Sabtu, November 07, 2009

Mesyuarat Pertama MPPP Kota Belud



Salam, pada 6 Nov 2009 saya mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) Kawasan Kota Belud yang pertama diadakan di pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan Kota Belud.

Kehadiran Ketua-Ketua agensi kerajaan Negeri Dan Persekutuan di Kota Belud dan juga para pemimpin setempat pada pagi itu amat memuaskan, diharapkan komitmen yang diberikan pada hari itu akan berkesinambungan demi memastikan apa yang dirancangkan dalam setiap mesyuarat dapat dilaksanakan untuk kebaikan semua pihak tertutamanya kepada rakyat.


MPPP telah diwujudkan di setiap kawasan parlimen di seluruh negara bagi menyelaras semua projek pertanian di setiap kawasan yang terbabit.

Antara lain peranan MPPP ialah bertanggungjawab memastikan semua maklumat terkini termasuk dari segi bantuan, peruntukan dan kemudahan yang disediakan kementerian sampai kepada para petani dengan cepat dan berkesan.

Majlis itu juga bertindak sebagai saluran kepada para petani untuk menyuarakan masalah yang dihadapi bagi membolehkan tindakan segera diambil.

Dalam mesyuarat itu juga, dibincangkan soal pemberian baucar beras subsidi (SUBUR). MPPP bersetuju untuk menggunakan senarai e-kasih yang telah diputihkan oleh Pejabat Daerah. Selain itu, pejabat daerah juga mempunyai senarai tambahan yang masih belum dimasukkan ke dalam senarai e-kasih. Senarai ini akan dipanjangkan kepada Kementerian Pertanian Malaysia untuk diberi pertimbangan diberi baucar ini juga. Insya Allah, baucar akan diagihkan pada bulan disember nanti. Mereka yang belum temasuk dalam senarai e-kasih perlu mendaftar diri dalam senarai itu secepat yang boleh.

Salam.

Rabu, November 04, 2009

Menteri kena banyakkan berfikir !!









Tiga hari yang lalu, saya berkesempatan untuk membahaskan bajet 2010 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada 23hb Oktober yang lalu.

Antara lain isu yang saya ketengahkan dalam masa 20 minit yang dibenarkan berucap adalah:

(1) Saya mencadangkan agar menteri-menteri mengurangkan aktiviti-aktiviti dalam jadual kerja harian mereka yang tidak ada kaitan dengan kerja utama (core business) mereka. Sekarang ini, menteri-menteri terlalu sibuk dengan jadual harian yang sarat dengan program-program mereka. Saya tidak maksudkan program seperti seminar atau mesyuarat yang tentunya mengandungi banyak kebaikan dari segi percambahan pemikiran dan perbincangan. Yang saya maksudkan ialah program-program perasmian yang tidak mendatangkan banyak kesan kepada kerja utama mereka sebagai seorang menteri. Apatah lagi jika menteri-menteri ini terpaksa berkejar keseluruh pelusuk negara untuk menghadiri program-program ini.

Berapa kali kita selalu membaca berita yang menunjukkan menteri tersenyum berucap merasmikan pasar borong di Kuala Lumpur, esok pulak berucap melancarkan larian amal di Johor dan lepas itu tulat berucap menghadiri acara makan malam di Sarawak. Saya tertanya-tanya bagaimana mereka dapat menghayati isi ucapan mereka kerana hanya sempat membacanya sejam dua sebelum acara bermula.

Saya juga tidak begitu yakin menteri-menteri ini mampu menghayati kehadiran mereka dalam program-program ini. Malah saya pernah terdengar cerita di mana menteri sendiri tidak tahu apa programnya pada esok hari dek terlalu sibuk. Nasib baik ada pengawai khas menteri yang sentiasa mengingatkan menteri mereka. Bayangkan, bagaimana mereka dapat memfokuskan perhatian mereka terhadap kerja utama mereka sebagai menteri jika mereka terpaksa menghabiskan masa dengan program-program yang tidak begitu berkenaan dengan bidang kerja utama mereka. Ditambah pulak dengan baki masa yang terhad itu, terpaksa digunakan untuk memikirkan soal parti mereka (majoriti menteri memegang jawatan tinggi dalam parti mereka), soal kawasan parlimen mereka dan hal-hal peribadi dan keluarga masing-masing.

Sepatutnya menteri perlu mempunyai masa yang cukup untuk berdailog, berbincang, mencambah fikiran, brain storming, refleksi dan mengutip idea para ilmuan dan orang pakar (picking the brains of the learned and the experts).

Dunia bergerak dengan begitu pantas sekali dan idea dan maklumat yang "segar" (fresh) hari ini, besar kemungkinan akan menjadi basi (stale) esok hari. Kalau menteri tidak dapat menangkap idea-idea baru ini, negara tidak mampu menjadi kompetitif. Saya rasa rakyat tidak akan marah jika menteri-menteri mengurangkan program-program yang saya sebut di atas jika hasilnya menteri mampu menunjukkan prestasi cemerlang dalam perancangan kementerian mereka sesuai dengan tuntutan Indeks Prestasi Utama (KPI).

Lagipun kalau menteri hadir dalam program-program tersebut, masa untuk berinteraksi dengan rakyat agak terhad kerana aturcara progam selalunya tidak menyediakan ruang untuk menteri berjumpa dan berinteraksi dengan rakyat kebanyakan.

(2) Saya juga meminta Kementerian Pembangunan Luarbandar untuk memberi sasaran kementerian dalam usahanya menyediakan bekalan air dan letrik di Kota Belud. Ini penting kerana kerajaan telah berjanji untuk mengotakan harapan KPI (Key Performance Index) atau Indeks Prestasi Utama dalam isu penyedian bekalan air dan letrik luarbandar melalui Kementerian Pembangunan Luarbandar.

Seperti apa yang disebut dalam ucapan YAB Perdana Menteri baru-baru ini, saya berharap Kementerian Pembangunan Luar bandar mengambil perhatian. Kata YAB Perdana Menteri, “Kerajaan akan menggandakan pembinaan jalan luar bandar di Sabah dan Sarawak daripada 750 kilometer yang dibina dalam Rancangan Malaysia Ke-9 kepada 1,500 kilometer dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-10. Bersangkutan liputan bekalan air yang boleh diminum kini berada pada tahap 52 peratus di Sabah dan 61 peratus di Sarawak. Liputan ini akan ditambah menjadi sekurangnya 80 peratus menjelang tahun 2015. Manakala, penekanan yang sama juga akan diberikan kepada liputan bekalan elektrik".

(3) Saya juga mencadangkan agar satu lebuhraya menyambung bandaraya Kota Kinabalu di pantai barat dengan bandaraya Sandakan di pantai timur dibina. Dengan adanya lebuhraya setaraf lebuhraya utara selatan di semenanjung, aktiviti ekonomi di kedua-dua bandar ini akan dapat dipertingkatkan. Perjalanan di antara kedua-dua bandar ini akan lebih selesa dan selamat. Ekonomi akan dapat dipacu dengan lebih deras lagi dan ekonomi di sepanjang lebuhraya pula akan mendapat kesan sampingan (spillover effect). Barangan juga akan dapat diangkut dengan lebih murah dan mudah di samping respon kepada kawalan keselamatan negeri Sabah oleh pihak polis dan tentera dapat dipercepatkan.

Saya faham kos lebuhraya ini agak besar memandangkan ianya akan melalui kawasan pergunungan dan hutan belantara dan lebih sesuai dicadangkan dalam pembentangan Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) tahun hadapan. Walaubagaimana pun, apa yang saya cadangkan ialah supaya Kementerian Kewangan menyediakan peruntukkan dalam bajet 2010, sekurang-kurangnya untuk satu kajian awal terhadap "kemampuan/keupayaan" (viability) projek lebuhraya ini.

(4) Seterusnya saya menyentuh tentang isu Rancangan Makanan Tambahan kelolaan Kementerian Pelajaran. Seramai 140,000 pelajar-pelajar luarbandar di negeri Sabah mendapat manafaat daripada RMT ini. Pada tahun 2007, satu lapuran daripada Unit Kesihatan, Jabatan Pelajaran Negeri Sabah menyatakan bahawa 15% hingga 20% murid-murid luar bandar di negeri Sabah datang ke sekolah tanpa sarapan pagi ataupun makan tengah hari bagi pelajar sebelah petang. Manakala satu per enam hingga satu per tiga pelajar luarbandar di Sabah mengalami fenomena apa yang dipanggil "kelaparan tersembunyi". Kelaparan tersembunyi ini akan membawa kepada salah pemakanan (malnutrition) yang akan mengakibatkan serangan penyakit, pertumbuhan badan yang tidak seimbang dan gangguan kepada pembelajaran pelajar-pelajar.

Kelemahan lain yang disebut di dalam lapuran tersebut ialah ketirisan dana yang disalurkan kepada PPD dan seterusnya kepada gurubesar-gurubesar di peringkat sekolah. Ada juga insiden di mana ada pihak sekolah yang meminta RM0.10 hingga RM0.25 daripada pembekal untuk tujuan pengurusan sekolah ataupun untuk kelab guru. Ini adalah salah kerana program ini bukannya untuk tujuan tersebut.

Ada juga pihak sekolah yang tidak menjalankan program RMT ini mengikut jadual iaitu 190 hari dalam masa setahun. Ini semua amat mendukacitakan kerana kerajaan membelanjakan beratus-ratus juta untuk memberi makanan berzat kepada pelajar-pelajar miskin di luar bandar.

Untuk menyelesaikan masalah ini, amat penting untuk kerajaan menggunakan sistem "retort" atau sistem kantung di mana makanan di"pek" dalam beg dan hanya perlu dipanaskan dalam air mendidih. Zat makanan dan kebersihan terjamin dan insiden keracunan makanan dapat dielakkan.

Semoga persoalan yang saya ajukan ini diharap dapat mendapat jawapan daripada pihak kerajaan semasa sesi pengulunggan oleh menteri menteri minggu depan. InsyaAllah.

Salam.

DARD

Khamis, Oktober 29, 2009

Tiba-tiba UMNO pula lebih stabil dari parti lain




Nampaknya dalam lanskap politik baru yang melanda negara kita, hampir semua parti politik negara kita sedang bergolak. Mereka berdepan dan melalui masalah krisis keyakinan dengan kepimpinan parti masing-masing. 


Ianya bermula dengan UMNO, dan sekarang fenomena ini sedang melanda PAS dan PKR. UMNO setelah berbulan-bulan dilanda krisis keyakinan, telah bangkit untuk membaiki rumahnya. Dan alhamdullilah, UMNO sudah mampu untuk menjinakkan permasalahan itu. Malah dengan kemelut pergolakan politik yang melanda MCA, MIC, PPP, DAP, PAS dan PKR dewasa ini; UMNO dengan tiba- tiba dilihat menjadi parti yang paling stabil pula sekarang ini. Agaknya begitulah lumrah liku-liku dunia politik yang penuh dengan adegan, sandiwara dan drama.


Bercakap mengenai politik berhemah, baru-baru ini DS Anwar Ibrahim dan YB Dr Dzulkefly Ahmad (MP Kuala Selangor), dalam ucapan bajet mereka,  meminta supaya kerajaan tidak melihat parti pembangakng sebagai musuh negara hanya kerana mereka mengkritik kerajaan. Mereka mengatakan bahawa pembangkang mempunyai peranan yang penting di dalam sistem demokrasi sesebuah negara. Untuk menguatkan hujah, mereka merujuk kepada layanan yang "professional" dan "gentleman" kerajaan di negara-negara barat yang mengamalkan demokrasi, terhadap parti-parti pembangkang. 


Saya mengalu-alukan kenyataan kedua-dua pemimpin tersebut. Saya setuju bahawa pembangkang memainkan peranan yang penting dalam sistem demokrasi untuk menjadi "check and balance" kepada kerajaan.


Walaubagaimanapun, saya ingin bertanya. Untuk mendapat layanan sebegitu rupa, apakah pembangkang di Malaysia mengamalkan "standard" berpolitik yang sama dengan pembangkang di negara-negara barat yang dirujuk oleh kedua-dua YB ini? 


Meneliti ucapan-ucapan, ceramah-ceramah, blog-blog dan tingkahlaku pembangkang di Malaysia, nyata dan jelas kualiti pembangkang di Malaysia jauh lebih rendah dibandingkan dengan kualiti parti-parti pembangkang di negara-negara barat.


Di barat, kalau pun parti pembangkang mahu mengkritik, mereka menggunakan pendekatan berhemah dan ilmiah. Mereka mengemukakan fakta dan statistik yang sahih untuk menyokong hujah mereka. Di Malaysia , pembangkang lebih mirip kepada retorik politik dicampur aduk dengan tuduhan dan fitnah yang liar. Saya istilahkan politik jenis ini sebagai politik penghinaan, politik populis, dan politik " maki hamun"   Pembangkang di Malaysia lebih mirip kepada "gutter-politics"daripada "politik-membangun".


Di negara barat, pembangkang akan mengemukakan bajet alternatif dan berhujah mengenainya. Di Malaysia,pembangkang tidak langsung berminat untuk mengujudkan bajet alternatif yang komprehensif dan hanya berhujah menentang dan membangkang isi kandungan bajet kerajaan tanpa ada cadangan alternatif (DAP ada mengemukakan bajet alternatif malangnya bajet alternati itu bersifat secara umum kerana tidak mengandungi statistik terkini dan terperinci. Tambahan pula, DAP secara sinis menggunakan logo mereka dalam bajet alternatif itu dan bukannya simbol Pakatan Rakyat).


Di barat, walaupun berbalah dengan kerajaan, pembangkang akan cuba mengelakkan perbalahan mengenai asas-asas kedaulatan negara mereka (semangat perlembagaan, pasukan keselamatan negara, pihak istana, sejarah lampau negara dan dasar luar negara). Di Malaysia, pembangkang pula akan "steamroll" semua perkara. Tidak ada lagi perkara yang mempunyai "roh suci" bagi mereka. Semuanya "open for attack" tanpa mengira implikasi kepada negara dalam jangka panjang.


Saya cadangkan kalau pembangkang mahu kerajaan memberi penghormatan kepada mereka, mulakan dengan mengubah cara mereka berpolitik. Dengan berbuat demikian, saya pasti kerajaan juga akan lebih responsif kepada kehendak-kehendak pembangkang. Lagipun, saya sudah mula terasa bahawa rakyat  Malaysia mula muak dan penat dengan kecenderungan parti-parti politik negara yang kerap berpolitik sehinggakan tumpuan dan tenaga kita lari dari fokus yang utama iaitu bagaimana untuk memperkasakan ekonomi negara dalam zaman kemelesetan ekonomi dunia sekarang ini. 


Secara peribadi, saya berpandangan RAKYAT  SEDANG MEMERHATI kita...





Isnin, Oktober 26, 2009

1Malaysia F1 Team... Rasa lega - kerajaan tidak ada ekuiti

Isu 1Malaysia F1 team yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini telah menjadi perbualan hangat di kalangan rakyat. Ramai yang bertanya samada kerajaan akan terlibat dalam projek ini.


Di parlimen pagi tadi, pihak pembakang telah mengemukakan soalan yang bertanya apakah pelaburan kerajaan dalam projek 1Malaysia F1 Team ini dan apakah impaknya kepada kewangan negara? Persoalan inilah yang bermain difikiran rakyat apatah lagi dalam keadaan situasi ekonomi negara sekarang ini.


Jawapan oleh YB Menteri ialah projek ini adalah inisiatif pihak swasta dan TIDAK ada pelaburan secara langsung ataupun ekuiti kerajaan dalam projek ini. Ini melegakan perasaan rakyat dan dapat menjawab kekhuatiran rakyat terhadap projek ini.


Walaubagaimanapun, YB Menteri ada menyebut bahawa komitmen kerajaan terhadap projek ini lebih kepada kelengkapan infrastruktur. Contohnya, penyediaan tapak tanah untuk pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan akses kepada teknologi Proton yang dimiliki oleh kerajaan.


Secara peribadi saya menyokong projek 1Malaysia F1 team ini kerana potensi impak pelancongan yang positif, transfer teknologi dan pembangunan industri permotoran negara. Tetapi sokongan saya itu berasaskan kepada satu premis iaitu kerajaan tidak terlibat secara langsung dan membelanjakan wang rakyat dalam projek ini.


Salam.

Sabtu, Oktober 24, 2009

PM sebut Kota Belud dalam ucapan Bajet




9c0f8d29c5665a4e4563bbd89ef67807.gif.jpg



Dalam ucapan bajet, PM ada menyebut Kota Belud secara khusus untuk mendapat projek-projek jalanraya luarbandar. 


Sedutan ucapan beliau, "Membina jalan luar bandar sepanjang 510km dan jalan kampung sepanjang 316km dengan peruntukan RM857 juta termasuk jalan di Kapit, Lawas dan Simunjan di Sarawak serta Kinabatangan, Kota Belud dan Keningau di Sabah." 



Alhamdullilah, berkat doa rakyat KB, PM dengar juga ucapan-ucapan yang disuarakan di Parlimen. Kita tunggu dalam perbahasan dalam Parlimen nanti untuk perinciannya.


Terima kasih YAB!


Klik tajuk di atas untuk link ke teks ucapan YAB. 

Jumaat, Oktober 23, 2009

UMNO - fahaman haluan tengah!

Sebentar tadi saya menjadi tetamu dalam rancangan Sudut Pandang, Astro Awani. Tajuk kali ini ialah Politik Haluan Tengah Pilihan Terbaik. Seperti biasa wakil Pakatan juga dijemput. Kali ini Pengarah Pilihanraya Negeri Perak, Ismail Yusof, menjadi tetamu dari pihak Pakatan.


Saya memulakan hujah dengan memberi pengertian kepada ungkapan "Politik Haluan Tengah" atau Centrist Politics. Fahaman centrist adalah merujuk kepada kesederhanaan dalam ideologi politik. Ianya tidak berada di posisi "ultra right"  iaitu fahaman konservatif yang mahukan tradisi dipelihara ataupun posisi "ultra left" iaitu fahaman liberal yang mahukan perubahan secara evolusi atau revolusi terhadap tradisi atau kebiasaan.


Saya menghujahkan bahawa parti UMNO adalah contoh fahaman centrist. Walaupun UMNO selalu disalahertikan sebagai sebuah parti perkauman (ultra right), ia sebenarnya tidak betul. UMNO adalah sebuah parti berasaskan kaum tetapi tidak mempunyai agenda perkauman. Seperti kata Datuk Seri Najib dalam perhimpunan agung UMNO baru-baru ini, perkauman lebih menjurus kepada apa yang berlaku di Afrika Selatan dengan konsep "apartheid"nya dan di Amerika Syarikat yang memisahkan rakyatnya yang berkulit putih dengan mereka yang berkulit hitam melalui perundangan dan peraturan rasmi kerajaan.


Kesanggupan UMNO untuk berkongsi kuasa sejak zaman pra-kemerdekaan sehinggalah sekarang jelas menunjukkan fahaman centrist itu. Penubuhan sekolah jenis kebangsaan, pendekatan integrasi dan bukannya asimilisasi kepada orang bukan Melayu/bumiputera, dan mempertahankan sistem pasaran terbuka jelas memperlihatkan kecenderungan UMNO kearah "centrist" atau haluan tengah.


Begitu jugak, sejak pilihanraya tahun 1955 dan pilihanraya -pilihanraya berikutnya, UMNO boleh menggunakan kekuatannya untuk membolot kuasa tetapi ia memilih perkongsian kuasa bersama komponen parti yang lain. Mereka bukan saja diajak berkongsi kuasa tetapi diberikan portfolio yang utama seperti Kerjaraya, Pengangkutan, Kesihatan dan Sumber Manusia.


Malah, dasar-dasar ekonomi negara seperti yang terdapat dalam pembentangan bajet, suntikan ransangan ekonomi dan yang lain-lain yang melibatkan bursa saham, sektor pembuatan dan syarikat-syarikat besar sebenarnya banyak memanfaatkan golongan bukan Melayu/ bumiputera!


Selama ini UMNO berjaya menjadi tulang belakang BN dan kerajaan kerana mengamalkan politik centrist (sederhana) ini. Kepimpinan UMNO jelas terserlah dengan sentiasa menggunakan pendekatan inklusif, menyeluruh dan sederhana. Dan saya dapat rasakan orang-orang bukan Melayu/Bumiputera menghargai UMNO yang sebegitu rupa.


Mungkin ada yang berkata bahawa UMNO adalah parti yang rasis dengan mengambil kira perkembangan dan ucapan-ucapan dalam Persidangan Agong UMNO setiap tahun. Sebenarnya itu hanyalah persepsi yang tidak tepat.


Saya berhujah dengan mengatakan bahawa parti UMNO dan kepimpinan UMNO perlu diadili melalui tindakannya dalam bilik mesyuarat kabinet bukannya dewan PWTC. Walaupun dalam perhimpunan agung UMNO, kita didendangkan dengan ucapan-ucapan gagah yang meniup semangat perwakilan hingga kelangit (untuk makluman, parti-parti lain dalam perhimpunan mereka juga begitu), akhirnya UMNO akan kembali juga kebumi dan menunjukkan "kepimpinan"nya dan bukannya "ketuanan" melalui keputusan-keputusan eksekutif kabinet BN bertunjangkan UMNO itu.


Sebenarnya kalau diteliti sedalam-dalamnya, "kepimpinan" UMNO itulah yang menjadikan ianya sebagai parti yang releven dari merdeka sehingga masa kini. Seperti kata Datuk Seri Najib, dihormati oleh kawan, disegani oleh lawan. Hilang ciri-ciri "kepimpinan" centrist itu, maka nazaklah UMNO


YB Saudara Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda UMNO Malaysia merungkai isu "kepimpinan" ini dengan lebih mendalam dalam ucapan dasar beliau di perhimpunan agung Pemuda UMNO baru-baru ini (klik Disini Untuk Ucapan Dasar YB Khairy)...


Saya sedar, setelah pilihanraya 2008, banyak kumpulan NGO Melayu dan bumiputera yang sudah sedia ada dan yang tumbuh seperti cendawan akibat pergolakan politik masa kini, menjadi semakin "radikal".  Mereka ini kebiasaannya berhaluan kanan dan "ultra-right" (dari segi kata-kata dan prinsip bukannya tindakan). Mereka mendesak UMNO dan kerajaan untuk lebih mengutamakan melayu dan bumiputera,  demi mempertahankan "ketuanan" Melayu/bumiputera yang dilihat sebagai tergugat ekoran senario politik negara masa kini.


Sebab itulah, amat penting untuk UMNO dengan pantas meletakkan perjuangannya kelandasan kesederhanaan ini. Kelewatan untuk memegang fahaman "Wasatan" (meminjam ungkapan Datuk Seri Najib yang bererti kesederhanaan) akan membuatkan UMNO dichop sebagai parti yang memeperjuangkan hak orang Melayu/bumiputera sahaja. Ini perlu dielakkan kerana kekuatan UMNO selama ini bukan saja kerana Melayu dan bumiputera menyokongnya tetapi orang bukan Melayu/bumiputera juga turut merasa selesa, segan dan hormat serta sokong kepada UMNO. 


Alhamdullilah, kalau dilihat dari ucapan sulung beliau sebagai Presiden UMNO dalam perhimpunan agung UMNO baru-baru ini, nyata Datuk Seri Najib sudah pun mengorak langkah pertama kearah itu. Ucapan beliau itu sarat dengan nasihat supaya perjuangan UMNO itu perlu berdasarkan konsep  "menyeluruh", "sederhana" dan "inklusif".


Saya tidak menyangkal fakta bahawa kepentingan orang Melayu/bumiputera itu adalah WAJIB dipertahankan oleh UMNO kerana hakikatnya perjuangan itulah alasan UMNO ini ditubuhkan pada tahun 1946 dulu. Pun begitu, UMNO juga wajib memperlihatkan kebesarannya melalui keperihatinan dan perjuangannya untuk semua rakyat tanpa mengira agama, suku kaum dan bangsa. Di situlah terletak resipi kekuatan UMNO dan sesungguhnya pemimpin-pemimpin UMNO dari dulu sehingga sekarang faham bahawa UMNO yang sederhana dan berhaluan tengah adalah formula yang terbaik untuk negara!

Isnin, Oktober 19, 2009

16hb Sept Najib vs 16th Sept Anwar

Saya tidak dapat lari daripada membandingkan tarikh keramat 16hb September dari kacamata DS Anwar Ibrahim dan 16hb September dari kacamata DS Najib.

Anwar melihat 16hb September sebagai hari untuk menumbangkan kerajaan persekutuan BN dan seterusnya meletakkan negara sebagai setanding dengan negara-negara "pariah" dunia ketiga di mana demokrasi "dirampas" dan "dihina", sementara Najib pulak melihat 16hb September sebagai hari menyatukan rakyat Malaysia.

Saya terharu sewaktu dalam parlimen sesi pagi tadi, Perdana Menteri mengumumkan 16hb Sept sebagai cuti umum bagi memperingati pembentukan negara Malaysia. Inilah keputusan yang dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak.

DS Najib telah berani membuat keputusan untuk merungkaikan kekaburan sejarah yang menghantui negara sejak sekian lama. Saya harap DS Najib tidak berhenti disini saja. Apa yang perlu diubah selepas ini ialah kekaburan angka pula. 31hb Ogos adalah hari tanah Melayu, Sabah dan Sarawak merdeka. Cuma tahunnya berbeza.

Tanah Melayu merdeka tahun 1957 dan Sabah dan Sarawak merdeka pada tahun 1963 (Malaysia sepatutnya tertubuh pada 31hb Ogos 1963 tetapi oleh kerana konforntasi oleh Indonesia, penubuhan itu hanya dapat direalisasikan 2 minggu selepas itu iaitu 16hb Sept 1963. Untuk sesiapa yang minat fakta sejarah, Sabah dan Sarawak adalah negara-negara berdaulat untuk 2 minggu!).

Kalau pada 31hb Ogos 2010 kerajaan masih mahu ianya dipanggil Hari Kemerdekaan, biarlah ianya dipanggil Hari Kemerdekaan tanpa menyebut tahun yg ke berapa kerana pada tahun hadapan, Tanah Melayu telah merdeka 53 tahun tetapi Sabah dan Sarawak merdeka 47 tahun!

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Jalan Penyuraian (Relief Road) untuk kurangkan kesesakan di Pekan Kota Belud

Sukacita saya maklumkan bahawa kerajaan persekutuan telah bersetuju menyediakan peruntukkan untuk membina satu jalan penyuraian (relief road) trafik di kawasan pekan Kota Belud.

Jalan ini akan mampu untuk menyuraikan sistem trafik kenderaan di Kota Belud dengan lebih berkesan lagi di samping dapat mengurangkan kesesakan jalan yang semakin kronik di Kota Belud. Selain daripada itu, jalan itu nanti akan memberi laluan tambahan kepada orang ramai untuk memasuki pekan Kota Belud.

Jalan itu akan berbentuk "Y" bermula dari kawasan Telak Bana menuju ke kawasan persimpangan jalan JKR / highway KK-KB. Satu cabang lagi akan menuju kg Sembirai.

Sebagai gambaran, anda boleh memandu keluar dari kawasan pekan Kota Belud dari kompleks kedai Telak Bana menuju samada ke jalan JKR atau ke kg Sembirai.

Saya amat gembira kerana setelah sekian lama menanti, akhirnya masalah kesesakan jalan masuk dan keluar dari pekan Kota Belud akan dapat dikurangkan.

Utk makluman, jalan tersebut sudah di peringkat proses rekabentuk dan akan ditenderkan secepat mungkin. Saya dimaklumkan oleh JKR Kota Belud bahawa apabila semua dokumen selesai, proses membina jalan tersebut tidak akan melebihi 4 bulan.

Terima kasih,
DARD
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Share it On Facebook