadi blogger yang rajin meng'update'kan blog saya.

    ReplyDelete
  8. Observer,

    Visi saya ialah untuk mmajukan kekuatan yang ada pada KB. Apa dia? Pelancongan, perikanan dan pekebun kecil yang sememangnya menjadi industri asas di KB.

    Kita mempunyai masalah bekalan elektrik dan air yang mencukupi untuk membolehkan industri perkilangan dibuat di KB.

    Saya berharap 'water treatment plant' di Bayayat akan dapat menampung keperluan air di KB.

    Kalau masalah tersebut telah di selesaikan, saya rasa kilang-kilang akan dapat didirikan di KB utk memberi pekerjaan dan sumber pendapatan kpd rakyat KB.

    Saya juga akan melihat bagaimana untuk menyediakan peluang pekerjaan kpd belia2 di KB melalui perniagaan dan industri kecil-kecilan.

    ReplyDelete
  9. Tanpa Nama menulis "Para pelawat blog kebiasaanya memperuntukkan antara 5 hingga 10 minit untuk ’scan’dan meneliti blog yang dilawati. Untuk blog Yang Berhormat ni terlalu menjela panjangnya"....

    Saya menggunakan blog ini bukan saja untuk 'bercerita' tetapi juga menyiarkan Kenyataan Akhbar (Press Statement)yang mungkin berjela-jela sedikit kerana memerlukan penjelasan yang mencukupi..

    Anyway, thank you.

    ReplyDelete
  10. Tanpa Nama menulis...

    "dato, kenapa dato mesti letak gambar KJ? apa rasional? komen sikit

    6:01 PM, April 14, 2008"

    Saya meletakkan gambar KJ kerana saya mahu ambil gambar beliau bersama YB Nurul Izzah yang duduk sebelah beliau. Saja je...

    ReplyDelete
  11. Anak Sama Kulambai,

    Tkasih atas respon anda.

    ReplyDelete
  12. Salam Dato`Sri...sekalung tahniah diucapkan atas kemenangan Dato dalam pilihanraya yang baru berlangsung..sebagai generasi muda,kami berharap agar Dato lebih peka terhadap segala masalah-masalah yang tidak dapat diselasaikan oleh ahli parlimen terdahulu...saya berharap agar Dato dapat meluangkan masa untuk melawat Mukim Timbang di bawa dewan undangan N6 Tempasuk untuk menyelami segala masalah yang dihadapi oleh para penduduk disana..antara yang mendesak ialah soal pemilikan tanah yang di hadapi oleh penduduk di kampung Ulu Kukut...Harap Dato meluangkan masa.....Terima Kasih

    ReplyDelete
  13. Assalamualaikum W.B.T!

    Tahniah di atas keazaman yang tinggi berkat doa & restu yang dibekalkan kepada YB demi memperjuangkan kepentingan-kepentingan rakyat di kawasan YB dan seluruh penduduk di negeri Sabah.

    Terpanggil untuk melawat dan melihat sendiri blog nukilan YB ini, perkara pertama yang saya fikirkan dan ingin saya rakamkan ialah "Alhamdullilah....biarlah ruangan ini dimanafaatkan bersama.."

    Sebagai hamba yang agak kerap melayari perkembangan blog-blog yang ada di sekitar web, adrenelin sedikit sebanyak menyirap keseluruh anggota badan memikirkan betapa perlunya disediakan "medan" bukan untuk kitei berperang tetapi untuk sama-sama tempat bersembang dan berpendapat, menghalusi isu-isu kritikal yang lebih membina sifatnya melangkau isu-isu politik semasa yang sering tidak berpenghujung atau "anti-climax".

    Seruan YB yang menyarankan kepentingan "berblog" tidak dinafikan kebenarannya tetapi biarlah ianya bersifat "menjemput" yakni lebih terbuka dan telus dalam tatacara pengendaliannya. "KELAINAN" barangkali itulah yang kita perlukan. INSYALLAH!

    "mesang-mesang kladi"
    "mesang rebung nya teko turi"

    Memahami tanggungjawab YB yang amat berat, seberat langkah YB ketika masuk ke Parlimen pada hari pertama bergelar Jeneral...mudah-mudahan ditiupkan semangat kepahlawanan yang lebih tinggi dan dilapangkan dada dan fikiran supaya lebih rasional dalam memberikan yang terbaik untuk rakyat. Aminnnn.....


    "Have no fear to those who are disagree with you, but watch out for those who are disagree with you and are too cowardly to let you know."---Napoleon Bonaparte---

    ReplyDelete
  14. Tahniah Dato' kerana menjadi MP P169 Kota Belud. Walaupun sebelum ini ada pihak yang mengatakan Dato' orang luar tetapi apalah gunanya orang yang kononnya orang tempatan tetapi menganggap kami (Kawasan N7 Kadamaian) orang luar yang dipinggirkan. Kami doakan Dato' berjaya dan mempastikan Daerah Kota Belud mencapai kemajuan lebih gemilang pada masa akan datang!

    ReplyDelete
  15. Tahniah YB Dato'.
    Maaf kerana ingin membetulkan tentang jawatan YB Datuk Wilfred Bumburing dlm parti beliau. Beliau sebenarnya ialah Timb. Presiden UPKO dan BUKAN Timb. Presiden PBS seperti di dlm kisah hari pertama YB di Parlimen.

    ReplyDelete

Kongsi artikel ini: